Bengkel Pengucapan Awam : Keterampilan Bertutur MBJB Pada 22 -23 Julai 2018 – Kali ini Tim Perunding Imej Malaysia telah dilantik oleh UTM Space untuk mengendalikan Bengkel Pengucapan Awam : Keterampilan Bertutur kepada 40 orang pegawai dan kakitangan Majlis Bandaraya Johor Bahru. Kursus selama 2 hari ini bertempat di Hotel The Puteri Pacific Johor Bahru.
Para peserta yang terpilih untuk menghadiri bengkel ini adalah terdiri daripada para pegawai yang rutin tugas mereka perlu membuat pembentangan dalam bidang dan kepakaran mereka, berhadapan dengan penduduk dan orang ramai dan perlu menyampaikan taklimat dan penerangan serta sering berurusan dan berkomunikasi dengan pelanggan, tetamu dan pihak atasan.
Gementar, takut, gemuruh, kurang yakin, kurang mahir menyusun isi pembentangan, kurang pandai menarik minat dan perhatian pendengar….adalah antara isu dalam pengucapan awam. Masalah atau isu ini dihadapi oleh ramai orang termasuk mereka yang berkelulusan dan berpendidikan tinggi serta berjawatan tinggi. Walaupun ada yang bergelar ketua dan biasa memberikan arahan kepada kakitangan bawahan, tidak semestinya seseorang itu mempunyai keberanian berucap di hadapan ramai orang. Bukan semua orang mampu berdiri di hadapan orang ramai dan memberikan ucapan dengan penuh keyakinan.
Bagaimanapun apabila sedang membina dan mendaki tangga kerjaya, kita perlu berusaha bersungguh-sunguh menampilkan kebolehan dan keyakinan diri ketika diminta memberikan ucapan di hadapan ramai orang. Kemahiran pengucapan awam mampu melonjakkan kredibiliti dan ketrampilan diri kita dalam mendaki tangga membina kerjaya ke tahap yang tertinggi. Persiapkan diri dan penuhi ilmu dan kemahiran pengucapan awam dalam diri agar tidak kelam-kabut apabila perlu berhadapan dengan orang ramai dan berucap, sama ada menyampaikan ucapan, menyampaikan usul dan buah fikiran, memberikan arahan dan taklimat kerja, menyampaikan perkongsian dan presentasi di seminar-seminar atau ketika dijemput dalam slot bual-bicara di media.
Dalam Kursus Pengucapan Awam Berkesan ini, para peserta yang hadir telah mempelajari ilmu bagaimana untuk berdiri di hadapan ramai orang dengan meyakinkan, berani dan bergaya, memandang setiap orang yang brada di hadapan kita dengan teruja, penuh minat dan gembira, serta bagaimana teknik melontar vokal dan menggunakan nada suara dengan mantap dan jelas sehingga dilihat seorang pembentang yang profesional dan berkredibiliti.
Para peserta Bengkel Pengucapan Awam : Keterampilan Bertutur MBJB ini juga mempelajari teknik bagaimana kelihatan profesional dengan ketrampilan bahasa tubuh yang berpengaruh, dan gaya berucap yang meyakinkan. Dan yang paling hebat, para peserta didedahkan dengan rahsia bagaimana menyusun konten yang menarik, teknik menyusun flow yang berkesan menggunakan teknik empat penjuru, dan teknik memilih perkataan dan laras bahasa menggunakan ilmu bahasa multisensori yang berkuasa, sehingga kita mampu menyentuh butang emosi manusia dan logik akal fikiran mereka seterusnya mampu merangsang mereka berfikir serta bertindak atas perkara yang kita ingin mereka lakukan selepas selesai ucapan dan pembentangan kita.
Di samping itu dalam Bengkel Pengucapan Awam : Keterampilan Bertutur MBJB ini para peserta mendapat teknik bonus membina pengaruh ucapan dengan teknik mirroring & matching, dan teknik metafora dalam memberi elemen kejutan dan keterujaan kepada audien untuk terus asyik dan khusyuk mendengar, meronta-ronta dan ternanti-nanti setiap apa yang akan kita luahkan dan bentangkan. Teknik ini akan menyebabkan setiap pembentang mampu tersenyum dengan keseronokan kerana audien mereka akan menyerap segala manfaat hasil daripada menghadiri dan mendengar ucapan dan pembentangan kita.
Kursus ini dijalankan dengan 80% daripada kaedah penyampaian adalah dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti praktikal dan latihan secara individu, berpasangan dan berkumpulan untuk memantapkan pemahaman dan memberi pengalaman sebenar kepada setiap peserta.
Setinggi penghargaan kepada pihak UTM Space dan Majlis Bandaraya Johor Bahru di atas jemputan mengendalikan Bengkel Pengucapan Awam : Keterampilan Bertutur MBJB ini. Tim Perunding Imej Malaysia sememangnya amat teruja dan gembira atas peluang dan kesempatan untuk berkongsi ilmu pengucapan awam yang kami sendiri aplikasikan dalam program-program latihan, bengkel-bengkel dan seminar yang kami kendalikan selama hampir 16 tahun ini kepada ribuan peserta. Semoga ilmu yang dikongsikan ini beroleh nilai yang tinggi dan bermanfaat dalam melonjakkan kerjaya dan profesion setiap peserta, dan sebagai saham yang cemerlang di dunia dan akhirat dalam menyebarkan kebaikan kepada ramai orang.
Anda berminat untuk mengadakan bengkel Bengkel Pengucapan Awam : Keterampilan Bertutur ini di tempat anda? Klik di sini untuk mendapatkan maklumat terperinci kursus ini beserta sebutharga!