Wajah adalah pusat tumpuan dalam berkomunikasi. Sebaiknya wajah kita sentiasa terurus dalam menyampaikan mesej kita bersedia untuk berurusan. Sekiranya wajah kita kelihatan terurus dan segar tanpa bersolek, maka tidak perlulah lagi mengenakan solekan. Namun sekiranya wajah kita kelihatan tidak terurus, pucat, tidak bermaya, tidak cergas atau kulit wajah bermasalah dengan parut, jerawat dan jeragat, dan keadaan majlis dan urusan kerja kita memerlukan kita kelihatan ‘presentable’, maka letakkanlah mekap sekadar mahu mengelakkan diri dari kusut masai dan nampak tidak terurus.
Sekiranya perlu bersolek, pastikan apakah niat kita bersolek. Allah sangat tahu apa yang ada dalam hati kita, janganlah sesekali terdetik di hati kita untuk menarik perhatian atau menggoda lelaki lain dan untuk menunjuk-nunjuk dan menayangkan rupa paras. Kita bukan bersolek untuk kepuasan hati dan mengikut nafsu, semuanya akan dinilai oleh Allah swt.
Sesuaikan keadaan dan keperluan untuk bersolek. Ada keadaan dan keperluan tertentu sahaja kita boleh bersolek. Contohnya sekiranya ada majlis dan perjumpaan dengan keluarga, di mana adat dan kebiasaan keluarga itu sentiasa berketrampilan serba molek termasuklah dengan wajah yang bermekap. Mungkin bila kita tidak bermekap dan muka kita kelihatan tidak terurus, pucat, tidak bermaya, tidak cergas atau kulit wajah bermasalah dengan parut, jerawat dan jeragat, timbul fitnah apabila orang lain di majlis itu mungkin mengumpat kita tidak pandai mengurus dan membawa diri, tidak presentable dan tidak menghormati majlis. Untuk mengelakkan fitnah tersebut, maka kita boleh mengenakan mekap namun pastikan mekap kita tidak berlebihan, tidak menjolok mata, tidak menarik perhatian dan tidak menggoda.
Perkara yang sama juga berlaku apabila pekerjaan kita atau urusan kita memerlukan kita berketrampilan, maka kita bolehlah mengenakan mekap sekadar hanya untuk mengelakkan timbulnya fitnah. Bagi wanita yang bersuami, pastikan memohon izin suami dan suami memahami keperluan dan alasan kita bermekap. Pastikan juga bahawa mekap yang kita gunakan itu halal, bersih dan suci serta tidak terlalu mahal sehingga berlaku pembaziran. Janganlah kerana hendak bermekap kita membazir dari rezeki yang Allah kurniakan dengan membeli jenama mekap yang sangat mahal. Setiap rezeki yang Allah kurniakan kepada kita, ada hak orang lain yang lebih memerlukan.
Bersoleklah secara sederhana, bersahaja dan kemas serta menampilkan ciri-ciri wanita yang baik, tidak kelihatan seperti wanita yang mahu memikat lelaki atau ciri-ciri wanita fasiq. Bersolek sekadar mahu mengelakkan diri dari kusut masai dan mengelakkan diri dari kelihatan tidak terurus.
Sekiranya bibir kita terlalu pucat dan perlu memakai lipstick janganlah memakai warna yang sangat terang, cukuplah sekadar ia membantu agar wajah kita tidak terlalu pucat seperti orang yang sakit. Sekiranya perlu pakai celak, niatkan mengikut sunnah serta untuk menampilkan wajah yang segar, dan bersedia untuk berurusan.
Wanita yang keluar berurusan perlu memahami bahawa mekap hanyalah sebagai satu mesej bahawa kita bersedia untuk berurusan, ia bukannya boleh dipakai sesuka hati untuk menonjolkan rupa paras yang menawan dan menarik perhatian orang lain.
Allah berfirman:
“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu”. (Al-Ahzab:33)
Sebagai kesimpulannya, sekali lagi saya tekankan di sini, wanita tidak perlu dan sebaiknya tidak bersolek sekiranya tiada keperluan yang dibenarkan. Sekiranya perlu hanya sebab di atas iaitu untuk mengelakkan fitnah dan bersesuaian dengan resam dan keperluan majlis dan urusan. Apabila bermekap TIDAK MENJOLOK MATA DENGAN WARNA YANG TERANG DAN BERLEBIHAN. Kenakan mekap secara minimum dan sederhana sahaja, tidak seperti ingin menggoda, menarik perhatian dan menunjuk-nunjuk. Allah lebih tahu apa yang terdetik dalam hati kita. Semoga kita bersama-sama berusaha memahami berkaitan larangan dan perintah Pencipta kita. Sudah pasti apa yang diperintahkan dan dilarang oleh Pencipta diri kita mempunyai hikmah yang terbaik untuk penciptaan diri seorang wanita yang bermaruah tinggi. Sentiasa ada ruang dan peluang yang diberikan oleh Allah swt untuk kita sentiasa memperbaiki diri dan amalan.