4 Tips Memilih Beg Tangan Kerja Untuk Wanita

 

Sekiranya terdapat satu perkara yang diperlukan oleh setiap wanita bekerjaya di dalam almari pakaian mereka, ia adalah beg tangan kerja profesional yang pelbagai fungsi. Membeli beg tangan untuk kerja pastinya akan menjadi satu pelaburan yang berbaloi, apabila anda memilih ciri-ciri beg tangan yang tepat. Beg tangan yang betul dan sesuai akan menaikkan kredibiliti dan imej profesional diri anda, yang akan bersama anda setiap masa dalam membina kerjaya.

Beg tangan kulit yang berstruktur dengan baik akan menjadikan anda kelihatan lebih menyerlah, berasa fokus, dan cukup yakin.

Pada artikel kali ini Perunding Imej Muslimah ingin kongsikan 4 tips yang berguna untuk membantu anda memilih beg tangan kerja yang akan menaikkan kredibiliti dan imej profesional wanita bekerjaya.

 

TIP 1: Pertimbangkan untuk melabur ke atas beg tangan kulit

4 Tips Memilih Beg Tangan Kerja Untuk Wanita
Pada zaman sekarang wanita harus bijak dalam membelanjakan wang yang diperolehi. Oleh kerana beg tangan kerja adalah pelaburan anda untuk kerjaya, maka pilihlah satu beg tangan kulit yang tepat untuk menaikkan kredibiliti dan karisma diri kita.

Adalah lebih bijak untuk melabur ke atas satu beg tangan kulit yang betul daripada membazir mengumpul koleksi beg tangan yang banyak tetapi tidak mampu membantu meningkatkan imej anda sebagai wanita profesional dan berkarisma.

Pilihlah beg tangan kulit klasik tanpa aksesori yang besar, bising dan sarat.

 

TIP 2: Saiz dan struktur beg tangan adalah penting

4 Tips Memilih Beg Tangan Kerja Untuk Wanita

Beg tangan kerja harus mengandungi ciri-ciri yang praktikal, berstruktur kukuh dan mudah untuk memindahkan barang-barang penting antara rumah dan pejabat anda tanpa menjadi terlalu berat dan rumit.

Apabila anda mahu membeli beg tangan, pastikan anda mengukur saiz lebar beg tangan dengan meletakkannya berhampiran dengan pinggul anda. Saiz beg tangan kerja anda sepatutnya tidak melebihi saiz bahagian pinggul anda atau bahagian tubuh anda yang paling lebar.

Jangan memilih sesebuah beg tangan hanya kerana tergoda untuk mengikuti fesyen. Beg tangan yang terlalu kecil yang dipakai oleh wanita yang sangat tinggi akan membuatkan ia tergelam dan kelihatan tidak seimbang. Sebaliknya bagi wanita yang bertubuh besar dan kurang ketinggian, anda akan tenggelam dengan saiz beg tangan yang terlalu besar.

Pemilihan struktur beg tangan kerja yang kukuh dan solid adalah penting. Beg ‘hobo slouchy’ yang tidak tersusun adalah tidak sesuai menjadi beg kerja namun sangat bagus untuk hujung minggu. Saya cadangkan anda membawa beg tangan yang lebih berstruktur dan solid untuk ke pejabat. Pilihlah beg tangan kerja yang berbentuk segi daripada memilih saiz bulat atau ‘curve’.

Beg tangan yang kelihatan bersegi dan kukuh iaitu mampu teletak dan berdiri di atas lantai akan menampakkan si pemakainya kelihatan lebih ‘firm’ dan menyakinkan. Beg tangan kulit ‘Nappa’ adalah pilihan yang hebat, kerana ia sangat berstruktur dan baik untuk melindungi barang-barang anda.

Bagi mereka yang perlu bergerak lasak berjalan dan berulang alik dari tempat kerja, beg yang mempunyai tali untuk dipakai di seluruh badan dan juga di bahu anda adalah yang terbaik.

 

TIP 3: Poket

4 Tips Memilih Beg Tangan Kerja Untuk Wanita
Beg tangan yang paling baik adalah yang membolehkan barang-barang penting anda disusun dengan baik. Cari beg tangan yang sekurang-kurangnya mempunyai satu poket zip luar untuk telefon bimbit dan kunci anda.

Beberapa poket di dalam juga membantu untuk menyimpan item seperti pen dan kad perniagaan dari bahagian bawah beg.

 

TIP 4: Ekspresikan diri anda melalui warna beg tangan yang betul

4 Tips Memilih Beg Tangan Kerja Untuk Wanita

Warna beg tangan yang betul bergantung kepada persekitaran dan industri kerja anda.

Dalam semua industri, untuk seorang wanita bekerjaya kelihatan elegan dan profesional, pilihlah beg tangan berwarna gelap dan korporat iaitu hitam, coklat, kelabu dan navy blue.

Bagi wanita yang bertubuh kecil, anda juga boleh memilih warna krim atau putih memandangkan warna ini juga tergolong dalam warna-warna korporat, bagi tujuan untuk menyeimbangkan saiz tubuh anda.

Pemilihan beg tangan dalam warna-warna korporat ini sangat penting untuk anda kelihatan relevan dalam tema ‘corporate dressing’ terutamanya untuk dipasangkan dengan pakaian pejabat atau baju kurung anda yang mempunyai pelbagai warna.

Mahu lebih klasik? Pilih beg tangan berwarna hitam kerana warna tersebut sentiasa dalam fesyen dan gaya korporat serta boleh menutupi kotoran dengan mudah.

Elakkan memilih beg tangan yang terlalu banyak warna. Pilihan terbaik ialah beg yang tidak melebihi 2 atau 3 warna sahaja. Kebiasaannya satu warna korporat beg yang solid dan satu lagi warna aksesori pada beg iaitu aksesori berwarna gold atau silver.

Anda masih mahukan tips penampilan wanita korporat? Klik di sini untuk lebih lagi!

 

Thursday, October 19th, 2017
Subscribe
Notify of
guest

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments