Keterampilan Diri Dan Etiket.
Tim Perunding Imej Malaysia telah dijemput bekerjasama untuk mengendalikan Kursus Keterampilan Diri Dan Etiket Sosial Jabatan Pendidikan Politeknik Pada 19 Februari 2019, bertempat di Aras 7 Galeria PjH, Putrajaya.
Kursus ini dianjurkan khusus untuk para peserta terdiri daripada pegawai atasan yang terpilih sebagai persediaan untuk kenaikan pangkat ke peringkat jawatan yang lebih tinggi.
Kenapa mempunyai ketrampilan diri dan imej yang berkarisma serta berpakaian baik dan kemas adalah penting? Realiti kehidupan, manusia selalu menilai orang yang baru dikenali melalui penampilan luaran. Mata sentiasa mencari sesuatu yang sempurna dan cantik dipandang dan pastilah penampilan luaran menjadi tempat pertama persinggahan untuk menilai seseorang.
Imej dan penampilan luaran bukanlah segal-galanya dalam menilai diri seseorang, namun tanpa menonjolkan imej luaran yang tepat, kita tidak mungkin mampu menonjolkan segala mutiara dalam diri kita kepada orang lain dalam masa yang singkat. Begitulah besarnya impak pakaian dan penampilan luaran dalam kehidupan kita. Ianya mampu melambangkan kredibiliti, kompetensi, peribadi, karisma diri dan berupaya menentukan penerimaan serta kepercayaan orang lain terhadap diri kita.
Keterampilan diri dan personaliti seseorang yang menarik merupakan aset bernilai kepada sesebuah organisasi. Reputasi dirinya akan meningkat dan berkembang apabila mempunyai personaliti yang profesional dari segi penampilan, etika dan komunikasi. Personaliti yang profesional bagi seseorang sangat penting kerana ia memberi kesan langsung terhadap kepuasan pelanggan, seterusnya memberi kesan besar kepada reputasi dan keuntungan sesebuah organisasi. Personaliti bukan sahaja merujuk kepada cara berpakaian, paras rupa atau keadaaan fizikal seseorang. Dalam dunia profesional, personaliti adalah pakej diri yang mengandungi kualiti dan ciri-ciri seseorang yang menggambarkan kompetensi dan karakternya semasa bekerja.
Kursus Keterampilan Diri Dan Etiket Sosial Jabatan Pendidikan Politeknik ini bertujuan membantu para peserta yang hadir memahami serta mengamalkan tatacara berpakaian formal, semi-formal dan tidak formal mengikut kesesuaian tempat dan majlis, memahami serta mengamalkan adab-adab kesopanan ketika bersosial dan berupaya mempraktikkan kaedah-kaedah bersesuaian untuk tampil hebat dan memancarkan positive vibes ketika berurusan.
Selain daripada itu, objektif Kursus Keterampilan Diri Dan Etiket Sosial Jabatan Pendidikan Politeknik ini adalah seperti berikut :
- Mengetahui kesan langsung keterampilan diri terhadap reputasi dirinya dan reputasi organisasi di mana beliau bekerja.
- Menyedari kesilapan-kesilapan dalam keterampilan diri yang boleh memusnahkan reputasi profesional diri dan organisasi.
- Mengenalpasti kod pakaian dalam penampilan (korporat, formal, semi formal dan tidak formal), mengikut masa, majlis dan tempat.
- Mengenalpasti gaya personaliti diri dan bagaimana meningkatkan gaya personaliti profesional.
- Mempraktikkan etiket sosial dan adab perhubungan di antara rakan sekerja, tetamu, pelanggan dan orang kenamaan, untuk lebih bertatatertib dan disenangi dalam pergaulan dan urusan kerja.
Menjaga dan menguruskan imej organisasi pula bererti, bagaimana kita sebagai kakitangan dan duta kepada organisasi kita mampu dan bijak menguruskan pandangan pelanggan dan orang ramai terhadap organisasi kita agar kekal dihormati dan diakui reputasi dan kredibiliti sebagai sebuah organisasi yang boleh dipercayai dan diharap.
Kepada semua peserta dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kursus ini, kami ucapkan jutaan terima kasih atas penyertaan dan komitmen anda yang hebat. Kami doakan agar kesemua peserta akan berjaya dalam proses kenaikan pangkat ini dan terus berjaya dengan cemerlang dalam kerjaya dan kehidupan di dunia dan di akhirat, in sha Allah.
Anda berminat untuk mengadakan bengkel ini di tempat anda? Klik di sini untuk mendapatkan maklumat terperinci bengkel ini beserta sebutharga!