5 Tips Menjaga Kasut Kulit Lelaki

5 Tips Menjaga Kasut Kulit Lelaki – Memiliki sekurang-kurangnya sepasang kasut kulit adalah perkara yang semestinya bagi seorang lelaki yang bekerjaya. Penggunaan kasut kulit ini, kebiasaanya digunakan dalam acara rasmi atau majlis-majlis formal yang tertentu serta sewaktu mereka bekerja bagi memberikan penampilan yang profesional dan berkredibiliti. Namun ada juga sesetengah kaum lelaki pada masa kini yang suka memakai kasut kulit setiap kali keluar walaupun untuk bersosial atau acara yang kurang formal atau kasual. Bagi mereka yang berkemampuan pula, berapa pun harga sepasang kasut kulit, jika sudah minat pasti akan tetap membelinya walaupun harga tersebut di luar jangkaan.

Oleh kerana harganya yang agak mahal, untuk membuat keputusan membeli sepasang kasut kulit bukanlah mudah malah kadangkala mengambil masa berhari-hari untuk memikirkannya. Sudah pasti anda akan menghabiskan masa untuk membelek-belek dan membanding-bandingkan kasut tersebut terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada mahu membeli ataupun tidak.

Pembeliaan kasut kulit bukan hanya untuk dipakai sehari dua tetapi ianya adalah satu pelaburan untuk digunakan dalam jangka masa yang panjang. Rugilah sekiranya kita hanya bijak memilih kasut yang berkualiti, tetapi tidak tahu bagaimana untuk menjaga kasut kulit yang dibeli itu dengan baik, kerana mungkin jangka hayat kasut itu tidak dapat bertahan lama. Jangan risau,  Perunding Imej Malaysia akan bantu anda, kami ingin berkongsi beberapa tips penjagaan kasut kulit yang boleh dipraktikkan.

Mengilat Kasut Setiap Hari
5 Tips Menjaga Kasut Kulit Lelaki

Setelah menempuh waktu seharian dengan berkasut kulit, ada sesetengah lelaki agak liat untuk membersihkan kotoran yang terlekat pada kasut terutama sekali kotoran ketika waktu hujan. Kadangkala hingga kotoran tersebut menjadi kering. Anda perlu mengubah  sikap itu! Ia akan menyebabkan lebih sukar untuk membersihkannya selepas tempoh yang lama dibiarkan kotor kerana kotoran sudah mula meresap pada kulit kasut.

Walaupun anda sudah menggunakan cecair cucian ataupun hanya menggunakan air biasa, jika kasut anda mempunyai bahagian yang bertali dan berjahit pasti kasut kulit itu masih boleh menyerap kotoran lalu berubah warna aslinya. Jangan mengambil mudah, kasut kulit walaupun mempunyai kualiti yang tinggi namun ia mudah rosak jika tidak dijaga dengan betul dan rapi.

Walau bagaimana sibuk pun anda, cubalah luangkan sedikit masa untuk mengelap dan mengilatkan kasut sekurang-kurang seminggu sekali. Jika kasut terkena kotoran, bersihkan dengan segera. Jangan biarkan kotoran pada kasut terlalu lama. Kotoran yang terlalu lama dibiarkan mungkin akan kekal dan meninggalkan warna kuning yang merosakkan warna asli kasut anda.

Bagi anda yang terlalu sibuk dan tiada masa langsung, bersihkanlah kasut anda menggunakan  tisu basah. Jika jenis kasut kulit anda memerlukan penggunaan berus, sebaik-baiknya gunakan berus yang agak lembut untuk membersihkan kasut.  Elakkan menggunakan berus yang mempunyai bulu yang kasar, ia akan menyebabkan kulit kasut anda mudah rosak. Ketika mengilatkan kasut kulit, beruslah kasut dalam dalam arah membulat. Jangan memberus terlalu perlahan, ia tidak akan memberikan perubahan malah hanya akan membazir masa anda.

Elakkan Memakai Kasut Yang Sama Setiap Hari

5 Tips Menjaga Kasut Kulit Lelaki

Sebaik-baiknya, elakkan memakai kasut yang sama setiap hari terutamanya dipakai untuk perjalanan yang lasak kerana akan  memungkinkan kasut anda cepat rosak dan menyebabkan ketidakselesaan semasa memakainya. Cuba dapatkan dua pasang kasut yang anda boleh bergilir-gilir pakai sekiranya anda sememangnya pemakai kasut kulit setiap hari.

Setelah memakai kasut seharian, sebaiknya rehatkan kasut tersebut dalam masa sekurang-kurangnya sehari. Kasut kulit anda akan mudah mengembang dan kulitnya akan mudah tercalar, selain daripada warnanya akan mudah pudar dan merekah sekiranya dipakai terlalu kerap tanpa direhatkan penggunaannya. Anda juga tidak digalakkan memakai kasut yang sama setiap hari bagi mengelakkan bau yang kurang enak ketika memakainya.

Menggunakan ‘Shoe Tree’

5 Tips Menjaga Kasut Kulit Lelaki

Tiada siapa yang menginginkan kasut kesayangan yang baru sahaja dibeli kelihatan sudah rosak dan buruk. Untuk mengatasi masalah ini, satu tip menjaga kasut kulit ialah dengan menggunakan shoe tree. Siapa yang buntu dalam mencari tip penjagaan kasut kulit, ini adalah salah satu jawapannya.

Fungsi shoe tree ini adalah untuk mengekal dan menjaga bentuk kasut anda agar sentiasa ‘fix’ dan selesa ketika dipakai. Adalah kurang tepat jika ada yang berpendapat bahawa shoe tree ini hanya digunakan untuk penjagaan kasut sukan, bola, futsal dan juga kasut-kasut sukan yang lain malah sesetengah penguna menganggap ianya khusus untuk kasut wanita sahaja.  Kasut kulit juga mementingkan shoe tree agar keasliaannya bentuknya terjaga dengan baik. Ia bukan sahaja mampu mengelakkan sebarang kerosakan pada kasut kulit anda, malah ia juga membantu untuk mendapatkan kitaran udara yang baik untuk kasut tersebut apabila anda tidak memakainya.

Jangan Meletakkan Stokin Di Dalam Kasut

5 Tips Menjaga Kasut Kulit Lelaki

Telah menjadi kebiasaan bagi sesetengah lelaki, selepas menanggalkan kasut dan stokin, ada yang terus meletakkan stokin di dalam kasut sehinggakan kadang-kala terlupa untuk membasuh stokin tersebut walaupun sudah tidak memakai kasut tersebut pada keesokan harinya.

Sesetengah kaum lelaki berpendapat bahawa bau kasut sememangnya perkara normal. Jangan ambil mudah dan biarkan hal ini berlaku. Bau yang timbul kemungkinan kerana bakteria mungkin sudah bermaharajalela pada kasut anda. Tiada siapa yang sanggup dipulaukan oleh rakan-rakan sekerja hanya kerana bau busuk kasut anda.

Stokin juga perlulah sentiada dalam keadaan bersih. Sesetengah orang, kakinya akan mudah berpeluh ketika memakai kasut kulit kerana jenis kasut kulit yang dipakainya mungkin terlalu tebal sehingga menyebabkan tiada pengudaraan buat kaki. Ambillah sedikit masa seperti di hujung minggu untuk mencuci koleksi stokin yang telah dipakai agar mendapat keselesaan maksima sewaktu memakai kasut.

Setiap kali selepas menggunakan kasut kulit elakkan daripada meletakkan stokin di dalamnya. Pastikan juga jemuran stokin benar-benar kering supaya tidak berlaku kelembapan ketika memakainya dan akan menyebabkan bau kaki yang kurang enak.

Elakkan Kasut Terkena Air

5 Tips Menjaga Kasut Kulit Lelaki

Bagi kaum lelaki yang memakai kasut kulit ke tempat kerja mahupun sewaktu bersiar-siar dengan keadaan cuaca hujan yang tidak menentu, perlulah lebih berjaga-jaga dalam melindungi kasut kulit anda. Kasut kulit lebih sensitif terhadap air. Jika kasut telah basah dan lembap, segera keringkan kerana keadaan kasut kulit yang basah akan mempercepatkan lagi proses rekahan pada kasut tersebut.

Antara alternatif yang boleh elakkan kasut daripada terkena air ialah, gunakan semburan kalis air pada kasut kulit anda. Namun adakalanya produk semburan kalis air ini juga tidak akan bertahan  lama, terutama jika anda terperangkap dalam cuaca buruk dan hujan lebat. Kami cadangkan anda sentiasa bersedia dengan membawa plastik. Dengan plastik, anda boleh melindungi kasut anda dengan menyarungkan plastik agar kasut tidak rosak.

Walaupun penjagaan kasut kulit ini mungkin agak remeh dan leceh, namun ianya mampu menjimatkan wang anda daripada terpaksa berhabisan membeli kasut kulit yang baru.

Wednesday, January 24th, 2018
Subscribe
Notify of
guest

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments