Ziarah Di Aidilfitri: Memperoleh Rahmat Atau Mengundang Bala

Ziarah di Aidilfitri – Tim perunding imej muslimah untuk mengucapkan Salam Aidilfitri kepada anda semua yang mengikuti blog ini. Semoga Allah swt mengampunkan segala dosa-dosa kita dan menerima segala amal dan ibadah kita di bulan Ramadhan yang lalu dan semoga kita termasuk golongan yang kembali kepada fitrah serta termasuk dalam golongan yang meraih kemenangan.

Antara amalan yang digalakkan ketika meraikan Aidilfitri ialah amalan berziarah atau kunjung mengunjungi. Ramai yang bergembira meraikan Syawal dengan amalan kunjung-mengunjungi antara satu sama lain, bukan sahaja hanya pada 1 Syawal malah sepanjang bulan Syawal ini.

Tanpa disedari, kemungkinan amalan mulia kita menziarahi saudara-mara dan sahabat handai tidak mendapat apa-apa nilai di sisi Allah swt kerana telah dicemari dengan niat yang tidak betul. Kita tidak mahu termasuk dalam golongan yang rugi yang tidak mendapat apa-apa ganjaran dari Allah hasil dari amalan ziarah ini, dibimbangi niat kita akan tersasar dan bala pula yang akan menimpa kita.

Amatlah rugi bagi orang yang melakukan amalan ziarah ini tetapi tiada mendapat apa-apa ganjaran daripada Allah swt, tidak juga mendekatkan dirinya dengan rahmat Allah swt malah yang lebih teruk adalah mendapat dosa dan kemurkaan Allah swt pula (nauzubillah).

Ziarah merupakan satu amalan mulia dan digalakkan, malah amalan ziarah ini juga merupakan satu ibadah dan dicintai oleh Allah swt. Maka amat penting untuk kita memperbetulkan niat di hati setiap kali ingin menziarahi ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat-handai di Syawal yang mulia ini. Niat kita menziarahi seseorang hendaklah hanya semata-mata kerana Allah, dan bertujuan  untuk mendapat rahmat Allah, serta untuk mengeratkan kasih-sayang dengan orang yang diziarahi tanpa apa-apa matlamat keduniaan. Inilah ziarah yang paling tinggi fadhilatnya.

Ziarah Di Aidilfitri

 

NAbu Hurairah menceritakan bahawa Nabi SAW bersabda : “Seorang lelaki menziarahi saudaranya yang berada di sebuah kampung yang lain dari kampungnya. Maka Allah menghantar malaikat menghampiri lelaki itu,

Malaikat bertanya, “Kamu hendak ke mana?”

Lelaki itu menjawab, “Aku hendak menziarahi saudaraku di kampung ini.”

Malaikat bertanya lagi, “Adakah kamu mengharapkan sesuatu pemberiannya untuk kamu?”

Lelaki itu menjawab, “Tidak ada. Aku menziarahinya kerana aku menyintainya kerana Allah ‘Azza wa Jalla.”

Malaikat pun berkata, “Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa sesungguhnya Allah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana-Nya.” (RiwayatMuslim).

Niat ziarah yang dikutuk dan dilarang oleh Allah swt dan Rasulnya adalah menziarahi seseorang untuk meninjau dan melihat keadaan rumahnya, hartanya dan penghuninya, kemudian menjadikannya modal untuk bercerita dan mendedahkan keaiban orang yang telah diziarahinya itu di sana sini.

Selain daripada itu, niat ziarah yang dimurkai Allah swt termasuk menziarahi seseorang semata-mata untuk mendapat habuan tertentu atau keperluan peribadi, apabila hajatnya dipenuhi maka dia menghilang dan menyepi tanpa sebarang berita lagi.

Sentiasalah berdoa agar Allah yang maha membolak-balikkan hati kita agar memelihara dan menetapkan hati kita untuk sentiasa patuh kepada perintahNya dan menetapkan hati kita untuk melakukan segala amalan dan perbuatan di dunia ini hanya untuk mendapat redhaNya semata-mata, termasuklah ketika melakukan ibadah ziarah di Aidilfitri ini. Niat yang betul untuk menziarahi saudara mara dan sahabat handai ini juga pastinya akan terbias kepada penampilan yang baik, tingkah-laku yang sopan dan beradab serta tutur kata yang menyenangkan semasa menziarahi dan berada di rumah orang-orang yang diziarahi.

 

Tuesday, July 12th, 2016
Subscribe
Notify of
guest

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments