12 CIRI PAKAIAN TIDAK SESUAI KE PEJABAT BAGI MUSLIMAH

Panduan pemakaian muslimah bekerjaya : perlukah tampil cantik? Kini ramai Muslimah yang bekerja dan tidak kurang juga yang bekerja sendiri. Namun masih ada yang kurang pasti apakah pakaian kerja yang dipakai itu benar-benar sesuai dan adakah betul pakaian yang dipilih.

Sekiranya tiada panduan dan kayu ukur dalam meletakkan apakah busana kerja yang sesuai ke pejabat, besar kemungkinan ramai ke pejabat yang kelihatan terlalu santai. Pakaian yang betul, kemas dan sempurna di tempat kerja akan melahirkan satu keyakinan kepada kita secara peribadi dan mampu meyakinkan orang lain untuk berurusan secara selesa dengan kita.

Di sini Perunding Imej Muslimah ingin kongsikan 12 ciri pakaian yang tidak sesuai dipakai ke pejabat bagi muslimah, yang boleh mencalar profesinalisme dan kredibiliti diri semasa bekerja.

panduan-penampilan-muslimah-bekerjaya-perlukah-tampil-cantik

Panduan pemakaian muslimah bekerjaya : perlukah tampil cantik ?

12 CIRI PAKAIAN TIDAK SESUAI KE PEJABAT BAGI MUSLIMAH :

1.Pakaian diperbuat daripada fabrik nipis, ringan, lembut dan beralun-alun seperti sifon atau satin (yang sangat lembut)-Mesej daripada fabrik ini kelihatan pemakainya seorang wanita yang tidak tegas, sweet, manja dan lemah-gemalai. ( Karakter yang tidak sesuai ketika menjalankan tugas, terutama wanita yang berjawatan tinggi dan bekerja dengan ramai lelaki)

2. Terlalu banyak aksesori dan hiasan pada pakaian termasuk aksesori pada tudung, tubuh badan, baju, jaket, seluar, kain dan kasut. Contohnya manik, batu-bata, sulaman mewah, tampalan bunga dan sebagainya.

3. Pakaian terlalu ketat dan sendat sehingga mendedahkan bahagian-bahagian yang tidak sepatutnya pada tubuh wanita. Tanpa kita sedar ada jiwa yang resah dan tidak tenteram ketika berada di pejabat disebabkan pakaian kita. Ada jenis fabrik yang melekat pada bahagian tubuh badan wanita dan tidak sesuai dijadikan pakaian pejabat. Pilihlah fabrik yang ‘jatuh terletak’ dengan baik dan kemas apabila dipakai.

4. Aksesori yang terlalu besar, labuh, bergerak-gerak, berbunyi dan berkilauan, sehingga pandangan mata dan tumpuan yang sepatutnya kepada mesej kerja akan terganggu dengan aksesori seperti ini. Pilihan aksesori yang tepat ke pejabat adalah aksesori yang terletak kemas (tidak bergerak) bersaiz kecil (tidak melebihi saiz 3 jari si pemakai), tidak berbunyi dan berkilau.

5. Pakaian daripada fabrik yang terlalu bersinar, sehingga kelihatan terlalu mengganggu pandangan mata di tempat kerja.

6. Pakaian yang mencerut di bahagian pinggang atau mempunyai garis pinggang yang terlalu menonjol sehingga menarik perhatian mata kerana menzahirkan bentuk badan wanita contohnya baju kurung modern dan kebaya yang dijahit mengikut bentuk pinggang dan pinggul si pemakai, atau kemeja yang dimasukkan dalam seluar/skirt (tuck-in) hingga menampakkan bentuk pinggang dan pinggul wanita.

7. Kemeja dan blouse yang singkat di atas paras punggung sehingga terdedah bahagian ‘redspot’ tubuh wanita. Ada juga yang memakai kemeja dan blouse yang labuh melepasi paras pinggul tetapi memakai tali pinggang yang tetap menzahirkan dengan jelas saiz pinggang dan pinggul.

8. Kombinasi warna pakaian terlalu banyak melebihi 3 warna, sehingga kelihatan berserabut dan terlalu meriah yang tidak sesuai dengan tema ke pejabat.

9. Memakai warna yang terlalu terang, seolah-olah untuk hadir majlis keramaian. Warna gelap dan lembut merupakan pilihan warna yang sepatutnya digunakan untuk busana pejabat, lebih sesuai untuk mesej yang ditampilkan di tempat kerja.

10. Pakaian bercorak terlalu besar dan kasar serta sarat dengan corak bunga. Pilih corak halus, pudar dan polos (plain). Bagi mereka yang sukakakan corak, pilihlah corak geometri, abstrak dan parsley.

11.Potongan dan gaya pakaian terlalu fancy dan berfesyen. Memakai pakaian yang terlalu berfesyen ke pejabat akan mengurangkan kredibiliti dan kewibawaan seorang wanita ketika bekerja, kerana akan dikaitkan dengan wanita yang hanya disibukkan dengan arus dunia fesyen. Potongan pakaian yang fancy juga hanya akan meyebabkan pemakai kelihatan terlalu manja dan tidak tegas sewaktu bekerja.

12.Memakai dress atau skirt potongan princess yang kembang di bahagian bawah. Pemakainya akan kelihatan terlalu feminin, manja, sweet dan tidak tegas sewaktu bekerja. Pakaian pejabat wanita sepatutnya tidak berpotongan kembang dan labuh berjela menyapu lantai.

Anda masih mahukan tips penampilan muslimah bekerjaya? Klik di sini untuk lebih lagi!

 

 

Monday, July 18th, 2016
Subscribe
Notify of
guest

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments