Assalamualaikum, rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Salam Aidilfitri kepada sesiapa yang mengenali saya. Saya doakan semoga Allah swt menerima segala amalan dan usaha kita sepanjang Ramadhan yang baru sahaja meninggalkan kita dan memberikan kita rezki dan peluang untuk bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Sudah pasti kerinduan kepada rutin Ramadhan tidak dapat dibendung namun kita perlu terus bergerak ke hadapan untuk meneruskan perjuangan ibadah kita di bulan Ramadhan dan terus berdoa agar waktu-waktu selepas Ramadhan ini kita masih dapat mengekalkan momentum dan semangat beramal kita sepertimana usaha kita semasa Ramadhan.
Yang pasti setiap waktu selagi diberi nafas, ruang untuk kita menambahkan kualiti diri, ilmu dan minda sentiasa terbuka. Kita sentiasalah berusaha untuk menjadi lebih baik dari segala segi termasuk tatacara penampilan kita seharian terutama ketika kita bergaul dengan masyarakat kerana kita sentiasa dipandang dan dinilai. Penampilan, perlakuan serta komunikasi kita akan menjadi contoh dan memberi kesan yang besar sama ada kepada suami, anak-anak, adik beradik, jiran tetangga, rakan-rakan di tempat kerja dan sesiapa sahaja yang kita temui dan berurusan.
Semoga imej diri kita semakin berkualiti terutama selepas melalui tarbiyyah Ramadhan yang cukup sempurna. Kesan tarbiyyah Ramadhan akan terbias kepada bagaimana cara kita berpenampilan dan bertingkah-laku.
Dalam musim perayaan ini, hampir setiap masa kita boleh melihat ramai wanita yang memuatnaik gambar-gambar mereka dalam halaman sosial dengan fesyen pakaian dan tudung yang pelbagai.
Berhati-hatilah kerana setiap gambar yang kita pamerkan memberi kesan besar kepada hati kita dan hati orang-orang yang melihatnya. Penglihatan itu sudah tentu membawa kepada penilaian terhadap kualiti diri dan ibadah, ilmu dan minda kita.
Kita tidak mahu dinilai sebagai wanita yang terlalu banyak menghabiskan masa, wang dan usaha untuk menghias diri dan bercantik-cantik sehingga orang menilai itulah prioriti dalam kehidupan kita. Fesyen pakaian, hijab, kasut dan aksesori bukanlah prioriti atau keutamaan dalam hidup kita sebagai wanita muslimah. Ya memang benar pakaian dan penampilan itu penting namun itu semua adalah perkara yang membantu kita menonjolkan nilai-nilai yang baik dalam diri kita, dan bukannya merosakkan reputasi dan maruah diri kita sehingga menimbulkan fitnah dan menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap nilai-nilai dan hikmah ajaran Islam yang mulia yang ingin kita perjuangkan dan tonjolkan.
Semoga pakaian dan penampilan kita menepati syarat penutupan aurat, kemas, rapi, tidak berlebih-lebihan dan mengundang ketenteraman pada hati orang yang melihat. Kita tidak mahu dilihat sebagai wanita yang menjadi hamba kepada fesyen dan kecantikan. Biarlah imej dan penampilan diri kita dilihat sebagai seorang yang hatinya sentiasa dibersihkan dan ditumpukan untuk diisi dengan perkara-perkara yang memperolehi redha Allah swt.
Sentiasalah berdoa agar Allah tidak berhenti memberikan petunjuk dalam cara kita berpenampilan agar kita tidak terlepas dari mendapat redha dan keampunanNya.
Akhir sekali saya dengan rendah hati ingin memohon maaf zahir dan batin kepada sesiapa yang mengenali diri saya atas segala kesalahan dan kesilapan yang pernah dilakukan. Semoga tarbiyyah Ramadhan yang telah berlalu menghadiahkan kita hati yang lembut untuk sentiasa memaafkan semua orang dan sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik Pengampun.