Adab Ketika Beraya

Antara kegembiraan dalam bulan Syawal ini adalah amalan ziarah-menziarahi antara satu sama lain, selain daripada diberi peluang oleh Allah swt untuk menjadi salah seorang hambaNya yang menerima ganjaran puasa sunat enam Syawal, bagi mereka yang memilih untuk menyempurnakannya. Di kesempatan ini juga Tim perunding imej muslimah mengucapkan tahniah kepada mereka yang sudah berjaya menyempurnakan 6 hari ibadah puasa sunat Syawal. Sesungguhnya di antara bukti bahawa Ramadhan yang dilalui telah berjaya membentuk keperibadian yang tinggi terhadap seseorang dalam menjadi insan yang bertaqwa adalah dengan kesungguhannya mengerjakan puasa sunat Syawal atau lebih dikenali dengan puasa enam bagi masyarakat kita.

‘Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa’. Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 1164

Di samping menunaikan ibadah puasa 6 ini, bagi meraikan bulan Syawal ini juga kita digalakkan berziarah dan kunjung-mengunjungi antara satau sama lain. Maka amat penting kita meneliti perlakuan dan adab-adab ketika bertandang ke rumah seseorang untuk menziarahinya.

Artikel yang lalu saya telah bincangkan mengenai kepentingan membetulkan niat dan fadhilat melakukan amalan ziarah dan kunjung-mengunjungi. Kali ini saya ingin berkongsi tentang adab-adab ketika beraya atau ketika bertandang ke rumah orang.

Adab-adab ketika beraya adalah sebahagian daripada bagaimana cara kita mempersembahkan diri kita ketika beraya dan ianya adalah imej diri kita yang pastinya meninggalkan kesan kepada orang yang kita ziarahi. Di dalam al-Quran juga dijelaskan adab berkunjung ke rumah orang agar tuan rumah berasa selesa, tenang dan lebih bersedia menerima kunjungan.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat.

Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin, dan jika dikatakan kepada kamu ‘baliklah’, maka hendaklah kamu berundur balik, cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu, dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang  kamu lakukan.” (An-Nur 24: 27-28).

Ayat di atas menujukkan kita hendaklah menghubungi dan memohon izin daripada tuan rumah dahulu untuk bertandang ke rumahnya.

Di sini saya kongsikan 10 adab ketika bertandang ke rumah orang, sebagai panduan untuk kita pergi beraya :

1. Setelah tuan rumah memberi izin untuk kita datang, sebaiknya maklumkan juga kepada tuan rumah tarikh serta jangkaan masa yang kita akan sampai ke rumahnya, dan digalakkan juga memberitahu berapa jangkaan bilangan yang akan hadir bersama kita serta berapa lama akan berada di rumahnya. Ini akan memudahkan tuan rumah untuk bersedia mengemas rumah dan menyediakan juadah.

2. Tidak terus masuk ke dalam rumah apabila sampai, beri salam dan meminta izin untuk masuk. Jika tuan rumah menjawab salam, tidak bermakna dia telah memberi izin untuk masuk, maka tunggulah sehingga dia memberi keizinan untuk masuk ke dalam rumahnya.

3. Ketika meminta izin dan mengetuk pintu, elakkan berdiri mengadap pintu, sebaliknya berdirilah mengadap ke arah lain, iaitu dalam keadaan pintu berada di sebelah kanan atau kiri kita. Abdullah bin Busr r.a. menceritakan bahawa Nabi SAW apabila datang ke rumah seseorang, Baginda tidak berdiri mengadap ke pintu, sebaliknya Baginda berdiri dalam keadaan pintu di sebelah kanan atau kirinya dan berkata : “Assalamualaikum.” (Riwayat Abu Dawud).

4. Mengetuk pintu dengan cara yang perlahan adalah adab yang sangat baik. Oleh kerana zaman sekarang ini kebanyakan rumah dipasang pagar besi dan dipasang loceng di luarnya, maka adab yang harus dijaga adalah adab ketika menekan loceng, elakkan menekan loceng berkali-kali dan elakkan juga dilakukan dengan cara yang boleh membuatkan tuan rumah terkejut.

5. Sekiranya yang menyambut kehadiran kita adalah ahli keluarga atau pembantu tuan rumah yang tidak mengenali kita, terus kenalkan diri dengan sopan.

6. Pastikan penampilan, tingkah-laku dan percakapan kita sentiasa sopan, sederhana dan menghormati tuan rumah. Jika datang bersama satu keluarga, pastikan tingkah laku dan percakapan ahli keluarga sentiasa tertib dan menghormati tuan rumah dan barang-barang di rumahnya. Jangan berbual dan ketawa dengan nada suara yang kuat atau bergurau-senda atau berhujah dengan berlebih-lebihan.

7. Sentiasa memelihara pandangan daripada melihat aurat tuan rumah dan sesiapa sahaja yang berada di dalam rumahnya. Pelihara juga pandangan mata daripada liar memerhatikan perabot, peralatan, perhiasan dan apa sahaja yang ada di dalam rumahnya. Jauhi daripada melihat dan mendedahkan keaiban yang mungkin terdapat di dalam rumahnya dan ingatlah Allah dan RasulNya mengutuk tetamu yang mendedahkan keaiban tuan rumah dan keaiban keadaan rumahnya kepada orang lain.

8. Jangan duduk terlalu lama kerana boleh menimbulkan rasa resah dan tidak selesa tuan rumah kerana mungkin akan mengganggu urusan yang ingin dilakukannya, sedangkan dia malu dan segan untuk meminta kita pulang.

9. Pelihara adab pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Sebaiknya tetamu yang datang berkumpulan lelaki dan perempuan yang bukan mahram duduk di bahagian berasingan untuk mengelakkan percampuran dan pergaulan yang tidak sepatutnya.

10. Mohon izin untuk pulang dan ucapkanlah terima kasih kepada tuan rumah serta doakan kebaikan dunia dan akhirat untuk tuan rumah itu. Berdoa juga di dalam hati agar Allah memelihara hubungan dan kasih sayang antara kita dan tuan rumah.

Semoga adab-adab yang kita amalkan ini boleh menjadi panduan kepada kita semua agar mampu menjadi tetamu yang menggembirakan hati orang-orang yang kita ziarahi di Aidilfitri ini, dan lebih mendekatkan diri kita kepada rahmat dan kasih sayang Allah kepada kita.

Wednesday, July 13th, 2016July 13, 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *