Ilmu dan cara berfikir yang betul mengenai kepentingan ketrampilan diri adalah antara faktor penting yang menentukan kejayaan dalam kerjaya seorang pelajar pada 10 tahun akan datang, malah mungkin secepat tiga atau empat tahun dari sekarang. Ia mampu membezakan pencapaian dua orang yang belajar di tempat yang sama dengan pencapaian akademik yang sama.
Apabila kedua-duanya mula bekerjaya, ketika ini cara mereka membawa diri, bergaul, berkomunikasi dan bersosial akan mempengaruhi pandangan dan sikap serta tingkah-laku orang lain terhadap mereka. Ramai graduan yang bijak dan pandai namun sedikit yang matang. Kematangan terhasil daripada cara berfikir yang betul, yang kemudiannya akan terbias pada ketrampilan diri, merangkumi cara berkomunikasi, bertingkah laku dan penampilan diri.
Berpakaian baik akan membuat diri kita berasa lebih baik
Terdapat satu bidang pengajian iaitu “enclothed cognition” yang menjelaskan tentang mengapa apabila kita memakai pakaian tertentu akan membuat kita berasa baik tentang diri kita dan bagaimana pakaian yang sesuai dapat meningkatkan prestasi kita. Kajian ini juga merumuskan kita semua dipengaruhi dengan apa yang kita pakai.
Kesan halo dan pakaian
Pakar psikologi sosial Edward Thorndike telah mengkaji fenomena yang dikenali sebagai ‘kesan halo’ (Halo effect). Fenomena ini menunjukkan seorang manusia menggunakan tanggapan menyeruluh hasil pemerhatiannya terhadap seseorang untuk membuat anggaran tentang keupayaan atau ciri-ciri orang tersebut.
Contoh kesan halo ialah, apabila kita berpendapat bahawa orang itu adalah orang yang baik, kita menganggap semua perkara yang dilakukan oleh orang itu adalah baik-baik belaka, tidak kira kita samaada kita mempunyai bukti yang boleh menyokong kesimpulan kita itu atau tidak.
Kajian awal mengenai kesan halo membuktikan bahawa sekumpulan pelajar akan mengulas tentang pensyarah mereka sama ada pensyarah itu bagus atau tidak dalam bidang tersebut adalah berdasarkan pendapat bahawa pensyarah itu disukai ramai atau tidak, walaupun beliau mengajar tentang perkara yang sama kepada semua pelajar.
Terdapat juga kajian baru menyatakan bahawa seorang guru akan membantu seseorang pelajar semasa memberi pemarkahan peperiksaan apabila guru itu berpendapat bahawa pelajar itu adalah seorang yang berketrampilan dan disukai ramai.
Manfaatkan penampilan dan pakaian sebagai cara membina keyakinan diri
Bermula dari sekarang, anda perlu manfaatkan penampilan dan pakaian sebagai cara anda merangsang semangat dan membina keyakinan diri anda. Kajian menunjukkan penampilan luaran mampu mempengaruhi keadaan mental kita dan cara kita berfikir. Dengan penampilan yang kemas dan rapi, fikiran kita juga akan turut menjadi kemas dan rapi.
Penampilan seorang pelajar bukan hanya akan mempengaruhi cara dia berfikir tentang dirinya sendiri, tetapi ia juga akan mempengaruhi persepsi orang lain terhadap dirinya. Orang lain akan percaya apa yang dilihat oleh mereka. Persepsi mereka terhadap imej diri anda akan membentuk kesimpulan mereka terhadap diri anda seterusnya mempengaruhi tingkah-laku mereka terhadap anda.
Imej yang hebat bermula dengan sasaran yang jelas. Tetapkan sasaran yang jelas bagaimana persepsi orang lain terhadap imej diri kita, ianya penting dalam menentukan hala tuju kerjaya anda. Memang benar secara teorinya, intelek dan kelayakan akademik anda adalah lebih penting daripada penampilan. Namun realitinya apabila anda keluar dari kolej dan masuk dalam industri, orang sekeliling menilai anda daripada penampilan yang anda tonjolkan.
Mulakan sekarang !
Sekiranya anda adalah pelajar yang masih belajar di universiti atau kolej, anda patut bermula dari sekarang, di tempat anda belajar. Semakin awal anda bermula dan menetapkan sasaran bagaimana orang lain melihat anda, semakin baik dan jelas laluan kerjaya anda. Tetapkan ketrampilan diri anda dan bina jenama diri anda sekarang. Pastikan anda membina jenama diri yang betul dan bersesuaian dengan halatuju kerjaya dan industri yang ingin anda tuju.
Beri penekanan terhadap aspek penampilan diri, komunikasi dan etiket profesional. Ketika anda ke kelas, berjumpa para pensyarah, melangkah ke perpustakaan, atau hadir ke perjumpaan dalam persatuan dan aktiviti kampus, tetapkan persepsi orang lain dan bagaimana orang lain akan memandang diri anda.
Satu aspek yang perlu diberi perhatian adalah pemilihan pakaian, memang benar ketika ini anda masih tidak mempunyai pendapatan sendiri untuk membeli banyak pakaian yang berjenama dan mahal. Dengan ilmu penampilan yang betul, anda akan sedar bahawa pakaian yang mahal tidak ada nilai apabila dipakai pada waktu dan acara yang salah, tetapi pakaian yang biasa-biasa akan nampak bernilai apabila anda memakainya pada waktu dan acara yang tepat, di samping anda tahu melengkapkan dan memadankan pakaian tersebut mengikut peraturan kombinasi warna, corak, fabrik dan aksesori yang betul.
Di sini saya ingin kongsikan beberapa tips untuk menjadi pelajar yang menarik ;
1) Mengutamakan pakaian berkualiti bukan kuantiti
Jangan membazir wang biasiswa dan wang ibubapa anda dengan membeli banyak pakaian. Anda hanya perlukan beberapa pakaian yang berkualiti untuk tampil kemas dan menarik. Jangan memandang rendah ke atas perkara yang kecil seperti tekstur dan fabrik pakaian, pakaian yang berkualiti mempunyai tekstur dan fabrik yang baik dan sudah tentu ia akan memberikan kesan berbeza terhadap penampilan anda. Kasut juga tidak perlu banyak, pastikan anda ada sepasang kasut yang berkualiti daripada kulit. Apabila anda memakai kasut berkulit, secara automatik anda akan nampak lebih berketrampilan dan matang, tanpa mengubah pakaian anda yang lain. Walaubagaimanapun anda tidak perlu bergaya seperti orang yang matang setiap masa. Variasikan gaya anda supaya anda nampak seperti seorang pelajar yang mengambil berat tentang penampilan diri.
2) Elak dari menggayakan stail biasa seorang pelajar
Pakaian yang perlu dielakkan ketika hadir ke kelas adalah pakaian santai seperti seluar jeans dan T-shirt bagi lelaki dan wanita. Bagi pelajar wanita juga cuba elakkan skirt kembang, blouse ketat, dress/jubah ala princess dan baju kurung yang bercorak bunga-bunga kecil yang kebudak-budakan. Anda perlu biasakan dengan pakaian formal dan korporat ketika hadir ke kelas, bayangkan seperti anda bersiap untuk ke pejabat setiap pagi. Bagi pelajar lelaki anda tidak perlu memakai suit dan tali leher, blazer dan jaket, namun anda boleh mencuba baju kemeja kerja berkolar dan seluar kerja. Pakailah seluar kerja berwarna gelap dengan potongan biasa untuk ke pejabat dan bersesuaian dengan tubuh, kurangkan penggunaan seluar berfesyen dan seluar yang cerah dan bercorak. Gunakan tali pinggang yang sederhana dengan kepala tali pinggang tidak terlalu kecil atau terlalu besar.
Wanita pula boleh memakai baju kurung plain warna gelap atau yang bercorak geometri dan abstrak dengan corak tidak terlalu penuh. Anda juga boleh memakai skirt labuh kerja, kemeja atau blouse formal yang labuh menutupi paras pinggul. Pastikan pakaian anda selesa, sopan bersih, kemas dan menutup aurat. Sesuaikan pakaian dan fesyen dengan bentuk tubuh badan masing-masing dari segi potongan, warna dan corak fabrik. Gayakan tudung dan aksesori yang sesuai dengan corak dan warna pakaian, kemas dan sopan. Elakkan aksesori yang labuh dan berloceng, serta elakkan mekap yang terang dan berlebihan. Anda tidak perlu bermekap sekiranya kulit wajah anda normal dan tiada cela. Mekap hanya membantu anda menampilkan imej yang bersih, kemas dan mengelakkan anda kelihatan kusut-masai dan tidak terurus.
3) Mantapkan penampilan dengan komunikasi dan tingkah-laku yang sopan
Pakaian yang betul namun sekiranya komunikasi dan tingkah laku anda seperti seorang yang tidak beradab dan berpelajaran akan menjatuhkan kredibiliti dan jenama diri anda yang sepatutnya meningkat naik. Pastikan anda mempraktikkan etiket profesional yang betul seperti memberi penekanan kepada cara bersalam, greeting, eye contact , facial expression, memperkenalkan diri dan orang lain, gaya berjalan, duduk dan berdiri, cara menerima teguran dan kritikan, memberi dan menerima kad bisnes, ruang dan jarak peribadi, isu-isu sensitif dalam urusan profesional, ketepatan masa semasa berurusan, etiket bermesyuarat, etiket online dan lain-lain. Hiasi keperibadian anda dengan sikap merendah diri dan tonjolkan keikhlasan dan kesungguhan anda dalam menjalinkan hubungan profesional dengan orang lain dalam membina kerjaya anda.