Empat Kesilapan Umum Wanita Dalam Pemakaian Korporat

Kesilapan Wanita Dalam Pemakaian Korporat.

Melalui penampilan, kita dapat memaparkan imej korporat yang positif dan ia memberi mesej yang tepat tentang diri kita dan organisasi yang kita wakili.  Sama ada kita masih lagi memanjat tangga korporat atau sudah berada di puncak, cara kita berpakaian dan imej organisasi yang kita wakili sangat berkait rapat, dan ia adalah salah satu faktor yang penting yang akan menentukan reputasi diri kita dan organisasi kita. 

Profesionalisme kelihatan bukan sahaja daripada segi intelektualiti, malah dari segi visual.  Bagi menampakkan yang kita adalah seorang yang profesional, kita perlu memberi perhatian yang serius kepada gaya berpakaian.  Pastikan  orang yang berurusan dengan kita sedar dan nampak mesej yang kita adalah  seorang yang profesional melalui penampilan kita. Pastikan diri kita berpenampilan sebagus kelayakan, kemahiran, pengetahuan, pengalaman dan nilai-nilai positif yang ada dalam diri kita.

Pada post kali ini Perunding Imej Malaysia mahu berkongsi tentang empat kesilapan umum yang wanita lakukan dalam pemakaian korporat atau business attire. Tanpa kita sedari, apabila melakukan kesilapan ini penampilan sebegini akan merosakkan kredibiliti dan reputasi imej profesional yang sedang kita bina.

1. Berpakaian glamor
Pakaian malam yang glamor tidak sesuai untuk dipakai pada waktu urusan harian. Ada yang tidak tahu membezakan mesej daripada pemakaian yang dipakai pada acara malam dan pemakaian yang dipakai ketika berurusan secara serius dan profesional pada waktu kerja. Berpakaian glamour akan menyebabkan anda menjadi perhatian dan menyebabkan orang yang ingin berurusan dengan anda keliru adakah dia berurusan dengan seorang wanita yang profesional.

Perunding Imej

2. Berpakaian lusuh atau terlalu kasual

Memakai pakaian lusuh atau terlalu kasual ketika berurusan menyampaikan mesej anda tidak serius dan  mengambil mudah dengan urusan tersebut dan dengan klien yang anda ingin berurusan itu. Ramai orang amat menghargai apabila anda memberikan komitmen ketika berurusan dengan mereka, termasuk memberikan komitmen tentang cara anda berpakaian.

Walau apapun personaliti anda, perlu diingat kita tidak tahu apakah personaliti orang yang kita bakal temui, apabila melibatkan kerja, orang yang akan anda temui sudah tentu mempunyai ‘first impression’ terhadap anda. Kita tidak mahu gagal dalam first impression, dan gagal dalam memenangi penilaian orang terhadap komitmen dan sikap profesional kita.

3. Berpakaian seksi
Jika anda ingin tampil seperti profesional dan serius, memakai pakaian sendat atau menjolok mata hanya menjatuhkan reputasi anda. Sama ada berniat atau tidak, mesej yang disampaikan oleh seorang wanita yang sanggup berpakaian sendat ini adalah ingin menarik perhatian dan menggoda lelaki. Apabila anda keluar untuk berurusan secara profesional, atas pakaian yang anda pakai, ada hak orang lain ke atasnya. Tanpa kita sedar, ada jiwa yang resah gelisah dengan kehadiran kita disebabkan pakaian kita.

Apabila anda ke pejabat, setiap orang di pejabat itu pastilah terpaksa memandang anda kerana terpaksa berurusan dengan anda. Maka setiap mata yang memandang anda mempunyai hak untuk menerima pemandangan yang baik dan menenangkan. Jangan bersifat mementingkan diri dengan mengetepikan hak orang lain untuk melihat penampilan yang beradab dan menenangkan dari diri kita.

4. Berpakaian seperti lelaki
Anda adalah wanita. Kekalkan ciri-ciri feminin yang profesional dalam pemakaian anda. Sekiranya anda perlu lakukan aktiviti lasak atau anda bekerja dan berurusan dengan ramai lelaki, ini bukannya sebab anda perlu berpakaian seperti lelaki.

Dalam sebuah hadits shahih dari ibnu Abbas Radhiallaahu anhu dia berkata: ‘Rasulullah SAW telah melaknat laki-laki yang menyerupai wanita dan wanita yang berpenampilan seperti laki-laki (HR. Al-Bukhari).

Pakailah pakaian yang praktikal dan sesuai untuk aktiviti lasak, anda masih boleh memakai seluar, namun pastikan potongan longgar (tidak menunjukkan bentuk kaki) dan dipakai bersama baju yang labuh melepasi paras punggung dan peha. Artikel penuh berkaitan penampilan wanita berseluar panjang klik di sini.

Anda masih mahukan tips penampilan wanita korporat? Klik di sini untuk lebih lagi!

Monday, January 9th, 2017
Subscribe
Notify of
guest

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments