Konsep ‘open house’ atau rumah terbuka sepanjang Syawal ini merupakan satu amalan yang murni untuk ziarah-menziarahi dan mengeratkan silaturrahim. Walaupun penganjurannya hanya dilihat sebagai satu budaya masyarakat di Malaysia, namun jika caranya betul dengan menepati adab-adab yang dianjurkan oleh Islam dan jauh daripada kemurkaan Allah swt maka amalan mengadakan rumah terbuka ini boleh menjadi satu ladang pahala bagi tuan rumah dan mendekatkan dirinya dengan rahmat dan kasih sayang Allah swt.
Artikel yang lepas saya telah mengupas tentang adab sebagai tetamu apabila beraya di rumah orang, kali ini saya ingin berkongsi pula mengenai adab-adab orang yang menerima tetamu atau adab tuan rumah yang menganjurkan rumah terbuka ini.
Tetamu adalah amanah Allah yang harus ditunaikan haknya. Tuan rumah bertanggungjawab terhadap hak tetamu selama tetamu itu berada di rumahnya. Menghormati tetamu dan menyempurnakan haknya juga adalah sebahagian daripada perkara yang menjadikan seseoarang muslim itu memiliki iman yang sempurna dan berakhlaq mulia.
Amalan menghormati dan memuliakan tetamu bukan saja menunjukkan perilaku terpuji, malah ia berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Siapa beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Siapa beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.”(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Adab merupakan cara dalam melakukan sesuatu yang sesuai dengan aturan yang berlaku di masyarakat. Adab menerima tamu ialah tatacara seseorang melayani atau memperlakukan tamu yang berkunjung ke rumahnya sesuai dengan garis panduan yang dianjurkan oleh Islam dan aturan yang berlaku dalam masyarakat. Adab-adab ini tujuannya adalah agar suasana yang wujud sepanjang berlangsungnya rumah terbuka itu adalah harmoni, dan tiada pihak yang terluka kerana dipenuhi dengan adab yang bertunjangkan nilai kesopanan, akhlak dan kebaikan budi pekerti. Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita untuk memuliakan tetamu dengan layanan dan tingkah-laku yang beradab, kerana tetamu yang datang adalah pembawa rezeki dan pulangnya membawa dosa-dosa kecil tuan rumah, dan akan mendekatkan kita dengan rahmat dan kasih sayang Allah swt.
10 ADAB MENERIMA DAN MENJAGA HAK TETAMU
1. Menjemput tetamu dengan niat semata-mata mengharapkan ganjaran pahala
Bermula seawal kita berniat untuk mengadakan rumah terbuka dan menjemput tetamu datang ke rumah, perbetulkan niat hanyalah untuk mendapatkan keredhaan Allah agar Allah mengurniakan pahala dari kunjungan tetamu itu nanti dan memandang kita dengan rahmatnya. Segera bersihkan niat dari rasa ingin menunjuk-nunjuk, riak, mengharapkan balasan dan ada kepentingan dunia atas kunjungan tetamu.
Niat yang betul dan ikhlas ini pastinya akan memudahkan segala urusan dan proses untuk mengadakan rumah terbuka ini dari mula hingga akhir, dan niat yang betul dan ikhlas juga pastinya akan terzahir kepada penampilan dan tingkah laku kita semasa melayani tetamu sepanjang tetamu berada di rumah kita. Berniatlah dengan ikhlas agar Allah sentiasa membantu dan memberi hidayah sepanjang masa menerima dan menunaikan hak tetamu yang datang.
2. Hadkan bilangan jemputan
Sebelum merancang bilangan tetamu yang ingin dijemput, pastikan bilangan tetamu yang akan hadir adalah dalam lingkungan kemampuan untuk tuan rumah memberikan layanan yang berkualiti. Usahlah terlalu teruja untuk menjemput seramai mungkin tetamu tanpa mengira adakah sempat kita berikan layanan yang baik. Tumpukan kepada kualiti layanan kita kepada mereka. Susun waktu atau jadual kehadiran mengikut bilangan tetamu yang akan sampai di mana Tuan rumah mampu melayani mereka dengan layanan yang memuaskan dalam waktu yang diperuntukkan.
3. Menerima tetamu dengan wajah yang ceria, senyuman dan sopan-santun
Sambutlah tetamu dengan wajah yang ceria, penuh senyuman dan keramahan. Antara adab memuliakan tetamu yang dianjurkan Islam ialah menyambut kedatangan mereka dengan perasaan gembira serta wajah manis, bertanya khabar dan menyembunyikan masalah diri kita supaya tidak diketahui tetamu. Apa sahaja masalah yang timbul atau mungkin ketika itu kita kepenatan melayani ramai tetamu, janganlah sesekali ditunjukkan riak wajah yang tidak sepatutunya ketika menyambut tetamu. Apabila menyambut tetamu, segera hulurkan salam dan sebutkan nama mereka, dan jemput mereka masuk ke rumah. Selepas bersalaman dan menerima kedatangan, tanyalah khabar dan berbual seketika. Usahlah ketika tetamu tiba terus berkata, “jemput makan”, seolah-olah kita menjemput mereka datang hanya untuk menyuruh mereka makan atau menghabiskan makanan sahaja.
Sikap yang harus dijauhi juga ialah memalingkan muka, tidak mahu memandang wajah tamu atau buat-buat tidak nampak, tidak menegur sejurus menerima tamu serta sikap – sikap sombong yang lainnya. Sekiranya kita tidak tahu nama tetamu, kemungkinan tetamu itu adalah rakan suami atau rakan kepada ahli keluarga yang lain, segera kenalkan diri kita dan tunjukkan kegembiraan dan keterujaan untuk berkenalan dengan mereka. Jangan sesekali menunjukkan reaksi seperti ingin menghalau tetamu walaupun kita tidak berniat. Tunjukkan rasa gembira kita dengan kehadiran tetamu itu.
4. Berpenampilan kemas, bersih dan sopan ketika menerima tamu
Pakailah pakaian yang bersih, kemas dan sopan ketika menerima kunjungan tetamu dengan niat untuk memuliakan tetamu bukan untuk menunjuk-nunjuk dan riak. Berpakaian yang baik bukanlah bererti memakai pakaian yang mahal dan penuh dengan perhiasan berharga, cukup sekadar pakaian tersebut kemas, bersih dan sopan sehingga sedap dan sejuk mata tetamu yang memandang.
Setiap tetamu juga berhak disajikan dengan pandangan yang baik termasuklah pakaian Tuan rumah. Cara berpakaian Tuan rumah dan ahli keluarganya adalah bagaimana cara bagaimana Tuan rumah menghormati tetamu dan menganggap tetamunya penting.
5. Tidak membeza-bezakan layanan terhadap tetamu dan berusaha untuk menegur-sapa semua tetamu yang hadir
Jangan sesekali membezakan layanan terhadap tetamu yang hadir berdasarkan status sosialnya, jawatan, pangkat dan manfaat yang kita akan dapat darinya, juga jangan bezakan layanan berdasarkan berapa rapat hubungan kita dengan mereka. Sangatlah mengecewakan dan tidak manis apabila kita sendiri yang menjemput mereka datang tetapi kita membeza-bezakan layanan serta layan acuh tak acuh dan membuatkan tetamu berasa seolah-olah seperti mereka yang terhegeh-hegeh mahu datang.
Semua tetamu yang hadir mempunyai hak untuk menerima layanan kita, walaupun bukan kita yang menjemput mereka, apatah lagi sekiranya kita sendiri yang menghantar jemputan. Berjalanlah dari meja ke meja untuk berbual dan bertanya khabar tetamu, bukan sekadar hanya sambut tetamu di pintu dan muncul semula untuk berbual apabila tetamu mahu pulang. Tetamu pun faham bahawa kita mempunyai ramai lagi tetamu lain untuk dilayan dan mereka akan faham apabila kita tidak boleh berbual lama dengan mereka namun sekurang-kurangnya berusahalah untuk menunjukkan bahawa kita ingin melayani mereka dan menghargai kehadiran mereka dengan mendekati mereka dan bertegur sapa dengan ramah mengucapkan penghargaan dan terima kasih kerana sudi hadir. Usahakan untuk sempat berbual dengan semua tetamu yang hadir dan cubalah untuk senyum memandang dan menegur pasangan atau ahli keluarga yang hadir bersama mereka walaupun hanya sepatah dua kata.
6. Menjamu tetamu dengan makanan yang terbaik dan sesuai dengan kemampuan tuan rumah
Antara hak tetamu adalah dihidangkan dengan air minuman dan makanan yang terbaik mengikut kemampuan tuan rumah. Pastikan tidak lambat menyediakan hidangan sehingga tetamu pulang.
Menghidangkan makanan kepada tetamu adalah antara adab yang sangat dianjurkan dalam Islam, seperti firman Allah SWT;
“Lalu hidangkan kepada mereka…” (Al-Dhariyat: 27)
Namun, sediakanlah makanan itu mengikut kemampuan dan tidak membebankan tuan rumah itu sendiri. Tuan rumah tidak perlu memberatkan kemampuan diri di luar kemampuannya dalam menyediakan makanan kepada tetamu. Namun, hidangan yang disediakan untuk tetamu perlu disertai dengan sikap dan tingkah laku yang memuliakan mereka. Nabi Ibrahim a.s. telah menyembelih seekor anak lembu yang gemuk untuk tetamunya. Itu ialah hidangan terbaik yang dimiliki baginda.
Sabda Rasulullah saw ;
“Setiap kebaikan adalah ibadah .” ( HR.Bukhari )
7. Berusaha agar tetamu sentiasa gembira dan tenang ketika beraya di rumah kita
8. Jaga percakapan dan tingkah-laku di hadapan tetamu
9. Hantar dan iringilah tetamu yang ingin pulang sehingga ke pintu atau pagar rumah kita
Sabda Rasullullah saw :
” Sesungguhnya merupakan perbuatan yang sunnah apabila seseorang ( Tuan rumah )keluar bersama – sama tamunya sampai kepintu halaman .” ( HR.Ibnu Majjah )
Jika tetamu hendak pulang, iringi mereka ke muka pintu dan pelawalah tetamu untuk berkunjung lagi. Sebaiknya lambai dan tunggulah sehingga kenderaan tetamu yang mahu pulang itu sudah berlalu barulah masuk semula ke dalam rumah. Amatlah tidak sopan sekiranya tuan rumah terus masuk ke rumah dan mengunci pintu sejurus tetamu keluar dari rumah.
10. Ucapkan terima kasih dan penghargaan atas kehadiran tetamu