10 Kesalahan Umum Yang Perlu Dielakkan Dalam Temuduga Kerja

Sebelum ini kami ada kongsikan teknik penampilan untuk hadir temuduga, pada kali ini kami mahu kongsikan pula tips komunikasi dan perlakuan yang perlu dielakkan ketika hadir temuduga. Berikut adalah sepuluh kesalahan umum berkaitan komunikasi dan etiket bisnes yang anda perlu elakkan dalam temuduga kerja.

 

1. Mengakui anda cemas dalam temuduga.

Syarikat mahukan pekerja yang sentiasa yakin dan tenang dalam menyelesaikan situasi, terutamanya bila berhadapan klien syarikat. Menunjukkan anda cemas akan menyampaikan mesej kepada penemuduga bahawa anda ingin ditenangkan sedangkan itu bukan tugas penemuduga dan akan menyebabkan penemuduga berfikir yang mereka perlu memperuntukan masa untuk menenangkan dan memberikan keselesaan kepada anda apabila anda masuk bekerja nanti. Tunjukkan anda seorang yang yakin dan tenang, sekiranya anda sering cemas, berlatihlah dari sekarang untuk bijak mengawal emosi dan fizikal diri untuk lekihatan yakin.

2. Mengkritik dan mengadu tentang majikan lama.

Jangan sesekali melakukan perkara ini, apabila ditanya oleh penemuduga kenapa anda berhenti kerja atau apa pendapat anda tentang tempat kerja lama anda. Mengkritik majikan lama atau mengkritik sesiapa sahaja akan menyebabkan penemuduga mempunyai persepsi yang negatif terhadap sikap anda. Mereka akan melihat anda adalah seorang yang negatif, tidak matang, terlalu emosional, suka menyalahkan orang lain, tidak bertanggungjawab dan tidak memiliki hati yang baik. 

Walau apapun keburukan dan kelemahan majikan lama anda, elakkan bercerita kepada penemuduga tentang perkara tersebut tetapi ceritakanlah tentang kebaikan dan sumbangan majikan lama kepada anda. Setiap orang ada kelebihan sebagaimana setiap orang ada kelemahan. Penemuduga akan melihat anda sebagai seorang yang positif, berfikiran matang dan sukakan kebaikan apabila anda suka bercakap dari sudut positif.

kesalahan umum dalam temuduga kerja

3. Bertanya soalan peribadi
Elakkan bertanya soalan peribadi kepada penemuduga. Sesi temuduga bukan tempat untuk anda beramah mesra, sesi temuduga adalah khusus untuk urusan profesional (stricly business). Bertanya soalan peribadi juga akan menyebabkan penemuduga menilai anda tidak menghormati mereka, kurang peka terhadap etiket bisnes dan tidak tahu membawa diri dalam majlis atau acara yang formal.
 
4. Meletakkan tangan dalam poket atau menggaru hidung, muka dan telinga
Kedudukan ini menunjukkan anda kurang berminat dan tidak berasa selesa dengan penemuduga dan juga rasa tidak selesa dengan soalan yang diajukan.
Perlu diingat bahawa ada di antara panel penemuduga yang sangat peka dan menilai diri anda melalui perlakuan dan bahasa badan anda.
5.Berpura-pura memahami soalan dan membuang masa dengan soalan yang tidak berkaitan
Sekiranya anda kurang faham dengan soalan yang diajukan oleh penemuduga, dapatkan kepastian sebelum menjawab soalan. Elakkan juga bertanya soalan yang  tidak ada kena mengena, soalan anda adalah untuk membawa kepada penemuduga bertanya soalan dengan lebih tepat, mudah dan difahami.
Anda perlu jawab soalan penemuduga dengan tepat dan elakkan meleret-leret.
6. Memberi maklumat peribadi yang tidak penting.
Penemuduga tidak berminat mengenai perihal pakaian, kesihatan dan aktiviti anda ketika masa lapang. Usah terlalu banyak bercerita tentang hal peribadi diri anda, kecuali apabila penemuga bertanya. Walaupun apabila penemuduga bertanya dan menunjukkan minat, ceritakan apa yang perlu sahaja dengan ringkas, tepat  dan padat.
7. Bersikap terlalu lurus
Penemuduga : “Apakah yang anda boleh tawarkan kepada syarikat kami?”.
Calon Temuduga : “Saya akan lakukan apa-apa sahaja untuk syarikat”.
Jika anda memberi jawapan seperti ini, anda berkemungkinan akan diberikan tugas-tugas yang tidak berkaitan dengan bidang anda dan tidak membantu dalam meningkatkan karier anda. Anda seharusnya ingat yang anda mahukan skop tugas yang ditawarkan oleh syarikat semasa temuduga, tetapi anda tidak mahu diberikan tugas yang tidak berkenaan.
Ya, ia benar pada zaman ini anda perlu menjadi seorang yang ‘multitask’ dalam karier anda cuma pastikan peratusan kerja yang lebih adalah kepada bidang anda.

 

8. Bersikap mempertahankan diri dengan kelemahan diri

Sekiranya penemuduga bertanya soalan begini :

Penemuduga : “Bagaimanakah kemahiran awak dalam menggunakan teknologi IT?.”
Calon Temuduga : “Saya tidak mahir dalam menggunakan teknologi IT, tetapi saya mempunyai etika kerja yang bagus”.

Jawapan seperti ini memfokuskan kelemahan calon temuduga mengenai kemahiran IT beliau yang lemah. Jika anda memberi jawapan seperti ini secara tidak langsung menunjukkan kepada penemuduga yang anda tidak layak untuk tugas yang ditawarkan.

Berilah jawapan yang menunjukkan anda bersikap pro aktif dan akan berusaha untuk meningkatkan kemahiran anda mengenai teknologi itu.

 

9. Keberatan memberitahu kelemahan diri

Apabila ditanya mengenai kelemahan diri, berhati-hati ketika memberi jawapan.

Contoh:
Penemuduga: “Apakah kelemahan diri awak?.”
Calon temuduga: ” Saya tidak dapat memikirkan kelemahan diri saya “.

Calon temuduga yang bijak akan memberikan jawapan dengan menyelitkan kelemahan diri dengan kekuatan diri.

Contoh:

Penemuduga : “Apakah kelemahan diri awak?.”

Calon temduga : “Saya amat tepati masa dan saya mudah hilang sabar dengan orang yang tidak tepati masa “.

10. Bersikap terlalu mesra dengan penemuduga

Penemuduga tidak berfikir untuk menjalin hubungan dengan anda, sebaliknya memikirkan samada anda layak atau tidak dengan pekerjaan yang ditawarkan. Kemungkinan ada di antara panel yang kelihatan mudah mesra dengan anda, tetapi itu bukan bermakna anda perlu jadi terlalu atau terlebih  mesra, dalam masa yang sama usahlah terlalu serius. Pastikan perlakuan anda sederhana dan menyenangkan.

Tuesday, January 17th, 2017January 17, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *