Pengurusan Imej Dalam Membentuk Personaliti Dan Pesona Diri – Perunding Imej Malaysia. Imej adalah persepsi orang ramai terhadap siapa diri kita melalui apa jua bentuk komunikasi daripada diri anda. Menjaga dan menguruskan imej diri bererti, bagaimana kita sebagai seorang individu mampu dan bijak menguruskan pandangan orang ramai terhadap siapa diri kita secara positif. Penjagaan dan pengurusan imej diri merangkumi keseluruhan elemen penampilan, amalan penjagaan dan kebersihan diri, tingkah laku (di mana etiket, adab dan ketertiban diambil kira), juga cara kita berkomunikasi sama ada lisan atau bukan lisan.
Tahukah anda imej atau persepsi orang lain terhadap kita boleh terbentuk dalam masa sepantas 7 saat. Tahukah anda apakah impak yang akan berlaku apabila anda bertemu dengan seseorang yang baru sahaja dikenali? Pernahkah anda bertemu dengan seseorang yang baru sahaja dikenali namun anda telah dapat menyesuaikan diri dan dapat berbual dengannya seperti sudah mengenalinya dalam tempoh yang lama sehingga dapat merasai kemesraannya?
Bagaimanakah ianya boleh berlaku? Ia boleh berlaku berdasarkan imej diri anda atau pakej personaliti yang anda miliki. Namun tahukah anda dalam masa 7 saat ini juga, anda berkemungkinan juga boleh kehilangan peluang keemasan yang sepatutnya diperolehi hanya kerana imej diri anda, kerana anda tidak bersedia mempersiapkan diri dengan pemakaian dan dandanan yang sepatutnya, dan anda juga gagal mempamerkan personaliti yang melambangkan kelebihan dan kredibiliti diri anda.
Kebenarannya, walaupun ramai yang percaya kepada pepatah ‘don’t judge a book by it’s cover’ atau ‘people should not judge us by our outer appearance’, namun realitinya dan hakikatnya, dalam sedar ataupun, kajian menunjukkan luaran imej diri kita tetap dinilai dalam masa 7 saat pertama sesuatu pertemuan. 7 saat pertama adalah saat-saat penting dan kritikal dalam sesuatu pertemuan. Dalam masa 7 saat pertama inilah, pandangan atau pendapat seseorang pada diri kita boleh dinilai dengan hanya melihat cara kita berpakaian, bertingkah-laku dan berkomunikasi kerana ia mampu menonjolkan tahap keyakinan, kepercayaan, tahap kejayaan, keupayaan kita dalam melakukan sesuatu pekerjaan dan sebagainya.
Sayangnya, ada ramai orang di luar sana yang kurang memikirkan tentang penampilan dan imej diri sendiri terlebih dahulu sebelum melangkah keluar rumah. Malah ada juga yang langsung tidak memikirkan bagaimana pendapat orang lain tentang diri mereka.
Mungkin sesetengah orang adakalanya lemah dalam menganalisis penampilan imej dan personaliti dirinya. Adakah mungkin kerana mereka tidak memperdulikan bagaimana tanggapan orang lain ketika melihat diri mereka? Saya tidak rasa begitu. Saya percaya bahawa ianya berlaku kerana ramai orang tidak berupaya melihat diri mereka melalui pandangan mata orang lain atau cara orang lain melihat mereka. Antara perkara yang agak sukar untuk dilakukan oleh ramai orang ialah melihat diri sendiri di cermin dan menganalisa imej diri secara kritikal dan mendalam.
Sudah tentu imej diri kita adalah lebih daripada apa yang kita lihat diri kita di cermin semata-mata. Imej diri kita adalah meliputi seluruh aspek tentang bagaimana kita mempersembahkan pakej diri kita kepada dunia. Imej diri kita adalah meliputi keseluruhan cara orang lain memandang kita. Imej termasuklah bagaimana cara kita membawa diri. Ianya bukan semata-mata tentang jenis atau warna pakaian, aksesori atau kasut yang kita pakai. Perlu diingat kasut yang kita pilih dan pakai, ianya bukan dinilai hanya sekadar kasut, lebih daripada itu ia memberitahu atau menghantar mesej kepada orang lain tentang imej diri kita, tentang bagaimana kita menganggap diri kita penting, kerjaya kita penting, urusan itu penting dan orang yang sedang berurusan dengan kita itu penting.
Ingat, imej adalah pengumpulan isyarat dan komunikasi yang anda sampaikan, setiap masa. Imej termasuklah komunikasi nonverbal dan tidak hanya terhad kepada pakaian dan solekan anda. Komunikasi non verbal ini termasuklah cara anda berdiri, berjalan, duduk, cara anda memandang, bersalam, serta apa sahaja isyarat tubuh dan ekspresi wajah yang anda tonjolkan.
Perunding Imej Malaysia akan membantu anda mendalami konsep pengurusan imej diri ini dan berbincang mengenai aspek-aspek imej yang boleh anda ikuti dalam blog ini untuk menguruskan personaliti anda. In sha Allah, kami akan terus memberikan tips dan panduan kepada anda sebagai salah satu usaha kami membantu anda dalam menambahbaik imej penampilan diri.