12 Tips Pakaian Temuduga Bagi Lelaki

Pekerjaan dapat dicari dengan lebih cepat dan mudah apabila anda memiliki pakej yang diinginkan oleh majikan. Daripada beribu calon yang sedang bersaing dalam merebut peluang pekerjaan di luar sana, apakah perbezaan dan pakej diri yang anda miliki?

Temuduga bermula sebaik sahaja anda masuk ke dalam pejabat syarikat berkenaan. Dari mula sampai, anda diperhatikan termasuklah cara berpakaian, cara anda menyapa penyambut tetamu dan bersalam. Adakah anda berpakaian kemas dan menyenangkan? Adakah pakaian anda sesuai dengan tema syarikat dan sama dengan orang lain dalam syarikat tersebut?

Sebelum ini kami ada berkongsi dengan anda tips pakaian temuduga untuk calon wanita. Kali ini kami tidak akan menghampakan harapan calon-calon temuduga daripada kaum lelaki yang sentiasa mengikuti tips penampilan dari kami. Di sini kami berikan 12 tips dan panduan penampilan lelaki ketika hadir temuduga.

 

Pilihlah Pakaian Yang Bersesuaian Dengan Budaya Kerja

Pilihlah pakaian yang bersesuaian dengan jawatan yang anda mohon. Sekiranya anda memohon satu kerjaya dalam satu persekitaran profesional, seperti banking, kewangan, legal atau apa sahaja dalam satu organisasi tradisional, adalah penting untuk anda dilihat profesional.

Melalui pakaian, penemuduga bukan sahaja akan dapat melihat penyesuaian anda dengan jawatan yang anda mohon dan kesesuaian anda dengan syarikat, tetapi penemuduga juga boleh melihat kesesuaian anda dengan orang lain dalam syarikat mereka.

Jika anda berpakaian terlalu bersahaja, anda akan kelihatan seperti seorang yang tidak berdisiplin dan tidak tahu bagaimana untuk mengikut arahan, serta tidak menghormati orang lain di syarikat tersebut.

Sekiranya anda memohon jawatan sebagai eksekutif, pegawai atau apa-apa jawatan profesional, pilihlah untuk memakai satu sut yang lengkap. Apabila ragu-ragu untuk memakai pakaian bagaimana, pilih tema profesional dan konservatif.

Di sini kami berikan tips berpakaian untuk anda hadir temuduga bagi jawatan yang profesional :

1.Pakaian profesional termasuk satu sut berwarna gelap, satu sut pakaian yang terdiri daripada sehelai jaket yang sepadan dengan seluar, kemeja formal, tali leher, stokin, kasut formal dan sebuah beg bimbit berwarna gelap (hitam, coklat gelap atau biru kelasi). Satu sut berwarna gelap dengan kemeja lengan panjang berwarna cerah ialah pilihan terbaik untuk anda kelihatan profesional dan serius untuk memohon kerja.

2.Pilih sut yang selesa dan saiznya betul-betul sesuai dengan anda supaya penampilan anda kemas dan menarik.

3.Elakkan memakai kemeja berwarna terang dan potongan ketat (slim fit).

4.Dapatkan maklumat bagaimana orang di syarikat itu berpakaian – Adalah lebih baik anda berpakaian seperti mereka atau lebih baik mengikut peraturan di situ.

5.Memakai seluar yang sesuai. Seluar yang sesuai  menunjukkan yang anda seorang yang cekap dalam kerja. Pastikan seluar anda diseterika dan saiz serta ukuran panjang yang sesuai. Saiz seluar yang tepat ialah apabila buku lali anda tidak terkeluar dari bawah seluar anda.

6.Elakkan sesekali memakai seluar jeans, sekalipun anda berpakaian untuk persekitaran pekerjaan biasa.Elakkan memakai seluar pendek. Anda akan kelihatan seperti anda sedang bercuti.

7.Mempunyai sepasang kasut yang elok. Kasut yang anda pilih memberitahu penemuduga bagaimana anda menganggap diri anda dan temuduga itu penting . Di sini kami berikan beberapa tips memilih kasut:

  • Memakai kasut yang berkilat dan bersih, sebaiknya baru atau kelihatan baru.
  • Pastikan warna kasut adalah sama ton dengan warna tali pinggang anda.
  • Pilihlah kasut yang satu warna solid, sebaiknya hitam atau coklat gelap. Kasut kulit perniagaan atau loafers klasik ialah pilihan terbaik sekiranya anda mampu.
  • Memakai stokin. Stokin anda mestilah satu warna solid dan ton warna lebih gelap atau sama ton dengan warna seluar dan warna kasut anda. Pastikan stokin dapat menutupi lebih daripada buku lali apabila anda duduk atau meluruskan kaki anda.

8.Memakai aksesori yang sesuai. Aksesori yang sesuai boleh memberi satu sentuhan yang bagus kepada penampilan anda. Di sini kami berikan beberapa tips memilih aksesori yang sesuai :

  • Memakai jam emas atau perak (rujuk gambar). Pastikan ia menarik, tampak elegan dan profesional dan tidak terlalu menonjol. Anda juga boleh memilih jam kulit daripada warna-warna korporat.
  • Seutas tali pinggang kulit warna solid (hitam, coklat gelap atau biru kelasi) dengan kepala tali pinggang (buckle) berwarna perak (rujuk gambar di bawah).
  • Satu portfolio atau beg bimbit berwarna solid dan gelap. Walaupun anda tidak mempunyai sebarang dokumen untuk dimasukkan dalam beg bimbit itu, membawa satu portfolio atau beg bimbit akan menunjukkan bahawa bersedia dan serius untuk bekerja. Namun ia bergantung juga kepada keadaan temuduga, untuk temuduga yang lebih kasual, anda tidak perlu membawa beg bimbit.

9. Pakaian yang dipilih harus bersih dan kemas. Jadilah sebersih yang mungkin. Kebersihan yang teruk boleh menghancurkan pakaian yang terbaik. Pastikan pakaian anda bersih dan tiada apa-apa kesan kotoran. Kotoran yang anda tidak sedari tetapi boleh dilihat oleh penemuduga akan memberi gambaran diri anda yang cuai dan tidak teliti dalam menguruskan diri termasuk mengurus kerja.

10. Mempunyai kuku yang bersih. Penemuduga anda akan perasan keadaan kuku anda sebaik sahaja anda bersalam, jadi perlulah memastikan kuku anda dalam keadaan bersih sepanjang masa. Cara anda menjaga kuku boleh menunjukkan kepada majikan sama ada anda memberi perhatian sepenuhnya terhadap kebersihan diri atau pun tidak. Buatlah pemeriksaan bawah kuku selalu untuk memastikan tiada kotoran.

11.Pakailah deodorant. Pastikan tiada bau yang tidak enak dari pakaian dan tubuh anda. Namun jangan memakai minyak wangi yang berlebihan. Sekiranya anda mahu memakai minyak wangi, pastikan baunya hanya menutup bau badan dan tidak terlalu wangi hingga mengganggu orang lain atau menyebabkan satu tindak balas alergi. Pastikan juga bau nafas yang segar daripada pernafasan anda. Gosok gigi sebelum pergi ke temuduga, dan elakkan makan makanan yang berbau kuat sebelum masuk temuduga. Jangan merokok sebelum temuduga dan pastikan tiada bau asap daripada tubuh anda.

12. Rambut anda harus bersih, kemas dengan gaya konservatif. Adalah penting rambut anda kelihatan bersih dan disikat dengan kemas. Pastikan rambut anda kering dan elakkan produk-produk rambut yang berlebihan. Sebelum hadir temuduga, periksa bahu anda untuk memastikan tiada kelemumur yang melekat, terutamanya jika anda memakai suit/blazer yang berwarna gelap. Pastikan wajah anda rapi dan terurus. Cucilah muka dengan pencuci muka dan sebaiknya scrub wajah anda sebelum hadir temuduga, agar wajah anda kelihatan bersih dan tidak kusam. Selain daripada wajah yang segar, sangat penting juga untuk wajah anda kelihatan ceria dan penuh bersemangat semasa melangkah masuk ke bilik temuduga. Air muka anda adalah gambaran awal bahawa diri anda benar-benar berminat untuk bekerja di situ. Air muka juga adalah ‘first impression’ penemuduga untuk ‘jatuh cinta’ dan mempercayai diri anda.

Anda masih mahukan tips bagaimana untuk berjaya dalam temuduga kerja? Klik di sini untuk lebih lagi!

 

Tips pakaian temuduga lelaki dari perunding imej malaysia

 

 

 

 

 

Tuesday, February 28th, 2017
Subscribe
Notify of
guest

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments