2016 semakin menghampiri kehidupan kita, dan ini menandakan umur yang diberi semakin meningkat. Dengan meningkatnya umur dan kematangan kita, amat penting untuk kita melihat kehidupan ini dalam kerangka yang lebih besar.
1) Dalam menjalani kehidupan ini, penting untuk kita mengatur perjalanan hidup kita berorientasikan matlamat dalam kerangka yang besar (big picture).
2) Gariskan matlamat kehidupan berdasarkan perspektif yang paling menyeluruh dan ke arah pencapaian objektif yang paling utama dan yang paling dituntut.
(Tata hubungan yang baik dalam kekeluargaan, pengurusan hal ehwal kekeluargaan yang tersusun, memiliki prasarana kehidupan yang sempurna seperti memiliki kenderaan dan tempat tinggal yang baik, memiliki kerjaya yang mampu menjana dan menyokong kehidupan hanyalah sebahagian daripada proses yang selari dengan tabiat fitrah kehidupan).
3) Tetapkan matlamat dan visi yang lebih besar, maksud saya kita letakkan ultimate objective itu dengan objektif yang paling besar. Matlamat yang besar bukan memiliki kereta besar atau rumah besar, ofis besar, jawatan besar, gaji besar, bisnes besar, pengaruh besar atau apa sahaja yang besar di dunia ini.
4) Bagi insan yang memahami hakikat bahawa segala yang ada di dunia ini termasuk dirinya hanya dimiliki oleh Tuhan, maka tiada dalam jiwanya keresahan untuk memiliki semua yang ada di dunia ini, persaingan seperti ini tiada dalam jiwanya. Ini bukan matlamat besar dalam urusan kehidupan orang yang berjiwa besar. Orang berjiwa besar misi hidupnya lebih besar daripada perkara-perkara yang bersifat keduniaan ini dan dia melihat dan menangani setiap aspek dalam kehidupan dalam kerangka pandangan yang lebih besar.
4) Jadi apakah matlamat kemuncak kita yang dikatakan membentuk kerangka yang besar ini? Soalan ini andalah yang paling berhak untuk menjawab. Fikrah pemikiran anda yang menentukan orientasi pemikiran anda dan membentuk matlamat kemuncak anda.
5) Misi kehidupan dalam kerangka yang lebih besar adalah urusan kita untuk mendekatkan diri kita dengan Tuhan dan mengajak manusia lain ke arah yang sama, memahami agama dengan sistem-sistemnya yang sempurna yang menepati fitrah manusia di atas muka bumi dan seterusnya melaksanakan agama dan sistem-sistemnya. Orang yang berjiwa besar hanya berfikir untuk mendapat redha Tuhannya dalam seluruh kehidupannya, dan dia sentiasa ingin memantapkan kualiti hubungannya dengan Tuhannya dan kualiti urusan dunianya demi meraih redha Tuhannya.
5) Apapun, apa yang saya ingin tekankan, kemampuan kita untuk mengorientasikan agenda hidup kita berpandukan kerangka yang besar ini akan menjadikan diri kita berjiwa besar dan berjaya menangani rutin kehidupan tanpa melihatnya sebagai masalah dan tumpuan utama kehidupan, manakala kegagalan kita berbuat demikian menatijahkan diri kita tenggelam dalam proses rutin biasa kehidupan dan mungkin kita akan gagal hanya dalam kerangka yang kecil itu.