Kerjaya Dan Hala Tuju Perunding Imej Di Malaysia – Siri 2

Perunding Imej Puan Raihan Abdul Rahman : Kerjaya Dan Hala Tuju Perunding Imej Di Malaysia Siri 2

Perunding Imej Puan Raihan Abdul Rahman dijemput oleh Radio IKIMfm untuk menerangkan secara terperinci mengenai kerjaya perunding imej di Malaysia dan tanggungjawab serta tugas-tugas umum sebagai seorang perunding dan jurulatih imej bertauliah.

Berikut kami kongsikan perbincangan mengenai topik ini (Sambungan dari Siri 1) yang telah dikongsikan oleh Puan Raihan Abdul Rahman di Radio IKIMfm semasa ditemubual oleh DJ Ahmad Nazri Mohd Yusof.

Perunding Imej Puan Raihan Abdul Rahman Perunding Imej Puan Raihan Abdul Rahman Perunding Imej Puan Raihan Abdul Rahman

Soalan  4 :

IKIMfm : Bila puan menyentuh tentang etiket dan komunikasi, bagaimana Puan berhadapan dengan para pelanggan atau klien yang bertanyaan soalan dari segi etika bersalaman antara jantina yang berbeza lelaki dan perempuan?

Perunding Imej Puan Raihan Abdul Rahman : Bagaimana cara kita bersalaman juga akan dinilai oleh sesiapa yang bersalam dengan kita dan oleh umum yang memerhatikan, malahan sekarang sangat penting kerana tingkah-laku kita diperhatikan malah boleh dirakam oleh sesiapa sahaja dan di mana sahaja. Dengan kemajuan teknologi dan media sosial sekarang, kita perlu lebih bersedia, cara kita bertingkah laku termasuk dalam imej diri kita dan bagaimana kita menguruskan persepsi orang terhadap imej diri kita.

Mengenai cara bersalam apabila bertemu dengan berlainan jantina, perlu difahami bahawa perkara dan prinsip utama dalam etiket bisnes adalah sentiasa menjaga air muka orang yang berurusan dengan kita. Apabila berlaku situasi seperti ini iaitu berhadapan dengan orang yang berlainan jantina mahu bersalam, di sini bertembung dua prinsip yang jelas iaitu; yang pertama, ingin menjaga air muka orang yang menghulurkan salam dan satu lagi prinsip utama bagi seorang muslim atau muslimah, kita tidak bersalaman dengan berlainan jantina.

Jadi persoalannya bagaimana cara kita menolak untuk bersalam dalam keadaan paling minimum orang yang ingin bersalam dengan kita itu terasa hati atau berasa malu?

Bila di dalam kelas, saya akan terus tunjuk kerana kita ada aktiviti simulasi bisnes etiket. Sebaiknya sebelum sempat dia menghulurkan tangan, pandang wajahnya sambil senyum, kekalkan eye contact, segera tundukkan wajah dan bahu sambil tangan diletakkan di bahagian dada, angkat wajah pandang kepadanya dan segera memulakan perbualan agar keadaan itu tidak berlangsung lama, segera alihkan perhatian kepada perbualan yang meraikan kehadirannya. Pastikan dia selesa dan berasa dihargai dan kehadirannya dialu-alukan.

 

Soalan  5 :

IKIMfm : Sejauh manakah peri pentingnya untuk menghasilkan imej positif? Dan apakah kemahiran yang diperlukan oleh seseorang bagi memantapkan imej positif tersebut?

Perunding Imej Puan Raihan Abdul Rahman : Imej positif sangat penting untuk membentuk keyakinan diri seseorang, dan memberikan rasa yakin orang lain untuk berurusan dengan kita. Apabila kita memilih untuk bekerjaya, bermaksud kita telah memilih untuk.berhadapan dengan orang ramai. Malahan sekiranya kita tidak bekerja juga, sebagai makhluk sosial, sudah tentu kita akan keluar bersosial dan perlu berjumpa serta bergaul dengan orang.

Jadi, berjumpa dengan orang memerlukan tahap keyakinan diri yang tinggi terutama kalau kita bekerja. Ada orang semula jadinya dia memang memiliki personaliti yang suka berjumpa dengan ramai orang. Kalau tidak berjumpa dengan orang luar mungkin dia tidak boleh hidup. Namun ada orang yang personalitinya dia tidak suka untuk berjumpa atau bersosial dengan orang.

Kurang keyakinan diri dan kekurangan dari segi imej diri yang positif adalah kerana kekurangan ilmu dari segi bagaimana untuk bersosial dan membawa diri, contohnya cara yang betul untuk memperkenalkan diri kepada orang lain, cara bersalam yang sesuai, cara makan bersama ramai orang di dalam majlis, serta cara berpakaian yang betul dan sesuai mengikut urusan dan majlis.

