N. Thanabalan, Skuad Bola Sepak Sukan Sea dan Falsafah Strategi Kerja Berpasukan

N. Thanabalan, Skuad Bola Sepak Sukan Sea dan Falsafah Strategi Kerja Berpasukan. Dalam keghairahan temasya Sukan Sea KL 2017 khususnya kerancakan persembahan skuad bola sepak bawah 22 negara yang hangat diperhati dan menjadi topik utama perbualan ramai, sudah tentu ramai yang tidak mahu ketinggalan untuk mengikuti perkembangannya. Mungkin tajuk artikel kali ini agak berbeza namun suka saya menyentuh isu ini kerana banyak perkara yang boleh dipelajari yang berlaku dalam kerancakan kemuncak Sukan Sea yang berlangsung sekarang ini. Apabila diperhati dan difikirkan secara mendalam ia mampu memberi banyak mesej dan nilai yang relevan dengan isu dalam organisasi dan boleh diambil sebagai panduan dalam membina kerjaya dan bekerja dalam pasukan.

Sebelum ini walaupun agak rajin mengikuti perkembangan skuad bola sepak Malaysia namun kali ini apa yang saya perhatikan seperti ada sedikit perbezaan dengan beberapa perspektif baru diperolehi.

Pertama, berbeza daripada sebelum ini, kita boleh lihat skuad bola sepak Malaysia dibentuk melalui program dan projek khas bagi sesuatu pertandingan utama, maka lahirlah program seperti Skuad Barcelona dan Skuad Harimau Muda secara eksklusif. Namun kali ini pendekatannya saya lihat agak berbeza. Skuad dibentuk dengan memanggil pemain-pemain muda yang beraksi secara aktif di dalam liga kompetetif Liga Malaysia. Biarpun umur mereka ini masih muda, namun kualiti persembahan mereka adalah kompetetif, mungkin kerana diberi peluang beraksi dalam dunia liga sukan tanpa batasan.

Dalam organisasi dan kerja berpasukan, setiap individu perlu dihasilkan dengan pembangunan keyakinan diri dan daya saing. Medan yang terkongkong dan terhad tidak akan menghasilkan daya keyakinan dan daya saing. Pendedahan dan peluang yang berterusan perlu diberikan agar mereka sentiasa bermotivasi untuk mengembangkan dan memaksimumkan potensi diri kepada level yang paling tinggi.

N. Thanabalan, Skuad Bola Sepak Sukan Sea dan Falsafah Berpasukan
26 August 2017,29th SEA Games 2017,Kuala Lumpur 2017,MASOC,Football, match, between, Malaysia v Indonesia, during, 29th Sea Games Kuala Lumpur 2017, at, Shah Alam Stadium, on 26 August 2017, Photo by Khairi Hafizi / MASOC,

Tidak ketinggalan mengikuti secara langsung perlawanan separuh akhir Skuad Harimau Malaya menentang Skuad Garuda Indonesia pada 26hb Ogos tempoh hari, dan turut berpeluang mengikuti analisa dan komentar daripada dua bekas pemain kebangsaan iaitu Shebby Singh dan Lim Chan Yew, berikut adalah beberapa perspektif dalam falsafah bola sepak yang ingin saya kongsikan di sini :

1) Dalam suatu permainan, pasukan seharusnya mempunyai corak dan konsep untuk mencatur strategi taktikal. Namun begitu, corak dan konsep permainan bukanlah jaminan mutlak untuk mencapai matlamat akhir. Ini yang terjadi kepada pasukan Malaysia pada perlawanan menentang Skuad Garuda Indonesia pada 26hb Ogos tempoh hari. Tiada corak dan konsep tetapi masih tidak tewas.

Dalam organisasi dan kerja berpasukan memanglah perlu kepada corak dan konsep sebagai rangka panduan operasi, namun harus dipastikan ia bukan sekadar wujud dan tidak terhenti disitu kerana matlamat akhir adalah mencapai hasil.
2) Strategi serangan yang baik tidak terhenti selagi tiada hasil akhir. Penyerang yang baik belum tentu boleh menjadi penyudah yang baik. Apa yang menarik di sini, Shebby Singh menyifatkan N. Thanabalan bukanlah penyerang yang baik tetapi merupakan penyudah yang baik.  Beliau mempunyai kemampuan untuk menjaringkan gol kejayaan dengan memposisikan dirinya di dalam zon khusus (berada pada waktu dan tempat yang tepat dengan tindakan yang tepat) untuk menyudahkan matlamat akhir.

Cuba kita perhatikan dalam organisasi dan kerja berpasukan, di samping strategi mengejar target yang agresif, perkara yang agak kritikal perlu diambil kira ialah faktor penyudah akhir yang akan menterjemahkan hasil atau kejayaan sesebuah organisasi atau pasukan.

3) Pertahanan adalah benteng akhir pasukan. Kelalaian yang berlaku di kalangan benteng akhir akan merugikan sebuah pasukan. Namun pasukan mana yang tidak pernah tersilap dan lalai. Kerana itu perlu ada strategi dan kualiti untuk mengambil langkah recovery. Kemampuan beberapa pemain pertahanan khususnya Adam Nor Azlin membuat tindakan recovery setelah bola lolos melepasi pertahanan telah menyelamatkan pasukan daripada dibolosi gol.

Dalam organisasi dan kerja berpasukan, kemungkinan akan berlaku kealpaan dan kelalaian perlu dikira dalam pengurusan risiko. Kualiti kemampuan untuk melakukan recovery adalah strategi penting untuk menghadapi apa jua kemungkinan kegagalan dan bagi mengelakkan kerugian atau sekurang-kurangnya memitigasi kadar kerugian.

Setinggi tahniah kepada Skuad Bola Sepak Sukan Sea Malaysia atas kejayaan cemerlang melangkah ke final acara bola sepak Suka Sea Kuala Lumpur 2017. Kami Tim Perunding Imej Malaysia mengucapkan selamat maju jaya kepada Skuad Bola Sepak Sukan Sea Malaysia yang akan bertemu Thailand pada pentas final di Stadium Shah Alam malam ini.

N. Thanabalan, Skuad Bola Sepak Sukan Sea dan Falsafah Berpasukan

 

 

Tuesday, August 29th, 2017
Subscribe
Notify of
guest

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments