Muslimah Dan Penampilan Berseluar Panjang

Melihat penampilan wanita memakai seluar panjang merupakan pemandangan biasa pada zaman ini. Di mana-mana sahaja kita dapat melihat wanita memakai seluar panjang tidak kira sama ada wanita itu muda atau sudah berusia, remaja, pelajar, isteri, ibu, suri rumah, eksekutif atau VVIP.

Beberapa kali saya ditanya bagaimana pendapat saya tentang imej wanita yang memakai seluar panjang ketika berada di khalayak ramai, iaitu ketika keluar dari rumah sama ada pergi kerja, ke kelas, ke pasar, bersukan, pergi beriadah, berjalan-jalan di pasaraya dan banyak lagi tempat lain.

Yang pasti soalan yang ditanya adalah apakah dibolehkan bagi seorang wanita itu untuk memakai seluar panjang ketika berada bukan di rumahnya tetapi di luar rumah dan boleh dilihat oleh lelaki yang bukan muhrimnya?

Dari sudut ilmu imej, memakai seluar panjang dalam penampilan wanita mestilah mengikut acara, tempat dan dengan siapa kita berurusan. Bukan semua tempat dan urusan wanita sesuai memakai seluar panjang dalam penampilannya.

Urusan yang bersesuaian untuk wanita memakai seluar panjang adalah ketika waktu santai dan memerlukan aktiviti yang agak lasak, yang apabila memakai kain ianya mengganggu pergerakan atau memudaratkan. Contohnya ketika bersukan, membawa dan bermain dengan anak-anak di taman permainan, melakukan kerja-kerja di luar rumah yang memerlukan pergerakan yang agak lasak seperti mencangkul, mengecat dinding, memanjat tangga dan sebagainya.

Ada juga keadaan yang formal yang membolehkan wanita mengenakan seluar, iaitu ketika menjalankan urusan rasmi turun padang (outdoor), dan urusan itu memerlukan wanita itu bergerak dengan agak lasak. Sekiranya hanya berurusan kerja di dalam pejabat dan di majlis-majlis yang berlangsung di dalam bangunan dan tidak memerlukan pergerakan yang terlalu lasak, maka adalah lebih manis dan sopan sekiranya wanita memakai kain. Sekiranya ingin memakai seluar juga perlulah dengan kebenaran ketua anda dan peraturan di tempat kerja anda membenarkan anda mengenakan seluar panjang. Ada juga pekerjaan dan organisasi yang menetapkan peraturan kerja atau menyediakan uniform berseluar panjang bagi wanita kerana keadaan dan jenis pekerjaan itu contohnya polis, tentera, jururawat, bekerja di pelantar minyak, di ladang dan sebagainya. Ini adalah kerana pemakaian seluar panjang itu lebih kemas, praktikal dan selamat.

Muslimah Dan Penampilan Berseluar Panjang

Apabila keadaan atau pekerjaan yang memerlukan wanita untuk memakai seluar panjang dalam penampilannya, maka wanita perlulah peka dalam memilih ciri-ciri seluar panjang yang boleh dipakai, kerana seluar panjang yang dipakai oleh wanita sudah tentu akan memberikan tanggapan dan penilaian orang lain terhadap maruah, kredibiliti dan profesionalisme wanita itu.

Di sini saya senaraikan ciri-ciri seluar panjang yang boleh dipakai oleh wanita ketika berurusan secara rasmi atau tidak :

1. Niat memakai seluar panjang bukan ingin menyerupai lelaki atau seluar yang dipakai tidak menampakkan wanita itu seperti lelaki walaupun wanita itu tidak berniat untuk menyerupai lelaki.

لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم المتشبهين من الرجال بالنساء ، والمتشبهات من النساء بالرجال
Terjemahnya: Dari Ibn Abbas ra: ” Dilaknat Rasulullah ke atas lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” [Bukhari, 5885]

2. Seluar panjang wanita mestilah tidak ketat, tidak nipis dan tidak menampakkan bentuk punggung dan ‘visible panty line’. Bagi mengelakkan seluar panjang itu menampakkan bentuk punggung, visible panty line dan bentuk peha, walaupun seluar itu longgar, maka wanita hendaklah memakai baju yang labuh menutupi paras punggung apabila memakai seluar panjang, kerana pergerakan wanita ketika berjalan dan duduk pasti akan menonjolkan bentuk punggung dan pehanya.

ونساء كاسيات عاريات                                                                                                    

Dari Abu Hurayrah ra, bahawa Nabi saw pernah melihat ahli Neraka…terdiri dari wanita yang berpakaian tapi (masih) telanjang..” [sahih Muslim, 2128].

Menurut fatwa Mu’ashirah (m/s 191), adalah haram bagi wanita memakai seluar panjang sekiranya ia ketat dan menampakkan susuk tubuh wanita dan juga sekiranya ia menyerupai lelaki. Allah swt melaknat wanita yang menyerupai lelaki. Sekiranya mahu memakai seluar, perlulah longgar dan tidak nipis serta memakai baju yang labuh sehingga menutupi bentuk punggung dan peha.

Menurut Syeikh Ismail Usman Zain Al- Yamani Al-Makki iaitu seorang ulama besar Mazhab Al-Syafie di tanah suci Makkah, perempuan yang memakai seluar panjang tetapi memakai baju yang labuh sampai ke lutut lalu seluar hanya dilihat oleh orang lain hanya dari paras lutut ke kaki sahaja maka hukumnya tidak haram dengan syarat seluar itu tidak jarang atau ketat.

Semoga penerangan di atas dapat dijadikan panduan kepada kita semua wanita. Jadikan perintah dan larangan pencipta kita sebagai panduan paling utama dalam berpenampilan. Peganglah pada prinsip yang kukuh dalam memilih pakaian dan penampilan dan usah terpengaruh dan terikut-ikut dengan penampilan wanita lain walaupun terlalu ramai wanita di luar sana yang gemar memakai seluar yang tidak memenuhi ciri-ciri penampilan muslimah yang sepatutnya. Segala perintah dan larangan Allah sudah pasti mengandungi hikmah di sebalik penciptaan diri wanita yang indah dan perlu dipelihara maruah dan kehormatannya.

Friday, April 24th, 2015April 24, 2015
26 comments Add yours
  1. Assalamualaikum, bila baca post ni sy teringat sewaktu sy di uni dlu…sy lebih suka berseluar pjg..tp bg sy mgkin waktu tu utk protection…sy balek rumah naik bas sorang2…terigt 1 mlm sy balek kg…sy hanya kenakn sweater tebal, seluar pjg n sport shoes sbb kasut sy da rosak…lelaki di sebelah sy igt kan sy lelaki…tapi alhamdulillah…bila da bekerjaya….sikit demi sikit perubahan muncul dlm hidup sy…seluar pjg bkn lagi pakaian sy melainkan utk bersukan…:)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *