Keistimewaan yang Allah swt ciptakan pada manusia adalah akal pemikiran. Dengan akal pemikiran memungkinkan manusia menggunakannya sebagai alat untuk mengenal Tuhannya, tanpa akal manusia tiada alat untuk mengenal Tuhan yang menciptakannya dan tidak akan mencapai tahap ditaklifkan untuk beriman kepada Tuhan.
Akal yang dikurniakan oleh Tuhan ini perlu dipergunakan dengan sebaiknya sesuai dengan maksud penciptaannya, demi untuk kita mencapai tahap keimanan dan kejayaan hidup di atas muka bumi ini.
Akal adalah alat untuk kita membuat pertimbangan di antara mana yang haq dan mana yang batil, mana yang taat dan mana yang maksiat, mana yang dosa dan mana yang pahala, mana yang bermanfaat dan mana yang membinasakan.
Akal akan memandu manusia kepada sifat mahmudah seperti KESABARAN (khususnya kesabaran dalam menghadapi manusia lain yang hidup bersamanya), sifat redha dengan Tuhan dan sifat tabah untuk menghadapi ujian kehidupan.
Manusia yang tidak menggunakan akal yang sebaiknya akan terjerumus dalam kehidupan yang dipandu oleh emosi dan perasaan yang dikawal oleh nafsu.
Akal yang baik akan memimpin emosi dan perasaan yang menjadi fitrah diri ke arah kebaikan seperti mengasihani orang lain, menyayangi orang-orang yang sepatutnya dan sebagainya.
Emosi dan perasaan yang tidak dipimpin oleh akal akan membawa manusia kepada perasaan membenci, permusuhan, sentiasa rasa tidak puas hati dengan manusia lain.
Siapa pun kita, siapa pun orang lain, harus kita ingat, sebagai insan yg sudah mencapai darjah mukallaf, taklifan tanggungjawab adalah terletak pd diri kita. Kita yang akan dipersoal dan dihisab oleh Allah swt atas perkiraan dan amal kita.
Manusia lain secara asasnya, tidak akan menanggung beban dosa untuk orang lain, wala taziru waziratun wizra ukhra.
Kehidupan manusia adalah teramat SINGKAT untuk kita membuat eksperimen-eksprimen. Setiap saat dalam kehidupan teramat berharga dan akan diperhitungkan. Gunakan setiap saat itu pada tahap yang terbaik, jangan sesekali membuat ‘try and error’, kerana mungkin hayat kita akan ditarik di saat kita bermain-main dengan try and error kita. Pencapaian terbaik kita setiap hari adalah mewujudkan dan menyemai rasa rindu untuk bertemu pencipta kita dan rindu untuk berhijrah ke alam yang kekal abadi di sana.