Aura Personaliti Warna Hijau Dan Kuning

Aura Personaliti Warna Hijau Dan Kuning – Kita seringkali terpukau dengan keindahan warna alam ini. Warna kuning sangat dikaitkan dengan matahari dan sinarnya. Manakala warna hijaunya di alam ini mendatangkan kedamaian kepada perasaan kita. Itulah kuasa di sebalik warna ciptaan Ilahi. Kehebatan warna kesannya bukan hanya kepada psikologi manusia malah kepada alam dan kehidupan harian yang dilalui. Manusia dan warna saling berinteraksi di antara satu sama lain sehinggakan personaliti seseorang juga boleh diuji dengan pemilihan warna kegemaran mereka.

Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi bagaimana tindak balas seseorang  kepada sesuatu warna. Namun, mampukah warna kegemaran kita menghuraikan tentang personaliti diri kita sendiri? Sudah bersediakah anda untuk mengetahui makna di sebalik warna kegemaran anda? Pada artikel kali ini, Perunding Imej Malaysia ingin berkongsi dengan anda mengenai aura personaliti warna hijau & kuning.

Warna Personaliti Hijau

Aura Personaliti Warna Hijau Dan Kuning

Bagi peminat warna hijau, pasti anda merupakan seorang yang cintakan kehijauan alam, betulkah? Jika betul, memang sudah pasti personaliti anda seimbang dalam semua aspek, natural, harmoni dan seorang yang cintakan kedamaian. Disebabkan warnanya yang sinonim dengan alam semulajadi, jiwa anda juga begitu kuat terhadap alam semula jadi, pencinta alam dan juga minat terhadap haiwan.

Menurut pakar psikologi warna, peminat warna ini begitu baik berhubungan dengan sesama manusia. Ini membuatkan personaliti warna ini harmoni daripada segi sosialnya. Bukan sahaja mempunyai hubungan baik sesama rakan atau masyarakat tetapi mempunyai hubungan baik terhadap keluarganya sekali. Disebabkan mempunyai hubungan baik bersama orang di sekeliling, personaliti hijau lebih selesa meluahkan perasaan dan juga berkongsi pendapat dengan orang yang rapat dengannya dan boleh juga menjadi seorang pendengar yang baik.

Mengapa personaliti hijau amat mementingkan hubungan yang baik dengan orang sekelilingnya? Ini kerana personaliti hijau tidak suka bersendirian dan ini menjadikan salah satu penyebab mengapa mereka bersikap peramah, periang dan jujur dalam sesebuah hubungan yang dijalinkan. Yang lebih menarik lagi, personaliti hijau ini merupakan seorang yang manja! Mereka lebih suka sekiranya diri mereka diberikan perhatian dan difahami. Namun jiwanya yang lembut membuatkan hatinya mudah terguris.

Dari sudut lain, personaliti hijau ini amat menghayati kehidupan yang mereka perolehi dan jika menginginkan sesuatu pasti akan bersungguh-sungguh untuk memilikinya. Warna ini berkaitan dengan kestabilan dan ketahanan dalam menempuh sesuatu cabaran maka mereka selalunya kuat apabila berhadapan dengan kesukaran. Kelebihan personaliti warna hijau ini juga mereka mempunyai sikap yang tekun dan gigih. Namun begitu, amat mengkagumkan kerana usaha gigih yang mereka lakukan bukan semata-mata untuk mengejar wang ringgit dan ganjaran semata-mata.

Aura Personaliti Warna Hijau Dan Kuning

Bagi sudut pandangan lain pula, personaliti warna hijau ini bukan seorang yang bekerja keras dan tidak ada keinginan dalam memiliki wang ringgit yang banyak. Malah bagi personaliti hijau ini, mereka tidak boleh bekerja dalam tekanan kerja yang berkaitan menguruskan wang ringgit dan sering mengharapkan orang lain dapat membantu dalam menguruskan kewangan. Kesan negatif kepada si hijau adalah jika mereka terlalu suka bergantung kepada orang lain dan juga takdir, mereka beranggapan pasti akan ada orang yang akan selalu datang membantunya. Agak membimbangkan kerana perkara ini akan memudahkan orang lain untuk mengambil kesempatan  terhadap diri mereka.

Walaupun mempunyai idea yang kreatif namun personaliti hijau lebih suka jika perlaksanaan idea tersebut dilakukan oleh orang lain. Selain itu, mereka berharap idea yang diutarakan akan diterima oleh orang lain. Bagi personaliti hijau apa yang perlu anda perbaiki adalah mengubah sikap anda yang suka bergantung kepada orang lain dan perlu menjadi lebih berani mengutarakan idea-idea kreatif yang anda miliki. Anda hendaklah mengubah pespektif bahawa diri anda hanyalah memerlukan aktviti santai sahaja untuk mendapatkan ketenangan tanpa memikirkan masa hadapan diri sendiri.

Keperluan yang diperlukan oleh personaliti warna hijau?

Keperluan mendalam anda adalah memiliki, mencintai dan disayangi dan merasa aman serta selamat. Anda juga memerlukan penerimaan dan pengakuan untuk perkara-perkara harian yang anda lakukan untuk orang lain. Ucapan ‘terima kasih’ sahaja telah mencukupi buat anda.

Jika anda tidak menyukai warna hijau?

Sekiranya anda adalah seorang tidak menggemari warna hijau, bermaksud anda tidak suka bersosial serta bercampur dengan masyarakat. Anda lebih gemar menyendiri dan menjaga diri sendiri daripada bercampur dengan orang ramai.

Warna Personaliti Kuning

Aura Personaliti Warna Hijau Dan Kuning

Siapa di sini peminat warna kuning? Jika anda seorang peminat warna kuning pasti anda merupakan seorang yang mudah didekati kerana perwatakan anda yang mudah membuatkan orang lain ketawa dan tersenyum. Seiring dengan makna kuning yang membawa maksud warna minda dan juga pengetahuan yang diperolehi lalu membawa idea-idea yang kreatif dan baharu kepada diri sendiri dan juga orang sekeliling.

Personaliti kuning merupakan seorang yang mengutamakan keceriaan. Sikap mereka yang suka akan kegembiraan dan juga keseronokan membuatkan hari mereka ceria, manja dan mudah mesra. Ini merupakan salah satu rahsia awet muda buat mereka kerana sering mengamalkan kehidupan yang ceria supaya kelihatan muda remaja dan bertenaga. Selain sifatnya yang suka akan keseronokkan, personaliti kuning juga seorang pendengar yang baik buat sesiapa pun. Disebabkan dirinya yamg humble dan tidak sombong menyebabkan kehadiran mereka sering ditunggu-tunggu dan dialu-alukan oleh sahabat terdekat mahu pun ahli keluarga sendiri.

Pasti anda merupakan seorang yang popular di kalangan rakan-rakan anda kan? Ini kerana mereka mudah mengenali dan mengingati diri anda kerana sikap peramah yang dimiliki selain personaliti anda yang selamba dan spontan dalam mengeluarkan pendapat serta idea yang bernas lagi kreatif. Lebih menarik lagi, personaliti kuning mempunyai ilmu pengetahuan mengenai isu  politik, kehidupan, kewangan, sehingga ke isu kerohanian. Jangan terkejut dengan personaliti warna kuning ini sekiranya anda sedang bersembang kosong tiba-tiba personaliti kuning boleh menyentuh sebarang isu politik yang diluar jangkauan pemikiran kita sendiri.

Walaupun mempunyai sikap yang kuat bergurau dan ketawa, namun anda merupakan seorang yang peka terhadap perubahan sikap seseorang, apa yang difikirkan oleh orang tersebut walaupun mereka tidak meluahkan perkara sebenar kepada anda. Ini membuktikan anda juga mempunyai sikap yang prihatin terhadap satu sama lain walaupun hanya sebagai kawan.

Aura Personaliti Warna Hijau Dan Kuning

Sikap ceria personaliti kuning memberi  banyak kesan positif kepada mereka di sekelilingnya. Selain tahu tentang isu politik, personaliti kuning juga kreatif dalam hasil seni tangan seperti hasil lukisan, penulisan, gubahan dan juga perkara yang berkaitan dengan kesenian. Jangan terkejut jika personaliti kuning mampu mengubah sesuatu sehingga memukaukan pandangan mata orang di sekeliling ketika melihat hasil tangannya.

Disebabkan dirinya yang cepat bosan membuatkan personaliti warna kuning suka mengembara bagi mendatangkan keceriaan di dalam hidup. Disebalik sikapnya yang peramah dan baik hati membuatkan sesetengah orang mudah mengambil kesempatan ke atas personaliti kuning. Sekiranya seseorang meminta bantuan dan pertolongan dengan cepat ia menghulurkan tangan untuk membantu tanpa memikirkan sebab dan akibatnya terlebih dahulu. Oleh itu, satu perkara yang perlu diperbaiki oleh anda yang mempunyai personaliti kuning ialah mengubah sikap anda yang tidak memikirkan akibat apabila terlalu baik hati dan mudah mempercayai orang lain.

Keperluan yang diperlukan oleh personaliti warna kuning?

Keperluan mendalam anda adalah untuk melatih pemikiran anda supaya berfikiran logik untuk menjalani kehidupan seharian. Anda juga perlu mengekspresikan keperibadian anda dengan banyak menggunakan minda logik untuk memberi inspirasi dan mencipta idea-idea baru.

Jika anda tidak menyukai warna kuning?

Jika anda tidak menyukai warna kuning anda merupakan seorang yang merendah diri. Selain itu, anda mungkin tidak dapat menerima sesuatu perubahan yang baru di dalam hidup anda. Malah anda juga suka berdiam diri dan ragu-ragu terhadap idea-idea baru yang belum terbukti. Anda juga tidak impulsif atau spontan dalam membuat sesuatu perkara kerana anda akan berfikir terlebih dahulu.

Setakat ini dahulu perkongsian kami mengenai rahsia sifat diri melalui warna personaliti hijau & kuning. Setiap orang pasti mempunyai warna personalitinya yang tersendiri. Melalui warna kegemaran ini kita boleh lebih mengenali personaliti dirinya. Ini membolehkan kita menghargai perbezaan dan persamaan antara diri sendiri dan juga orang lain dengan melihat kekuatan dan kelemahan diri selain mebongkar kecenderungan diri. Namun, usah jadikan kelebihan diri yang ada untuk bersikap angkuh dan sombong dengan membeza-bezakan warna kegemaran diri sendiri dengan orang lain tanpa mengambil masa untuk mengenali lebih dalam berkenaan diri mereka.

Anda berminat untuk mengetahui personaliti merah, biru, merah jambu, kuning, ungu, oren, indigo, turqoise, magenta, coklat, kelabu, silver, gold, putih dan hitam? Teruskan mengikuti artikel seterusnya untuk bersama kami membongkar setiap personaliti warna-warna ini.

Klik di sini untuk mengetahui warna personaliti diri anda.

Monday, February 12th, 2018February 12, 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *