Wanita, dirimu cantik dengan kesederhanaanmu, dengan akhlaqmu, dengan ilmu dan dengan cinta pada Allah yang menggema di hatimu….
Ada barang-barang di dunia ini yang tidak boleh ditayangkan
Janganlah meniru pemakaian dan perlakuan wanita fasiq, walaupun muka dan tapak tangan kita bukan aurat namun menayangkan kecantikan rupa paras dengan mekap termasuklah mempamerkan gambar wajah tanpa sebab dan urusan adalah termasuk dalam konsep tabarruj. Jangan terikut-terikut dengan pengaruh ramai wanita yang sering dan sengaja menayangkan gambar wajah di halaman media sosial tanpa sebab dan urusan yang penting. Mungkin ada antara kita yang pernah tersasar melakukannya termasuk ingatan untuk diri saya sendiri yang sedang berusaha memperbaiki diri. Namun tinggalkan perbuatan itu dan berhati-hatilah bermula dari sekarang.
Ada perkara dan barang-barang di dunia ini yang boleh dipamerkan dan ditayang, namun ada pula yang tidak boleh sesuka hati untuk ditayangkan. Walaupun tujuan untuk bersuka-suka namun kita sentiasa perlu berada dalam keadaan sedar setiap perbuatan ada penilaian dan balasan di sisi Allah, serta mengundang bahaya dan fitnah yang mungkin kita tidak pernah terfikir. Sekiranya tidak, apakah tujuan Allah melarang keras wanita menonjolkan aurat dan kecantikan serta keindahan rupa parasnya. Semuanya ada hikmah yang melangkaui batas pemikiran kita sebagai manusia biasa. Namun dengan gejala sosial yang menggerunkan berlaku sekarang, tidakkah kita terfikir tentang hikmah tersebut.
‘Kalau kamu sudah tidak punya malu lagi, lakukanlah apa yang kamu kehendaki.’ (HR. Bukhari)
‘Sifat malu adalah sebagian dari iman.. ‘(HR. Bukhari danTirmidzi)
Tiada apa-apa faedah membuat ‘free show’ mendedahkan rupa paras di tempat umum tanpa sebarang bayaran kecuali menanggung dosa hasil pandangan mata-mata tajam penuh nafsu di luar sana, serta menanggung risiko dikata, dikutuk dan dikeji. Kecantikan yang sebenar bukan terletak pada rupa paras yang menarik dan pakaian yang dipakai tetapi ia bergantung kepada keelokan akhlak yang ada perasaan malu dan dan berbudi pekerti. Mungkin ada wanita yang bersolek dan menayang rupa paras untuk memuaskan hati dan bersuka-suka, namun adakah kita sekadar ingin memuaskan nafsu dengan berlindung di sebalik alasan mencari kepuasan dan suka-suka. Tidak risau dan gerunkah kita dengan perintah pencipta kita yang melarang bertabarruj, dan ini adalah larangan agama, bukan perkara main-main.
Firman Allah dalam ayat 70 Surah Al-An’am ;
“Tinggalkanlah orang-orang yang menjadikan agamanya sebagai permainan dan senda-gurau, dan mereka telah tertipu dengan kehidupan dunia. Peringatkanlah mereka dengan Al-Qur’an agar setiap orang tidak terjerumus ke dalam neraka, kerana perbuatannya sendiri………………………………………………………………….”.
Setiap yang menjadi contoh turut menerima saham pahala dan dosa
Setiap tindakan bermula dengan kita. Saya bermula dengan diri saya dan anda juga bermula dengan anda sendiri. Setiap dari kita adalah ‘role model’, tidak kira siapa anda. Konsisten dengan penampilan patuh shariah bermula dengan diri kita dan in sha Allah kita akan menjadi inspirasi kepada wanita-wanita sekeliling kita. Lebih merisaukan sekiranya kita menjadi contoh dan inspirasi yang tidak baik kepada wanita di luar sana. Mungkin perlakuan tabarruj mereka yang meniru diri kita atau mendapat inspirasi dari diri kita, akan ada sebahagian saham dosa mereka yang terpaksa kita tanggung, selagi mereka tidak berhenti melakukannya.
Sekiranya kita mampu dan berupaya, gunakan setiap kesempatan yang ada untuk mendidik wanita di luar sana. Sekiranya tidak mampu, janganlah kita menjadi sebahagian dari yang menggalakkan pendedahan penampilan tidak patuh shariah ini. Contoh paling mudah apa yang boleh dilakukan, elakkan menonjolkan diri kita kepada umum dalam keadaan berhias tanpa sebab dan urusan. Usahakan untuk memberitahu ahli keluarga dan sahabat-sahabat mengenai perkara ini, sekiranya tidak mampu menasihati, elakkan dari ‘like’ atau memuji posting wanita lain yang menayangkan secara sengaja dirinya atau gambarnya yang berhias tanpa sebab dan urusan yang dibolehkan. Mungkin hanya like dan memuji itu, kita turut menerima sebahagian dari saham dosa yang dilakukannya kerana tanpa sedar kita menggalakkan perbuatan tabarruj itu.
Memang benar wanita tidak dapat dipisahkan dengan kecantikan, namun yang membezakan kita dengan wanita lain adalah kita wanita Islam yang bermaruah dan ada peraturan dan perintah dari pencipta kita dalam berpenampilan. Penampilan yang diperlihatkan oleh seseorang wanita Islam akan mengangkat martabat wanita Islam dan membezakan mereka daripada wanita lain.
Semoga usaha dan niat kita berpakaian dalam berurusan sentiasa dalam peliharaan Allah SWT. Selagi kita sentiasa sedar dan memperbetulkan niat, mengikut perintah dan menghindari larangan Pemilik dan Penguasa alam ini, in sha Allah, Allah akan melindungi, menjaga, memberkati kehidupan kita dan sentiasa melimpahi hati kita dengan nur hidayahnya. Wallahu a’lam.