Bagaimana Mengetahui Warna Personaliti Diri Anda?
Untuk mengetahui warna personaliti anda, tanya diri anda soalan berikut :
“Apakah warna kegemaran saya?”
Warna yang terus muncul dalam fikiran anda apabila diajukan soalan ini, itulah warna kegemaran anda. Apabila diberi beberapa pilihan warna, mata anda pasti akan terus menangkap dan berhenti seketika pada warna kegemaran anda. Tidak perlu berfikir lama untuk mengetahui apakah warna kegemaran kita. Kebanyakan daripada kita memang mempunyai warna kegemaran dan ramai di antara kita mempunyai warna kegemaran yang sama sejak dari zaman kanak-kanak.
Sesetengah orang akan menukar warna kegemarannya sekali atau lebih dalam hidupnya, manakala ramai juga yang mempunyai warna kegemaran yang sama daripada dahulu sehinggalah sekarang. Warna kegemaran tersebut bukan sahaja diminati semasa kecil atau zaman persekolahan, tetapi berterusan hingga dewasa sehingga sepanjang hayat.
Pada 28 September yang lalu, Tim Perunding Imej Malaysia telah dijemput bersiaran di Rancangan Bismillah Ad Dhuha di Astro Oasis, mengupas tajuk ‘Warna & Personaliti Diri’. Kami telah berkongsi serba sedikit bagaimana menariknya kaitan warna dalam memahami personaliti seseorang. Antara yang dibincangkan adalah ciri-ciri dan mesej melalui warna dan bagaimana kejadian manusia dan alam ini mempunyai kaitan yang sangat kuat dengan pesona dan aura warna.
Sesetengah orang, kemungkinan ada ketikanya dia mungkin akan berubah menggemari warna selain warna kegemarannya, tetapi ianya hanya sementara waktu, bergantung kepada suasana dan keperluan mereka pada masa itu. Namun ramai juga yang akan kembali kepada warna kegemaran mereka yang asal apabila keperluan khusus itu telah dipenuhi.
Warna kegemaran kita secara semulajadinya akan memberitahu banyak perkara tentang diri kita, tentang bagaimana kita bertindak dan bagaimana orang lain melihat diri kita.
Mengetahui warna kegemaran kita memungkinkan orang lain untuk mampu meneka serta memahami tingkah laku dan sifat-sifat diri kita. Ianya juga mencerminkan personaliti diri serta kekuatan dan kelemahan diri.
Adakah Semua Orang Mempunyai Warna Kegemaran?
Bagi sesiapa yang tidak terfikir bahawa dirinya mempunyai warna kegemaran, lihat koleksi warna pakaian yang ada di dalam almari anda, warna pakaian yang anda sering pakai, warna yang anda pilih untuk menghiasi rumah atau pejabat anda, atau warna yang akan anda pilih setiap kali membuat desain dalam tugasan anda? Adakah terdapat satu atau lebih warna yang anda pilih secara konsisten?
Walaupun mungkin anda tidak sedar atau perasan tentang kecenderungan anda kepada warna-warna ini, ketahuilah ada di kalangan orang-orang terdekat dengan anda akan perasan minat dan kegemaran anda kepada warna-warna tertentu. Warna-warna inilah yang akan menjadi warna yang menggambarkan keperibadian dan personaliti anda.
Adakah Warna Yang Tidak Saya Sukai Juga Menunjukkan Personaliti Diri Saya?
Warna yang anda tidak sukai juga dapat memberitahu banyak tentang diri anda. Ianya mencerminkan kelemahan dan mungkin ancaman kepada diri anda. Warna yang paling tidak disukai oleh anda mungkin ada kaitannya dengan pengalaman-pengalaman tertentu dalam kehidupan anda atau ianya berkaitan dengan bidang-bidang dalam kehidupan anda yang perlu diberi perhatian atau keperitan hidup yang lalu yang perlu diubati.
Sama ada kita suka atau tidak suka terhadap sesuatu warna, perkara ini banyak bergantung kepada pengalaman hidup dan persepsi positif atau negatif kita terhadap sesuatu warna serta keperluan/kepentingan peribadi atau kerjaya kita terhadap sesuatu warna.
Fikirkan kembali tentang zaman kanak-kanak anda atau mana-mana masa terdahulu dalam kehidupan anda di mana anda mungkin telah mencipta warna yang tidak disukai. Ianya sering berkaitan!
Sekiranya anda sukar untuk menentukan mana satu warna yang paling anda suka, mungkin anda seorang yang terbuka kepada segala perkara dan merupakan seorang yang optimis. Menolak semua warna pula boleh mencipta ketidakseimbangan dalam hidup anda, jadi adalah sangat baik untuk cuba menggabungkan sejumlah kecil warna yang tidak disukai ke dalam hidup anda dengan menggunakannya pada pakaian, di rumah atau persekitaran kerja anda, untuk membantu mengimbangi tenaga anda.
Bagaimana Jika Saya Menyukai Lebih Daripada Satu Warna?
Jika anda mempunyai dua atau lebih warna yang sangat disukai, baca informasi mengenai setiap warna untuk memahami diri anda dengan sepenuhnya dan apa yang memberikan anda motivasi. Anda akan mendapati bahawa diri anda berkaitan dengan sebahagian daripada setiap profil warna yang akan saya terangkan.
Sekiranya anda sudah mengenalpasti satu atau beberapa warna kegemaran anda, kelilingi diri anda dengan warna yang anda sukai, sama ada dengan memakai warna tersebut atau kerap menggunakannya secara hiasan di persekitaran anda. Warna-warna tersebut akan memberikan semangat dan kekuatan kepada anda untuk menjadi diri anda sendiri dengan memaksimumkan potensi dan kualiti yang terbaik dalam diri anda. Walaubagaimanapun sentiasalah gunakan juga sedikit warna-warna lain bersama warna kegemaran anda untuk memastikan tenaga dan tingkah laku anda seimbang.
Anda berminat untuk mengetahui personaliti merah, biru, merah jambu, hijau, kuning, ungu, oren, indigo, turqoise, magenta, coklat, kelabu, silver, gold, putih dan hitam? Teruskan mengikuti artikel seterusnya untuk bersama kami membongkar setiap personaliti warna-warna ini.