Bagaimana meyakinkan pelanggan untuk memilih perkhidmatan dan berurusan dengan kita?
Para pelanggan membuat banyak kesimpulan tentang mutu perkhidmatan syarikat kita berdasarkan apa yang mereka lihat, terutamanya dari imej dan penampilan yang ditonjolkan oleh diri kita ketika menghadiri temujanji dengan mereka.
Pilih pakaian yang tepat, kenakan warna yang berpengaruh, pilih bilangan dan gabungan warna yang sesuai dengan mesej syarikat, beri penekanan kepada fabrik, desain dan corak pakaian yang dikenakan, padankan dengan aksesori dan kasut yang tepat.
Rancang dengan teliti dalam memilih bagaimana cara kita mempersembahkan pakej diri kepada pelanggan. Berusahalah untuk menonjolkan imej kelas pertama. Ianya bukan perbelanjaan yang sia-sia. Ia suatu pelaburan.
Pada 2-3 Ogos selama 2 hari berlangsung Kursus Penampilan Dan Imej Profesional di Dewan Serbaguna A, Wisma Ungku A. Aziz bersama pegawai-pegawai daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad .
Tim Perunding Imej Muslimah berkongsi 6 modul untuk mencapai objektif program iaitu memantapkan imej profesional para pegawai yang sering menjadi duta Angkasa dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat. Para pegawai ini adalah mereka yang sering berurusan dengan kementerian dan agensi kerajaan, koperasi-koperasi di dalam dan luar negara, pihak swasta, NGO dan orang awam. Adalah sangat penting mereka menampilkan imej profesional dalam kesemua tugasan merangkumi urusan dan majlis rasmi dan separuh rasmi.
Modul yang dikongsikan adalah merangkumi teknik dan panduan berpakaian mengikut tema urusan, tempat, masa dan acara, skrip dan laras bahasa ketika berkomunikasi secara profesional dan panduan adab dan etiket ketika berurusan secara rasmi dan separuh rasmi.
Di sini kami kongsikan gambar-gambar yang diambil semasa 2 hari program berlangsung.