‘If Yourself Can Smell Your Own Body Perfume, You Are Killing The Person Who Sit Next To You’.
Sebagaimana bau yang tidak enak dari tubuh kita akan mengganggu keselesaan orang lain, bau wangi yang berlebihan juga merupakan satu gangguan kepada orang lain yang berada di sekeliling kita. Dalam konsep profesional, fungsi pemakaian minyak wangi hendaklah hanya menutup bau yang kurang enak pada tubuh seseorang dan pemakaian minyak wangi tidak bertujuan untuk dihidu oleh orang lain yang berada di sekeliling. Pemakaian minyak wangi dalam kuantiti yang banyak atau memakai minyak wangi yang mempunyai bau yang sangat kuat akan menimbulkan suasana yang mengganggu orang di sekeliling atau menyebabkan keadaan yang kurang selesa kepada orang lain. Seringkali di dalam kursus dan seminar yang saya kendalikan ada di kalangan peserta yang hadir bertanya mengenai isu ini.
Di sini saya ingin kongsikan isu pemakaian perfume dari sudut pandangan agama Islam, termasuk rujukan, sebagai panduan bagi kaum wanita terutamanya.
Sabda Rasulullah saw :
“Sesiapapun wanita yang memakai wangian kemudian melewati suatu kaum agar mereka mencium baunya, bererti ia telah berzina”. – [HR. Imam An-Nasaaiy].
Terdapat beberapa hukum tentang wanita memakai minyak wangi iaitu harus, sunat, makruh dan haram.
Harus
Secara umumnya hukum memakai minyak wangi adalah harus bagi wanita. Seseorang wanita itu dikatakan harus memakai wangi-wangian ketika suami berada di rumah terutamanya ketika ingin melayan suami mereka. Selain daripada itu, wanita tidak di haruskan memakai wangi-wangian. Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud,
“Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu…”. – (Riwayat an-Nasa’i dari Abu Hurairah)
Ini bererti seorang wanita itu haruslah sentiasa kelihatan menarik dari segi akhlak dan penampilannya agar dapat menyenangkan hati suaminya, termasuklah memakai minyak wangi untuk menyenangkan suami.
Sunat
Sunat bagi wanita berwangian ketika berada di rumahnya, ketika ingin menunaikan solat dan beribadah di dalam rumahnya, dan juga ketika menyambut tetamu wanita. Terdapat hadis yang menjelaskan wanita juga digalakkan berwangi-wangian tetapi bukan pada tempat yang telah dilarang. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud,
“Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya.” – (Riwayat al-Tarmizi)
Wanita juga disunatkan memakai wangian sebelum melakukan ihram. Aisyah r.a berkata,
“Kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah s.a.w. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah s..aw melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi s.a.w tidak melarang).” – (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Makruh
Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh ulama dan terdapat penjelasan dalam bab puasa.
Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan “makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa“. Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah pendapat ijmak.
Haram
Haram bagi wanita memakai minyak wangi atau alat-alat solek yang berbau wangi di luar rumah berdasarkan hadis berikut,
“Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum (orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina.” – (Abu Dawud, Tirmidzi)
Nabi s.a.w bersabda :
“Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut).” – (Sahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)
Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur:
“Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa Allah s.w.t tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi……”. – (Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)
Abu Musa meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda :
“Setiap mata itu berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita yang asing). Dan seorang wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melalui sesuatu majlis, maka ia adalah demikian, demikian…(penzina).” – (Riwayat Tirmidzi)
Daripada hadith-hadith di atas, maka jelaslah bahawa kaum wanita diharamkan memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumah dan juga dilarang berhias berlebih-lebihan kecuali di rumah terutamanya di hadapan suaminya.
Semoga Allah sentiasa memberikan hidayah kepada kita dan melorongkan ilmu yang tepat sebagai panduan kita dalam penampilan, dan semoga Allah melindungi kita daripada terjerumus dengan pemakaian dan penampilan yang dilarang oleh Agama.