10 Adab Dan Etiket Penting Dalam Mesyuarat : Perunding Imej Malaysia

10 Adab Dan Etiket Penting Di Dalam Mesyuarat

Mesyuarat dan kehidupan bekerjaya memang tidak dapat dipisahkan. Mungkin ada di antara kita yang hampir setiap hari perlu menghadiri mesyuarat, sama ada mesyuarat yang tempohnya singkat atau agak panjang. Apa pun jenis mesyuarat yang kita hadiri, apabila ia memberi kesan besar terhadap kerjaya dan bisnes kita, maka perlu dirancang dengan teliti bagaimana cara kita membawa diri atau menonjolkan diri kita di dalam mesyuarat.

Mesyuarat adalah tempat bagaimana profesionalisme diri kita dinilai, bagaimana adab komunikasi kita ketika menyuarakan pandangan dan mengusulkan pendapat, bagaimana adab ketika tidak berpuas hati dan ketika menerima kritikan, bagaimana tingkah-laku kita ketika mendengar ahli mesyuarat lain sedang bercakap, serta bagaimana komitmen dan sikap kita sebelum, semasa dan sepanjang mesyuarat, serta selepas mesyuarat. Kerana itu mesyuarat adalah antara tempat yang tepat untuk kita membina reputasi diri dan mencipta personal brand diri kita dalam organisasi, dan dalam industri. Rancang sebaiknya bagaimana kita ingin dilihat dan dinilai ketika menghadiri mesyuarat. Apa sahaja adab, etiket dan tingkah-laku kita sepanjang bermesyuarat akan sentiasa diperhatikan dan mempunyai risiko kepada masa hadapan kerjaya atau bisnes kita. Di sini terlihatnya profesionalisme, komitmen dan sikap kita dalam kerja yang dilakukan.

Di sini Perunding Imej Malaysia ingin kongsikan 10 adab atau etiket bisnes ketika menghadiri mesyuarat,  semoga ia boleh dijadikan panduan dan amalan untuk kita menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dan di dalam masa yang sama mampu melonjakkan kredibiliti diri kita dalam kerjaya dan bisnes yang kita ceburi.

Adab Dan Etiket Penting Di Dalam Mesyuarat #1

Datang tepat pada masanya atau hadir awal. Sekiranya tidak boleh hadir awal, elakkan daripada terlewat, sekurang-kurangnya datang tepat pada waktu mesyuarat bermula. Sekiranya terlewat, masuk dengan senyap tanpa melakukan perkara yang boleh menarik perhatian orang lain.

 

Adab Dan Etiket Penting Di Dalam Mesyuarat #2

Apabila dijemput menghadiri mesyuarat, pastikan kita memberi maklum balas sama ada anda boleh hadir atau tidak. Sebaiknya rancang jadual kerja dengan teliti agar kita dilihat seorang yang teratur dan mengambil berat terhadap semua urusan kerja.

 

Adab Dan Etiket Penting Di Dalam Mesyuarat #3

Jangan mengharapkan orang lain untuk hadir sebagai ganti di dalam mesyuarat. Tunjukkan nilai bertanggungjawab dan komitmen diri kita sebagai seorang yang profesional dan serius dalam kerja.

 

Adab Dan Etiket Penting Di Dalam Mesyuarat #4

Bersedia dengan pen dan kertas, serta fail mesyuarat yang mengandungi dokumen-dokumen mesyuarat. Sebaiknya baca dokumen-dokumen mesyuarat yang diberikan oleh Setiauha Mesyuarat sebelum mesyuarat agar kita lebih bersedia dan mampu menyumbang idea dan buah fikiran dalam membentuk keputusan mesyuarat yang berkualiti.

 

Adab Dan Etiket Penting Di Dalam Mesyuarat #5

Sekiranya perlu membuat pembentangan, pastikan slaid power point dan lampiran telah disediakan. Lampiran hendaklah diserahkan kepada pihak yang terlibat sekurang-kurangnya 3 hari sebelum mesyuarat.

 

Adab Dan Etiket Penting Di Dalam Mesyuarat #6

Pastikan alat elektronik seperti telefon bimbit di dalam mode senyap. Sekiranya terlupa untuk mematikan telefon bimbit, mohon maaf, jangan jawab panggilan ketika bermesyuarat dan segera tekan butang telefon bimbit kepada mode senyap.

 

Adab Dan Etiket Penting Di Dalam Mesyuarat #7

Sekiranya ingin bertanyakan soalan, angkat tangan dan tunggu sehingga diberi izin oleh Pengerusi mesyuarat untuk bertanya soalan. Elakkan soalan dan isu-isu sensitif yang boleh mengundang ketidakselesaan ahli-ahli mesyuarat.

Adab Dan Etiket Penting Di Dalam Mesyuarat

Adab Dan Etiket Penting Di Dalam Mesyuarat #8

Jangan bertanyakan soalan yang panjang. Pecahkan kepada beberapa bahagian dan bertanya satu perkara pada satu-satu masa. Tanya soalan yang berkaitan mengikut agenda mesyuarat yang dibincangkan. Fokus kepada agenda dan tanyakan soalan yang dapat menyumbang kepada keputusan mesyuarat yang berkualiti.

 

Adab Dan Etiket Penting Di Dalam Mesyuarat #9

Ahli mesyuarat yang ingin bercakap hendaklah memohon keizinan daripada pengerusi mesyuarat, dan menghalakan ucapannya kepada pengerusi mesyuarat, walaupun ingin memberi pandangan kepada ahli mesyuarat yang duduk di sebelahnya. Ini bertujuan menghormati pengerusi dan semua ahli mesyuarat, selain daripada memastikan kelancaran perjalanan mesyuarat. Apabila diberi peluang bercakap dan menyuarakan pendapat, bercakaplah dengan yakin, jelas dan terang serta jangan bersikap angkuh dan sombong.

 

Adab Dan Etiket Penting Di Dalam Mesyuarat #10

Adab ahli mesyuarat yang tidak bercakap adalah seperti berikut :

Masuk/keluar bilik mesyuarat dengan tertib, elakkan melintas ruangan tengah bilik/dewan mesyuarat, elakkan membaca bahan yang tiada kaitan dengan perkara yang dibahaskan serta elakkan mengganggu dan menyampuk ahli mesyuarat lain yang sedang bercakap.

Bagaimana kita berkelakuan dan mempersembahkan diri kita dalam mesyuarat adalah sebahagian daripada nilai profesional diri kita. Ianya pastilah akan menjadi buah mulut tentang diri kita di kalangan rakan sekerja, majikan, pelanggan dan ramai lagi, yang akan menaikkan kredibiliti diri kita dalam mengetengahkan personal brand dan imej profesional diri kita.

 

Selain daripada mengambil berat dan mengaplikasikan adab atau etiket bisnes ketika menghadiri mesyuarat, sudah pastilah adab dan etiket kerja kita di luar mesyuarat yang konsisten akan menaikkan lagi imej dan kredibiliti kita yang akan berterusan mewujudkan kepercayaan dan rasa hormat rakan-rakan sekerja, majikan dan pelanggan terhadap diri dan profesion kita. Dapatkan artikel adab dan etiket di pejabat  di sini.

Saturday, August 27th, 2016
Subscribe
Notify of
guest

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments