Fesyen hijabista : Sesuaikah Digayakan Ke Pejabat

Pilihan gaya tudung adalah penentu tahap iman dan kewibawaan diri seorang muslimah. Fesyen tudung hijabista di kalangan muslimah sudah tidak asing lagi sejak kebelakangan ini. Perkembangan fesyen tudung dan teknologi media sosial seperti youtube, instagram, facebook dan sebagainya memudahkan ramai muslimah untuk mendapatkan dan mencuba cara menggayakan tudung terkini yang pelbagai.

Kita boleh melihat sekarang muslimah menggayakan fesyen tudung hijabista ini bukan sahaja di majlis-majlis keramaian namun ada yang sangat berani menggayakan ketika ke pejabat. Persoalannya, adakah sesuai fesyen tudung hijabista ini digayakan ke pejabat?

Muslimah hendaklah bijak dalam menilai dan memutuskan apakah sesuai menggayakan fesyen tudung hijabista ini ketika keluar bekerja. Pertama sekali, kembali kepada tujuan dan niat asal memakai tudung dan kedua, selarikan tujuan memakai tudung serta fungsi tudung itu. Gaya tudung yang dipakai boleh menzahirkan niat dan tujuan seorang muslimah keluar bekerja. Justeru, imej yang ditonjolkan melalui gaya tudung hendaklah mengekalkan mesej dan imej wanita bekerja yang perlu tampil profesional, matang, serius, cergas dan pro-aktif terutamanya wanita yang bekerja dalam industri konvensional yang lebih mengiktiraf seseorang dari sudut kepakaran dan kebijaksanaan daya fikir, berbanding hanya paras rupa yang menawan.

Gaya tudung yang dipakai juga hendaklah membawa mesej yang tepat  seorang muslimah bekerja yang bermaruah dan untuk mencari rezeki yang halal untuk keluarga, dan untuk menyumbang khidmat kepada masyarakat dan negara. Justeru, gaya pemakaian tudung hendaklah menzahirkan niat yang betul dan murni itu, dan bukan gaya tudung yang  berlebih-lebihan untuk melawa atau untuk menarik perhatian lelaki agar suka memandang ke arahnya.

Perlu diingat fungsi tudung adalah untuk menutup aurat wanita dengan sempurna. Selain daripada menutup aurat, fungsi tudung juga adalah untuk mengaburkan atau menghijab kecantikan diri, bukannya semakin menonjolkan kecantikan dan kejelitaan muslimah kepada tontonan ramai. Dengan kata lain, pemakaian tudung perlu dipastikan agar ‘roh’ tudung tepat syariat seperti yang telah diperintahkan agama kekal dipatuhi.

Fesyen hijabista

Saya kongsikan di sini 4 fesyen tudung yang tidak sesuai untuk digayakan ke pejabat :

1. Gaya tudung berjuntai, beralun-alun dan flowy.

Gaya tudung yang dipakai dengan membiarkan satu atau beberapa bahagian tudung berjuntai, beralun-alun dan flowy. Ini adalah gaya tudung kasual yang menjadikan pemakai kelihatan ‘tidak serius dan manja’ apabila ke pejabat. Juntaian tudung yang keterlaluan boleh mengganggu pergerakan si pemakai dan juga mengganggu pandangan orang lain yang ingin berurusan secara bersemuka.

2. Gaya tudung yang unik, pelik dan berbeza.

Ada wanita yang sangat berani menggayakan tudung yang terlalu unik dan pelik hingga menyebabkan pandangan mata berkali-kali menoleh ke arahnya. Sudah tentu ianya adalah imej yang mengganggu apatah lagi ketika menjalankan tugas di pejabat yang semestinya keadaan dan suasana yang perlu profesional, cekap dan efektif. Terdapat hadis yang melarang Muslim berpakaian dengan niat ingin ‘nampak berbeza’ daripada orang lain. Iaitu sama ada kerana ingin tampil ‘lebih berani’ ,’ekstra lawa’, ‘lebih warak’ atau ‘berbeza’ berbanding orang sekeliling. Jenis pakaian ini Allah labelkan sebagai pakaian syuhrah : “Barang siapa mengenakan pakaian syuhrah (untuk mahsyur) di dunia, nescaya Allah mengenakan pakaian kehinaan kepadanya pada hari kiamat, kemudian membakarnya dengan api neraka.” (Riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah).

3. Gaya tudung yang mendedahkan atau menonjolkan bentuk leher dan dada.

Tudung yang dipakai ke pejabat perlu menutup leher dan dada, dan juga tidak menonjolkan bentuk leher dan dada. Pakailah tudung dari kain yang tidak melekat di dada. Elakkan memakai tudung yang menampakkan bentuk leher yang mirip gaya tudung yang dipakai oleh biarawati kristian.

“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk dari golongan mereka”. (Hadis Riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Ibnu Hibban)

4. Fesyen tudung bersanggul tinggi.
Memakai tudung sebegini sememangnya akan menarik perhatian dan mengganggu pemandangan di pejabat, selain pemakaian tudung gaya ini dilarang oleh agama. Larangan memakai tudung  yang bersanggul ini datang sendiri dari nabi Muhammad SAW, Rasullullah bersabda “ada dua kelompok dari masyarakat neraka yang belum pernah saya saksikan, satu golongan yang mempunyai cemeti seperti ekor lembu untuk memukul manusia serta, beberapa wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang, berlenggak-lenggok, kepala mereka seperti bonggol unta yang bergoyang-goyang.
Wanita yang seperti itu akan tidak masuk syurga serta akan tidak mencium baunya. Sedang baunya dapat tercium sepanjang perjalanan demikian dan sekian “(HR. Muslim).
Oleh itu, muslimah bekerjaya perlulah lebih bijak memilih gaya tudung yang bersesuaian dan mampu menzahirkan niat yang betul ketika keluar bekerja serta kualiti sebenar yang ada dalam diri.

Tuesday, July 26th, 2016
Subscribe
Notify of
guest

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Hasmemy Azuren bt Zulkiply
Hasmemy Azuren bt Zulkiply
6 years ago

Salam…pihak kami berminat utk mengadakan kursus keterampilan. Boleh sy dptkan details daripada pihak puan?