Adab berjabat tangan atau bersalaman ketika memulakan urusan atau perbualan adalah adab yang dituntut dalam Islam dan juga dalam etiket profesional. Tujuannya adalah untuk mewujudkan suasana yang harmoni dan tenang dalam berurusan. Berjabat tangan adalah salah satu akhlak mulia yang menghiasi diri kaum muslimin.
Entri kali ini Perunding Imej Malaysia ingin berkongsi kelebihan adab berjabat tangan yang amat dituntut oleh agama Islam.
Orang yang menghulurkan tangan untuk bersalam akan dilihat sebagai individu yang mudah didekati, mudah berkawan, mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan ikhlas dalam menjalin perhubungan serta gembira untuk berurusan.
‘Someone may be perceived as confident because they have a firm hand-shake.’
Orang yang sudi menghulurkan salam terlebih dahulu sebelum orang lain menghulurkan salam kepadanya juga dilihat sebagai individu yang merendah diri, tidak sombong dan suka meraikan orang lain.
Walaupun adab berjabat tangan ini dituntut, namun sekiranya cara melaksanakannya kurang beradab, ia akan menimbulkan rasa tidak senang hati kepada orang yang kita ingin berjabat tangan dan boleh mengeruhkan suasana pertemuan dan urusan. Malah perlakuan bersalam yang tidak kena cara ini juga mampu menjatuhkan reputasi dan kredibiliti diri seseorang. Sekiranya kita melakukan kesilapan dalam cara bersalaman ketika pertama kali berurusan, ia akan memberikan kesan ‘first impression’ yang tidak baik tentang diri kita.
Rasulullah SAW telah menunjukkan adab berjabat tangan yang paling tepat dan halus perlakuannya ketika bersalaman dengan orang lain, yang boleh kita contohi :
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اسْتَقْبَلَهُ الرَّجُلُ فَصَافَحَهُ لَا يَنْزِعُ يَدَهُ مِنْ يَدِهِ حَتَّى يَكُونَ الرَّجُلُ يَنْزِعُ وَلَا يَصْرِفُ وَجْهَهُ عَنْ وَجْهِهِ حَتَّى يَكُونَ الرَّجُلُ هُوَ الَّذِي يَصْرِفُهُ وَلَمْ يُرَ مُقَدِّمًا رُكْبَتَيْهِ بَيْنَ يَدَيْ جَلِيسٍ لَهُ
Dari Anas bin Malik berkata: Apabila ada seseorang menemui Nabi SAW lalu berjabat tangan dengannya, baginda tidak melepaskan jabatan tangannya sampai lelaki tadi yang melepaskannya terlebih dahulu, dan baginda tidak memalingkan wajahnya dari wajah orang yang menemuinya sampai lelaki itu yang terlebih dahulu memalingkan wajahnya, dan baginda tidak pernah terlihat mengedepankan kedua lututnya di hadapan para sahabatnya. (HR Tirmizi No: 2414)
ADAB BERJABAT TANGAN YANG DILAKUKAN OLEH RASULULLAH SAW :
a. Tidak akan melepaskan gengaman tangan apabila berjabat tangan dengan orang lain sehinggalah orang tersebut yang merungkaikannya.
b. Ketika bersalaman, Baginda akan memandang wajah orang yang disalami sehingga orang tersebut yang memalingkan wajah terlebih dahulu.
Tidak hairanlah bagaimana Rasulullah SAW mampu mencipta pengaruh yang sangat tinggi di kalangan sesiapa sahaja yang menemuinya kerana kehalusan, ketinggian dan kemuliaan budi pekertinya. Baginda sangat prihatin dan mengambil berat walaupun perkara ini mungkin dilihat sesetengah orang hanya perkara kecil namun Baginda Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada umatnya bahawa perlakuan yang kecil ini mampu memberi impak yang besar dalam menjalin hubungan dengan orang lain, kerana ia memberi kesan besar kepada jiwa dan perasaan orang lain serta menentukan penerimaan orang terhadap diri kita, terutama orang yang ingin kita pengaruhi.
Semoga kita mampu mencontohi perlakuan Nabi SAW yang sangat teliti, halus dan mulia dalam perlakuannya dalam pergaulan.
KEUTAMAAN ADAB BERJABAT TANGAN
Bagi orang Islam, perlakuan berjabat tangan ini memiliki keutamaan yang sangat agung dan pahala yang sangat besar. Berjabat tangan termasuk diantara penyebab terhapusnya dosa, sebagaimana dalam hadith :
عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا
Dari Barâ’ bin ‘Aazib Radhiyallahu anhu, ia berkata, “Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: tidaklah dua orang Muslim bertemu kemudian mereka bedua saling berjabat tangan kecuali diampuni dosa keduanya sebelum mereka berpisah.”
Dari Hudzaifah Radhiyallahu anhu ia berkata: Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :
إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا لَقِيَ الْمُؤْمِنَ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ وَ أَخَذَ بِيَدِهِ فَصَافَحَهُ تَنَاثَرَتْ خَطَايَاهُمَا كَمَا يَتَنَاثَرُ وَرَقُ الشَّجَرِ
Sesungguhnya seorang Mukmin apabila berjumpa dengan Mukmin lainnya lalu ia mengucapkan salam kepadanya kemudian memegang tangannya dan berjabat tangan, maka berguguran (dihapuskan) dosa mereka sebagaimana daun pohon berguguran.