Harga Sebuah Niat Yang Jujur

Kesibukan dan keterbatasan masa kebelakangan ini sememangnya tidak akan memberi ruang sebenarnya untuk saya menulis dan berkongsi di sini, dan saya rasa anda di luar sana juga begitu. Masa berlalu semakin pantas, kalau kita rasa tahun lepas masa berjalan agak pantas, tahun ini rasanya semakin pantas. Bila difikirkan tanggungjawab dan amanah yang cukup berat sebagai seorang khalifah di atas muka bumi ini, kita pasti akan sentiasa bersemangat dan tidak mahu membuang masa walau sedetik pun dengan perkara sia-sia. Amanah dan tanggungjawab inilah yang semakin menuntut kita menjadi seorang yang produktif dan profesional. Saya faham kesibukan bukanlah alasan yang menghalang saya untuk menyumbang sedikit perkongsian di sini.

Apa sebenarnya nilai dan harga kesibukan di dunia ini? Ketika manusia sentiasa terkejar-kejar dengan kepadatan jadual dan perkara – perkara yang ingin dicapai. Apabila berhenti seketika berfikir dan bertafakkur, apa sebenarnya niat dalam bekerjaya dan mencapai kejayaan di dunia ini ? Apa matlamat kerja dan usaha kita selama ini dan untuk siapa sebenarnya kita berusaha…

Setiap hari dan detik manusia bekerja dan berusaha untuk mengejar kesempurnaan. Memang benar ramai orang bekerja, berniaga dan berusaha untuk masa hadapan yang cerah, untuk mencari rezki yang halal, untuk taraf kehidupan ekonomi yang lebih baik, mengecapi kejayaan dan menerima pengiktirafan daripada masyarakat dan mencari kepuasan dalam kehidupan.

Persoalannya adakah itu objektif dan matlamat kejayaan kita dalam kehidupan ini. Kita mencapai sesuatu yang amat membanggakan selepas berusaha keras sekian lama, dan diberi pengiktirafan oleh masyarakat kerana hasil usaha kita yang sangat hebat. Kita mengumumkan kejayaan demi kejayaan dan kita mahu satu dunia tahu dan sedar dengan kejayaan kita. Ramai orang berbangga dengan diri kita dan pencapaian kita, dan pujian datang bertalu-talu. Kita merasa sungguh gembira dan kepuasan hadir tanpa ada ungkapan yang paling tepat mampu disebut untuk meluahkan betapa puasnya kita.

Namun adakah itu ukuran sebuah kejayaan yang sebenar ? Apakah ukuran kejayaan sebenarnya dalam kehidupan ini? Apakah niat yang mendasari usaha keras kita selama ini, untuk apa dan untuk siapa kita lakukannya. Inilah perkara yang mesti direnung setiap detik, kita berusaha untuk siapa? Walaupun sangat besar sumbangan kita kepada masyarakat, walaupun pekerjaan dan kebaikan yang kita usahakan itu tiada siapa yang boleh mempertikaikan hasilnya, namun Tuhan lebih tahu untuk apa dan untuk siapa kita berusaha. Adakah benar kita lakukan untuk mendapat keredhaanNya atau untuk kepuasan nafsu yang mahu dihargai, diiktiraf dan dipuji oleh manusia.

Gerun sungguh memikirkan di hari pembalasan nanti, apabila kita menuntut syurga dari amal dan usaha kita itu, kita ditanya oleh pencipta kita …..bukankah kau berusaha semasa di dunia untuk mendapat pengiktirafan dan pujian manusia, bukannya untuk Aku…..

Ya Allah…jangan kita tersekat di sana kerana usaha dan pekerjaan kita di dunia ini rupanya tidak ada nilai langsung di sisi Allah SWT. Rupanya Allah tidak memandang pun usaha kita selama ini. Renung kembali apa niat kita  bekerja, berniaga dan berusaha untuk mencapai kejayaan di dunia ini. Tiada gunanya walau satu dunia mengiktiraf kejayaan kita namun Allah SWT tidak redha, nauzubillahiminzalik.

Biarlah walaupun tidak ada seorang manusia pun iktiraf, dan tidak ada orang pun yang sedar dengan kehebatan dan kejayaan kita, tidak mengapa…kerana bukan mereka yang memiliki syurga yang ingin kita tuju, bukan mereka yang akan menyelamatkan kita di hari pembalasan kelak….tetapi Allah. Cukuplah Allah yang tahu, jangan terdetik pun untuk mahukan pujian dan penghargaan manusia, kerana Allah lebih tahu apa yang terdetik dalam hati dan niat kita, dan segala niat itu dinilai dan diberi ganjaran dan balasan.

Pastikan niat kita betul. Setiap orang ada niat yang berbeza dalam melakukan sesuatu. Mungkin ada orang berusaha keras untuk berjaya kerana mahu memberitahu satu dunia mengenai bakatnya yang hebat, kepintaran dan kebijaksanaanya dan mahu manusia lain mengaguminya. Ada juga orang melakukan pekerjaan atau perniagaan dengan hebat kerana mahukan pujian dan cemburu manusia lain padanya. Ada juga orang yang berusaha untuk berjaya dan mengumumkan kejayaan dan pencapaiannya sebagai tanda bersyukur atas rezki yang Allah kurniakan. Ada juga orang orang yang berusaha dan mendedahkan kejayaannya atas sebab marketing untuk mendapatkan lebih banyak pengaruh dan kepercayaan bakal pelanggannya.

Namun atas segala niat itu, apakah matlamat akhirnya, niat yang mana satu yang mampu mencapai redha Allah. Perkara ini sangat penting kerana ia memberi kesan yang besar dalam  hati dan ia juga menentukan pahala dan dosa. Kita boleh lihat hari ini ramai orang yang mengejar dunia, dunia semakin lari daripadanya, namun orang yang mengejar akhirat dan redha Allah, dunia pula mengejarnya.

Kita berusaha dan bekerja keras kerana Allah, kita hanya mahu keredhaanNya. Kita bekerja dengan bersungguh-sungguh, memberikan perkhidmatan terbaik, sanggup berkorban masa, tenaga dan fikiran dan bersabar kerana mahu Allah redha. Namun perlu ingat, kunci keredhaan Allah juga terletak dalam redha manusia kepada kita. Kerana itu perlu  berhati-hati dalam berurusan dan bermuamalat dengan manusia, adakah manusia redha atau memaki hamun dan menyumpah kita kerana tidak puas hati. Jangan sesekali menganiaya dan mengkhianati orang lain secara sengaja dan tidak sengaja, kerana apabila terdetik sahaja di hatinya perasaan tidak puas hati, dia tidak akan redha dan mungkin berdoa supaya Allah segera membalas perbuatan kita padanya. Doa orang yang teraniaya akan dimakbulkan Allah. Sekalipun dia tidak mendoakan keburukan, namun apabila hatinya tidak redha kita sudah hilang redha Allah.

Manusia yang redha dan gembira dengan hasil berurusan dan bermuamalat dengan kita pula, akan terdetik di hatinya mendoakan kebaikan untuk kita, walaupun mungkin dia tidak berdoa kebaikan untuk kita, cukuplah dia gembira dan berpuashati, Allah akan sangat redha kepada kita kerana menggembirakan makhluknya, dengan syarat redha manusia itu dalam perkara yang tidak bertentangan dengan syariat agama. Biarlah kita tidak untung, tidak kaya dan tidak ada duit, tetapi jangan sampai ada orang yang tidak redha dengan kita, kerana ia akan membawa hilangnya keredhaan Allah pada kita.

Dalam kesibukan bekerjaya dan bermuamalat, berpeganglah pada prinsip yang betul. Niat kita bekerja untuk mencapai redha Allah, dan dalam melakukan pekerjaan itu mengikut syariat yang ditetapkan Allah. Kita berusaha dan bersungguh-sungguh dalam kerjaya kita bukan kerana mahu orang lain mengiktiraf hasil kejayaan kita, tetapi kita melakukannya kerana kita tahu Allah menyintai manusia yang apabila dia melakukan sesuatu, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan melakukannya dengan yang terbaik. Manusia yang hanya mahu redha Allah tidak akan peduli walaupun dengan usaha dan kerja kerasnya, dia tidak dikenali, tidak diiktiraf dan dipuji. Malah dia juga tidak akan merasa apa-apa walaupun dikeji dan dihina, selagi dia sedar niatnya bekerja dan berusaha hanya kerana Allah dengan berpandukan perintah dan menghindari laranganNya.

Semoga kita semua terpelihara dari memiliki niat yang terpesong dalam usaha mencapai kejayaan di dunia ini. Kejayaan yang hakiki adalah ketika bertemu pencipta kita kelak. Dunia ini hanya sementara namun untuk mencapai redha Allah dan untuk berjaya di akhirat kita perlu berusaha keras di dunia. Kehidupan di dunia bukan perkara main-main, kerana kewajipan kita lebih banyak dari masa yang kita ada. Setiap niat dan perlakuan kita ada ganjaran dan balasan yang menanti. Wallahu a’lam.

 

 

 

 

Saturday, January 31st, 2015January 31, 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *