5 Jenis Skirt Trendy Muslimah – Fesyen skirt labuh kini menjadi tarikan di kalangan muslimah masa kini. Kebelakangan ini, kita boleh melihat pemakaian skirt labuh bagi wanita lebih terbuka dan tidak terhad kepada mana-mana peringkat umur. Pemakaian skirt boleh menampakkan seseorang muslimah itu tampil lebih anggun dan menonjolkan ciri-ciri feminin seseorang muslimah. Namun, si pemakai haruslah bijak memilih dan bergaya dengan pemilihan skirt yang tepat dan bersesuaian dengan bentuk tubuh dan personaliti diri.
Mungkin ada yang sering melakukan kesilapan ketika memilih skirt labuh. Apabila ingin menggayakan sesebuah skirt, seharusnya perlu diteliti sama ada gaya skirt labuh tersebut bersesuaian terutamanya dalam menonjolkan imej muslimah. Untuk entri kali ini, kami daripada Tim Perunding Imej Malaysia ingin berkongsi 5 jenis skirt trendy muslimah yang menarik dan bergaya yang boleh anda cuba.
Pencil Skirt
Pencil skirt mempunyai potongan skirt yang lurus, dan apabila dipakai ianya mampu menampakkan si pemakai kelihatan kemas. Selain itu, skirt jenis ini juga boleh digunakan di pelbagai acara sama ada untuk acara formal mahupun kasual. Material kain skirt ini yang bergetah memudahkan lagi pergerakan si pemakai. Namun, bagi seorang wanita muslimah, pemakaian skirt ini perlu dipadankan dengan top yang bersesuaian seperti top yang longgar dan labuh. Antaranya top yang boleh dipadankan dengan skirt ini adalah seperti bat wing top, ataupun mullet top.
Pleated Skirt
Pleated skirt merupakan rekaan gaya yang terkini dimana perincian rekaannya adalah terletak pada lipatan-lipatan yang rapi dan kelihatan manis untuk digayakan. Pleated skirt ini sesuai digayakan dengan warna-warna pastel, dan boleh digayakan dengan top yang bermotif. Namun muslimah harus pandai menggayakan skirt ini dengan baju yang sesuai supaya corak yang ada pada baju tidak kelihatan begitu sarat. Material kain yang sering digunakan untuk skirt jenis ini adalah seperti chiffon.
Accordion Skirt
Accordion skirt mempunyai gaya lipatan sisip yang banyak dan secara visualnya ia kelihatan agak sempit. Namun, lipatan sisip yang dihasilkan sebenarnya membuka sisipan kain tersebut untuk memberi ruang dan menjadi lebih lebar lebar. Skirt ini juga membolehkan pergerakan yang bebas.
Sisip lipatan kain skirt ini menjadikan skirt ini beralun dengan kemas. Skirt accordian ini tidak pernah lapuk di pasaran kerana gaya rekaannya yang unik dan mudah untuk digayakan dan amat sesuai dan menjadi pilihan imej muslimah. Tambahan lagi, material kain yang digunakan untuk accordion skirt ini juga lembut seperti chiffon, satin, dan juga kain sutera.
Circular Skirt
Circular skirt dipotong bulat di bahagian tengah untuk dijadikan satu lagi bulatan untuk bahagian pinggang. Ini menjadikan skirt ini kelihatan agak lebar, dan terletak sahaja pada pinggang. Skirt ini hanya perlu dijahit tepi, tanpa ada sisipan tepi, mahupun dat. Padanan top yang sesuai untuk skirt ini adalah seperti ribbed dress. Skirt ini juga boleh dipadankan dengan kasut tumit tinggi supaya kain tersebut kelihatan flowy untuk wanita muslimah.
A Line Skirt
A Line Skirt bermaksud skirt yang mempunyai potongan kecil di bahagian pinggang dan peha namun melebar atau kembang di bahagian bawah. Skirt ini apabila dipakai, ia akan memberi gambaran berbentuk A. Skirt ini mampu menampakkan si pemakai kelihatan ramping dan tinggi. A Line Skirt sesuai untuk dipakai dalam acara yang kasual. Walaubagaimanapun, untuk acara formal, A Line Skirt boleh dipakai dengan potongan A yang minimum dan tidak terlalu kembang.
Setakat ini dahulu perkongsian kami mengenai 5 Jenis Skirt Trendy Muslimah. Fesyen merupakan sesuatu yang berkembang dengan pantas mengikut peredaran zaman. Oleh itu, muslimah seharusnya lebih berhati-hati dalam meneliti ciri-ciri setiap jenis pakaian yang ingin digayakan agar bersesuaian mengikut acara, masa dan suasana yang ingin dihadiri dan dalam masa yang sama bersesuaian juga dengan personaliti diri, jawatan dan industrti yang diceburi.
Anda masih mahukan tips penampilan diri? Klik di sini untuk lebih lagi!