Apabila menyampaikan tajuk etika profesional, seringkali ada di antara peserta yang bertanya ‘bagaimana sekiranya seorang peyambut tetamu atau frontliner atau jurujual itu senyum, ucap salam, berwajah manis, berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai etika yang lain itu sebenarnya hanya berlakon bagi tujuan ‘profit’ sahaja?
Isu samaada seseorang itu ikhlas untuk beretika/beradab contohnya senyum, ucap salam, berwajah manis, datang awal, berbudi-bahasa, menjawab kritikan dengan sabar dan baik, serta lain-lain adab lagi, walau apapun niat dan tujuannya, hanya Allah yang layak menilai dan mengetahuinya.
Allah SWT berfirman…
“Keikhlasan itu rahsia daripada rahsiaku, Aku simpan ia di dalam hati hamba-hambaKu yang Aku cintai” -Hadith Qudsi-
Seorang guru yang saya hormati pernah menerangkan tentang hadith ini, bahawa keikhlasan itu adalah rahsia Allah, dan hak Allah juga, disebut jelas di dalam hadith di atas bahawa Allah akan mengurniakan rasa ikhlas itu hanya pada hamba-hambaNya yang Dia cintai.
Maka isu di sini bukanlah keikhlasan itu lagi, isunya adalah untuk menjadi seorang hamba yang Allah cintai, kerana hanya hambaNya yang Dia cintai sahaja yang akan dikurniakanNya keikhlasan.
Antara ciri-ciri menjadi hambaNya yang dicintai adalah beretika/beradab, termasuklah adab-adab di dalam menjalankan urusan bisnes dan sosial, seperti meraikan tetamu, memberi salam, bersalam, senyum dan berwajah manis, berbudi bahasa, datang awal, memanggil orang lain dengan panggilan hormat yang sesuai, tidak bertanya soalan-soalan yang sensitif dan lain-lain etika/adab.
Kemungkinan para penjual asalnya mereka beretika kerana ingin mengambil hati pelanggan untuk mendapat profit, namun kerana adanya usaha untuk melakukan perbuatan yang baik dan beretika itu malah dilakukan secara konsisten, peluang untuk dicintai Allah SWT adalah tinggi, dan apabila dicintai Allah kerana perlakuan baik itu, maka insya Alah akan dikurniakanNya akhirnya keikhlasan untuk mengamalkan perkara-perkara yang beretika itu.
Pada saya tidak pernah rugi orang yang beretika/beradab, malah orang yang beradab ini sentiasa beruntung di dunia dan akhirat. Sudahlah di dunia disukai dan senang orang berurusan dengannya, di akhirat ganjarannya besar di sisi Allah SWT.