 

Soalan  6 :

IKIMfm : Sebagai perunding dan jurulatih imej juga, jika mengendalikan sesuatu seminar ataupun bengkel atau kursus dan sebagainya, turut menekankan tentang pemakaian aksesori khususnya bagi kaum wanita. Apa perkongsian dari Puan?

Perunding Imej Puan Raihan Abdul Rahman : Aksesori ini adalah salah satu perkara yang penting dalam penampilan, ianya mampu membantu penampilan dan imej seseorang, namun pemakaian aksesori yang tidak sesuai dan melampau pula mampu memburukkan dan menjatuhkan imej dan penampilan kita. Terdapat peraturan dalam pemakaian terutama untuk acara yang lebih formal. Bagaimanapun ianya tetap dipengaruhi oleh personaliti diri kita.

Ada orang memang suka pakai aksesori, rasa tidak lengkap untuk keluar tanpa aksesori, ada yang sukakan aksesori yang simple, minimal namun ada yang sangat berani mengenakan aksesori yang unik dan sarat. Walaubagaimanapun apabila bekerja atau berurusan secara formal, atau menghadiri acara yang lebih formal, aksesori yang melampau akan terlalu menarik perhatian dan menggangu pandangan mata untuk lebih fokus kepada urusan yang serius. Agak tidak efisien kerana ianya menyampaikan mesej yang tidak selari dalam menaikkan kredibiliti dan karisma diri seseorang yang ingin menyampaikan mesej yang lebih serius dan tegas. Apabila bekerja, perhatian mesti pergi kepada kredibiliti diri, bukannya kepada aksesori, bukan juga kepada make up, dan bukan juga kepada warna atau pakaian yang keterlaluan. Dalam satu masa bilangan aksesori yang sesuai dipakai sebaiknya tidak lebih dari 5. Bagi wanita 5 aksesori tersebut ialah cincin (satu bentuk cincin sahaja untuk sebelah tangan), jam tangan bertali kulit dalam kumpulan warna korporat atau bertali metal (warna gold atau silver – kesesuaian mengikut skin tone), gelang, rantai dan subang – bagi yang bertudung apabila memakai keronsang tidak melebihi  3 bentuk dalam siaz yang tidak melebihi panjang hidung, tidak labuh dan tidak berjuntai.

Kita kena ingat perhatian pergi kepada professionalism kita, kredibiliti kita, bukan aksesori. Maka aksesori tidak boleh menjadi satu gangguan. Malah aksesori yang tepat boleh menaikkan kredibiliti kita.

 

Soalan  7 :

IKIMfm : Ada tips aksesori untuk kaum lelaki atau bagaimana?

Perunding Imej Puan Raihan Abdul Rahman : Aksesori lelaki pun banyak, tanpa kita sedari sebenarnya aksesori lelaki juga banyak seperti wanita. Apabila lelaki memakai aksesori yang sesuai ianya boleh melonjakkan kredibiliti dirinya. Bagi lelaki ada aksesori – aksesori yang wajib dipakai dan ada juga aksesori pilihan bergantung kepada stail personaliti diri mereka.

Aksesori yang menaikkan kedibiliti lelaki bekerjaya ialah jam tangan, cincin tapi satu bentuk sahaja (biasanya cincin kahwin), gelang tidak boleh sama sekali bagi yang ingin kelihatan profesional (Apabila lelaki memakai gelang (apa sahaja bentuk gelang) ia boleh membawa kepada persepsi yang agak negatif ataupun menjatuhkan imejnya).

Sekiranya memakai suit, aksesori yang sesuai dipakai ialah seperti tie clip, pocket square, cufflinks dan dilengkapkan dengan membawa beg kerja yang sesuai. Kesesuaian aksesori lelaki adalah berkaitan pemilihan warna, bentuk, finishing dan saiz aksesori tersebut.

Kita banyak bermain dengan warna korporat bila bercakap tentang professional branding. Seperti jam tangan contohnya; untuk acara formal, jam tangan yang sesuai dipakai hanya warna – warna korporat (talinya berwarna hitam, coklat, navy blu, kelabu, gold dan silver.

 

Artikel ini akan disambung kepada Siri 3. Baca di sini  untuk Siri 1 Kerjaya Dan Hala Tuju Perunding Imej Di Malaysia Temubual Radio IKIMfm.

*Konten dalam artikel ini adalah penerangan dengan lebih jelas kepada soalan-soalan yang diajukan kepada Perunding Imej Puan Raihan Abdul Rahman semasa ditemubual oleh DJ Ahmad Nazri Mohd Yusof dalam Rancangan Kerjaya Dan Hala Tuju Perunding Imej Di Malaysia Radio IKIMfm pada 21 Mac 2018.

 

Monday, January 6th, 2020
Subscribe
Notify of
guest

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments