Kerjaya Dan Hala Tuju Perunding Imej Di Malaysia | Temubual Radio IKIMfm | Siri 1

Kerjaya Perunding Imej Di Malaysia – Tim Perunding Imej Malaysia iaitu Puan Raihan Abdul Rahman telah dijemput oleh Radio IKIMfm untuk menerangkan secara terperinci mengenai kerjaya perunding imej di Malaysia dan tanggungjawab serta tugas-tugas umum sebagai seorang perunding dan jurulatih imej bertauliah.

Berikut kami kongsikan perbincangan mengenai topik ini yang telah dikongsikan oleh Puan Raihan Abdul Rahman di Radio IKIMfm semasa ditemubual oleh DJ Ahmad Nazri Mohd Yusof.

 

1. Mengenai Kerjaya Perunding Imej Di Malaysia, Apakah tugas – tugas umum sebagai seorang perunding imej di Malaysia dan tanggungjawab seorang jurulatih imej bertauliah?

Tugas – tugas umum sebagai perunding imej di Malaysia ini antaranya perunding imej memberikan rundingan dan latihan termasuk juga nasihat berkaitan dengan imej. Kita membantu memberikan rundingan secara individu atau secara berkumpulan, iaitu kita bantu organisasi atau syarikat untuk memberikan rundingan kepada kakitangan mereka. Imej kakitangan sesebuah organisasi/syarikat akan menyumbang kepada ‘brand’ sesebuah syarikat. Aspek-aspek rundingan dalam imej sebenarnya sangat luas. Rundingan Imej terdiri daripada 3 elemen besar iaitu; penampilan (appearance), tingkah laku (etiket), dan komunikasi. Perunding Imej akan berikan rundingan daripada tiga aspek tersebut.

Untuk aspek penampilan sahaja sudah banyak, rundingan daripada hujung kaki hingga ke hujung rambut. Semua sekali termasuklah cara berpakaian, cara memilih kasut, pemilihan gaya tudung dan rambut dan pemilihan warna.

Untuk aspek etiket atau tingkah-laku pula, kita membantu individu ataupun organisasi dengan memberikan rundingan bagaimana cara membawa diri yang bersesuaian dengan professional value atau nilai-nilai profession diri atau organisasi mereka. Contohnya, cara memperkenalkan diri (greeting), cara duduk, cara berdiri dan jarak berdiri yang betul. Cara membawa diri maksudnya perlakuan atau tingkah laku yang betul mengikut urusan, mengikut tempat, mengikut acara dan masa.

Banyak perlakuan-perlakuan yang mungkin nampak mudah, kecil dan remeh tetapi ia sebenarnya memerlukan satu rundingan. Contohnya, cara seseorang memberikan atau menghulurkan business card, cara menerima kritikan daripada orang lain, cara menerima pujian, jarak peribadi ketika berurusan, cara makan di dalam majlis (dining etiket) iaitu  cara suap makanan, cara memegang sudu, garfu, pisau dengan betul), cara membawa diri ketika makan di dalam majlis, di hotel dan ketika bermesyuarat. Kesemua itu ada menyumbang kepada brand diri kita dan kepada organisasi.

 

Aspek rundingan yang ketiga ialah komunikasi. Komunikasi ini, kita akan rundingkan dari segi nada suara ketika bercakap, bahasa tubuh (body language) serta konten percakapan (skrip dan bahasa yang betul mengikut urusan).

Kerjaya Perunding Imej Di Malaysia

  1. Kerjaya Perunding Imej Di Malaysia – Bolehkah puan terangkan perbezaan perunding imej dan penggaya (stylist)?

Terdapat beberapa perbezaan di antara tugasan dan peranan perunding imej dan perunding gaya. Yang ini mungkin ada sedikit isu yang orang keliru, kerana ada orang yang tidak dapat membezakan siapakah perunding imej, perunding gaya dan malah perunding kecantikan (image consultant, beauty consultant dan stylist). Mereka keliru mereka perlu mendapatkan rundingan siapa.

 

Saya perlu terangkan sebab saya lihat sekarang ramai yang keliru atau mungkin tidak tahu. Ada orang sebenarnya dia perlukan khidmat perunding imej tetapi dia berjumpa dengan stylist. Ada juga orang yang mungkin memerlukan perunding imej tetapi dia berjumpa dengan beauty consultant. Sedangkan ketiga – tiganya adalah kerja yang berbeza dan rundingan yang berbeza.

Apa yang dirunding oleh seorang perunding imej adalah berkaitan dengan penambahbaikan imej individu, dan sekiranya dia bekerja di sebuah syarikat, rundingan termasuk kepada imej syarikat. Sekiranya rundingan individu dia menyumbang kepada brand diri sendiri (personal brand) dan kalau syarikat dia akan menyumbang kepada brand syarikat. Jadi sudah pasti rundingan bukan hanya tertumpu kepada aspek kecantikan diri. Maksudnya, apa yang seorang perunding imej akan rundingkan dan berikan panduan adalah cara-cara berpenampilan dan cara membawa diri yang tepat dengan ‘professional value’. Cara berpenampilan dan membawa diri dengan gaya penampilan, gaya komunikasi dan tingkah-laku yang betul akan memberikan persepsi yang betul dan tepat terhadap profession seseorang dan syarikatnya.

Bila kita sebut tugas merunding imej, ianya adalah tugasan mengurus persepsi yang baik dan betul mengikut nilai-nilai yang dibangunkan dalam diri seseorang individu atau organisasi. Mengurus persepsi bukan sahaja amat penting bagi seseorang yang mempunyai  profession. Mengurus persepsi adalah pentig pada zaman ini apabila kita perlu bergaul dengan masyarakat  termasuklah juga bagi mereka yang tidak bekerja dan duduk di rumah. Seorang surirumah juga perlu mempunyai kemahiran dalam menguruskan imej dan menguruskan persepsi masyarakat terhadap dirinya kerana dia akan membawa brand suami, anak-anaknya, ibubapa, keluarga mertuanya dan persepsi terhadap seorang surirumah.

 

Mengurus imej dan persepsi juga amat penting dan kritikal bagi seorang usahawan. Seorang usahawan mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membangunkan nilai-nilai  dan jenama perniagaannya. Apabila kita keluar sahaja daripada rumah, kita terus perlu menguruskan persepsi orang terhadap kita.

Kerana itu amat penting peranan seorang Perunding Imej untuk membantu sesorang individu dan syarikat mengenal pasti professional value dan personal value. Ini kerana ada personal value seseorang itu dan personaliti dirinya yang tepat dan kena dengan profession dirinya, tetapi dalam masa yang sama ada ramai orang yang ‘personal value’ dirinya tidak tepat dengan profession yang dipilihnya.

Seorang perunding imej berperanan untuk membantu pelanggannya menyenaraikan apakah professional value dan imej yang perlu dibangunkan dalam dirinya, dan bagaimana membentuk persepsi yang tepat terhadap profession dirinya dengan menasihati perkara-perkara berkaitan teknik penampilan dan cara berpakaian, cara dan gaya tingkh-laku serta gaya komunikasi yang besesuaian sehingga mampu menimbulkan trust, kredibiliti dirinya agar relevan dan diterima dalam industri.

 

  1. Kerjaya Perunding Imej Di Malaysia – Selain daripada aspek pakaian atau make up, apakah aspek – aspek lain yang diberi tumpuan oleh Perunding Imej dan Jurulatih Imej Bertauliah?

Seperti yang disebut tadi, ada tiga elemen besar dalam khidmat rundingan imej yang akan diberikan oleh seorang perunding imej bertauliah, iaitu aspek berkaitan penampilan, tingkah laku dan komunikasi. Apabila kita sebut tentang penampilan sahaja, banyak perkara dan aspek yang akan dirunding, bukan setakat tertumpu kepada make up sahaja dan juga bukan setakat gaya berpakaian. Perunding Imej Profesional akan merunding atau memberikan nasihat tentang bagaimana memilih pakaian yang tepat mengikut urusan, masa atau acara. Apakah jenis-jenis fabrik, warna, coark, design pakaian formal, separuh formal, korporat dan kasual.

Perunding Imej juga akan turut mengenalpasti ton kulit dan menerangkan atau menasihatkan warna yang sesuai dan tidak sesuai bagi seseorang individu, dan ini sangat penting supaya mereka tidak akan membuang masa, kos dan tenaga untuk membeli pakaian yang tidak sesuai dengan dirinya. Perunding Imej juga akan menasihati dan memberikan panduan bagaimana seseorang perlu menguruskan wardrobe. Maksudnya, menguruskan pakaian-pakaian yang perlu ada dalam almari sesorang, mengikut jenis kerjaya, pakaian mengikut bentuk serta rangka tubuh, juga mengikut bentuk wajah dan gaya rambut serta tudung/hijab.

Seorang Perunding Imej Bertauliah juga boleh memberikan rundingan dan panduan berkenaan  adab tingkah-laku atau etiket mengikut tempat, masa, suasana dan acara yang bersesuaian. Seterusnya seorang Perunding Imej juga akan memberikan nasihat dan panduan berkenaan cara berkomunikasi daripada aspek nada suara dan konten percakapan.

Bermaksud perkara dan aspek yang perlu dirunding oleh seorang perunding imej bukan setakat mengenai make-up/solekan wajah yang sesuai semata-mata. Kadang-kadang ada orang keliru sebenarnya tentang perkara ini, kalau dari segi teknik solekan/make-up semata-mata, seseorang itu boleh berjumpa dengan ‘beauty consultant’, dan dia tidak perlu berjumpa dengan seorang perunding imej, kerana perunding imej akan berikan khidmat nasihat lebih daripada itu.

 

 

Nantikan sambungan perkongsian temubual Kerjaya Perunding Imej Di Malaysia IKIMfm dalam artikel akan datang!

 

Kerjaya Perunding Imej Di Malaysia

 

 

 

 

 

 

Saturday, December 29th, 2018
Subscribe
Notify of
guest

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments