Usia Muda Dan Kematangan

Bagaimana anda boleh membuktikan kematangan anda dalam berfikir dan bekerja? Tahukah anda bagaimana orang lain menilai kematangan anda?

Dalam dunia profesional, kebolehan dalam memperlihatkan kematangan diri adalah lebih penting daripada kebolehan dalam menunjukkan kebijaksanaan dan kehebatan diri.

Kebanyakan orang-orang muda yang mempunyai semangat tinggi dalam kerjaya selalunya ingin membuktikan kemampuan, bakat dan kehebatan diri mereka. Sudah tentu mereka tidak suka apabila ada pihak yang cuba merendahkan diri mereka kerana usia yang masih muda. Biasanya orang yang cuba merendahkan mereka ini datangnya dari orang-orang lama atau yang lebih senior.

Bagi orang muda, kebolehan memperlihatkan kematangan diri adalah satu kelebihan untuk melangkah lebih jauh dalam karier. Maka sudah tentulah kebolehan memperlihatkan kematangan diri adalah perkara yang lebih kritikal untuk orang yang lebih senior dan sudah berusia.

Bagaimana anda boleh mengatakan adalah tidak adil anda diadili yang anda kurang matang dan masih belum boleh diharap melakukan sesuatu tugasan sedangkan dalam masa yang sama anda kurang mahir dalam menunjukkan kematangan anda dalam penampilan, tingkah laku dan komunikasi anda.

Orang lain hanya akan percaya anda matang dan boleh diharap daripada apa yang kelihatan pada cara anda membawa diri merangkumi cara anda berpenampilan, cara anda bertingkah laku dan cara anda berkomunikasi termasuk pemilihan perkataan, ayat dan nada suara yang sesuai. Wajah rupa dan usia memang boleh mengelirukan tetapi ramai orang percaya dan membuat persepsi daripada apa yang mereka lihat. Memperlihatkan cara membawa diri yang matang secara konsisten ketika berurusan dan berada di khalayak akan meyakinkan orang lain bahawa anda adalah orang yang profesional, boleh dipercayai, boleh diharap serta komited.

Kematangan seseorang biasanya akan dikaitkan dengan kecerdasan emosinya (EQ). Menurut kajian yang dibuat oleh pakar hasil daripada buku karangan Daniel Goleman, Ph.D, yang berjudul ‘Emotional Intelligence’ pada tahun 1995, kecerdasan emosi (EQ) adalah lebih penting daripada kecerdasan otak (IQ ) dalam mencapai kejayaan dalam hidup dan kerjaya. Kejayaan dalam profesion hari ini adalah bergantung kepada keupayaan seseorang untuk peka kepada orang di sekeliling dan bertindak balas dengan sewajarnya kepada mereka.

” EQ adalah tahap keupayaan anda untuk memahami orang lain, memahami apa yang mendorong mereka dan bagaimana untuk bekerjasama dengan mereka, ” kata Howard Gardner, ahli teori Harvard yang berpengaruh.

Oleh itu, orang muda yang ingin dilihat matang, profesional dan berkeupayaan hendaklah belajar memperlihatkan kecerdasan emosi iaitu dengan mematangkan cara membawa diri dari segi cara penampilan, etiket dan adab dalam bertingkah-laku dan berkomunikasi.

Antara etiket sosial yang perlu dikuasai adalah cara membawa diri, cara memberi salam, cara bersalam, cara memperkenalkan diri dan cara memperkenalkan orang lain mengikut keutamaan, panggilan hormat, ruang dan jarak peribadi ketika berurusan, mimik muka dan pandangan mata, cara berjalan, cara berdiri, cara duduk di atas kerusi dan di atas lantai, pergerakan tangan dan kaki, serta etiket berpakaian dan ‘dress code’ yang sesuai mengikut majlis, masa dan suasana.

Selain daripada itu, dalam dunia profesional, antara etiket yang perlu diaplikasikan juga adalah etiket dalam membuat dan menerima panggilan telefon, etiket berkomunikasi melalui emel, etiket ketika bermesyuarat, etiket ketika memuji dan menerima pujian, etiket ketika membuat kritikan dan etiket menerima kritikan, isu-isu yang perlu dielakkan dalam perbualan sosial, privasi di tempat kerja dan ketepatan masa dalam berurusan. Etiket sosial juga merangkumi kepekaan dalam memilih perkataan dan ayat ketika berkomunikasi, memilih nada suara yang betul dan etiket ketika ingin bergurau-senda.

Monday, September 1st, 2014September 1, 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *