Siapakah Wanita Yang Paling Cantik?
Sejak dari dulu kita sering mendengar bahwa kecantikan seorang wanita bukanlah dari rupa paras semata-mata. Benarkah? Pernahkah anda berjumpa dengan seorang wanita yang cantik rupa parasnya, tetapi hati anda tidak tertawan pun dengan wanita itu, dan mungkin anda tidak terfikir untuk mengulang lagi pertemuan dengannya, dan kemudian anda menyedari selain dari diri anda rupanya ramai juga orang lain yang tidak menyukai wanita yang cantik itu.
Dan pernahkah anda berjumpa wanita yang biasa-biasa sahaja rupa parasnya, namun hati anda tertarik kepadanya, anda suka dan selesa dengannya, keinginan untuk mendekatinya meluap-luap dalam diri anda, dan anda tidak sabar-sabar untuk bertemu dengannya lagi.
Oleh itu anda rasa siapakah wanita yang paling cantik ?
Wanita yang cantik adalah wanita yang kita ingin mendampinginya, kita selesa dan tenang bersamanya, pertemuan dengannya membuahkan perasaan dan kenangan yang indah serta sukar untuk kita melupakannya.
Bagaimana perasaan itu wujud? Adakah kerana wanita itu cantik rupa parasnya?
Sudah tentu cantik rupa paras bukan bukan faktor utama yang menyumbang perasaan yang indah itu. Wanita yang sebenar-benarnya cantik adalah wanita yang konsisten memberikan pengalaman dan perasaan yang baik kepada orang yang bertemu dengannya. Perasaan yang wujud itu adalah kerana penampilan wanita itu yang sopan, kata-katanya yang menggembirakan dan perlakuannya yang menghormati, meraikan dan menenangkan orang lain.
Seorang wanita yang konsisten memberikan perasaan yang baik kepada sesiapa sahaja yang muncul dalam hidupnya adalah wanita yang stabil dari segi emosinya, iaitu wanita yang bijak mengawal emosinya. Menghormati dan menggembirakan orang lain adalah keutamaan baginya walaupun mungkin ketika itu dia berada dalam keadaan yang sedih, marah, bimbang, cemburu, geram, meluat, gembira, takut dan berbagai lagi jenis perasaan seorang wanita biasa.
Wanita yang benar-benar cantik adalah wanita yang mampu melayani orang lain dengan baik, hormat dan sentiasa menggembirakan orang lain walaupun dalam hatinya dia sedang bersedih, walaupun di dalam hatinya sedang marah, geram, bimbang namun orang yang berada bersamanya tidak akan pernah perasan dan sedar, kerana dia bijak menyembunyikan perasaan yang sedang dialaminya, demi menggembirakan dan memastikan orang yang berada bersama dengannya selesa dan tenang.
Itulah WANITA YANG PALING CANTIK DI DUNIA!
Mungkin ada yang bertanya wujudkah wanita yang sesempurna ini? Mungkin ada juga yang terfikir mungkin wanita sempurna seperti ini wujud namun hanya wujud di kalangan wanita yang sudah berumur dan matang, kerana hanya wanita yang berumur dan matang sahaja yang mempunyai kestabilan emosi, sentiasa kelihatan ‘cool’ dan mampu mengawal serta menyorokkan emosinya?
Ini adalah andaian yang tidak tepat! Kerana ramai juga wanita muda yang mempunyai kestabilan emosi yang tinggi. Dan ramai juga wanita yang sudah berumur tidak stabil emosinya.
Bagaimanakah wujudnya wanita-wanita ini, wanita yang sangat bijak mengawal emosi, sentiasa tenang walau jiwanya bergelora, seolah-olah tiada perkara pahit yang berlaku dalam hidupnya, seakan-akan tiada orang yang pernah mencederakan emosinya?
Bagaimana mereka sangat hebat sehingga mampu untuk menyembunyikan segala kedukaan, kepahitan, kemarahan, kecemburuan, kesakitan, kesedihan dan segala yang tidak elok yang pernah berlaku dalam hidup mereka? bagaimana mereka mampu untuk tidak marah, tidak merungut, tidak mengadu-domba, tidak mengungkit-ungkit, tidak membalas dendam, tidak menyalahkan orang lain?
KERANA MEREKA ADALAH WANITA YANG PALING CANTIK DI DUNIA !
Wanita yang secantik ini mampu memilikinya kerana mereka memiliki JATI DIRI yang kukuh, teguh, kuat dan kental, sehingga tiada kuasa mampu mematahkan hati dan semangat mereka. Wanita yang cantik tidak tunduk kepada perasaan dan nafsunya. Wanita yang cantik sentiasa tenang kerana mempunyai hubungan yang sangat teguh dengan pencipta dirinya. Mereka percaya hanya Pencipta dirinya akan melindunginya, mampu memberi ketenangan dalam hatinya, yang paling berhak ke atas dirinya dan yang paling berhak untuk membalas segala perbuatan manusia lain yang menyebabkan kepahitan dan kesedihan kepada dirinya.
Keimanan dan kepercayaan yang tinggi kepada Ar-Rabb adalah kekuatannya dan motivasi dalam hidupnya. Tiada siapa pun di dunia ini mampu merampas kepercayaan dan keimanan itu. Wanita yang cantik berusaha keras untuk mencapai tahap keimanan dan kepercayaan itu, dengan amalan dan ibadah yang tidak pernah putus, demi mendapat perhatian, perlindungan, hidayah, rahmah, belas dan kasih rabbinya yang Maha Kaya dan Maha memiliki segala kekuasaan dan keadilan di dunia ini.
Dan wanita yang cantik ini adalah wanita yang berhak menjadi cantik dalam hati orang yang mengenalinya. Wanita yang cantik ini juga berhak untuk cantik selama-lamanya di alam dunia yang sementara ini dan bakal menjadi bidadari yang kekal cantik selama-lamanya di dunia yang kekal abadi di syurga. In sha Allah.