Wajah Yang Cantik Dan Imej Yang Cantik Adalah Jauh Bezanya!

Adakah wajah yang cantik mampu menyumbang kepada Imej yang cantik? Terdapat perbezaan yang besar antara wajah yang cantik dan imej yang cantik.

Wajah yang cantik tetapi tingkah-lakunya tidak beradab, tidak ada etika dan integriti, tidak pandai membawa diri atau menyesuaikan diri dengan masa, suasana dan majlis, dan komunikasinya sumbang dengan konten percakapan dan bahasa yang negatif tidak akan menyumbang kepada imej yang cantik. Wajah yang cantik tetapi make-upnya tidak sesuai, gaya rambut atau pemilihan hijabnya tidak kena dan pakaiannya tidak mematuhi prinsip pemakaian yang betul tidak akan sekali-kali menyumbang kepada imej yang terampil dan hebat.

Kerana itulah bukan perkara yang menghairankan apabila terdapat individu yang memiliki wajah yang cantik jelita atau kacak tetapi tidak diingati dan tidak meninggalkan perasaan yang baik kepada mereka yang berurusan dengannya. Ini kerana hanya wajahnya yang cantik, tetapi imejnya tidak cantik. Mereka mungkin mempunyai wajah yang cantik tetapi kurang berketrampilan. Daripada sepatutnya wajah yang cantik ini menyebabkan hati dan perasaan terpaut, sebaliknya pula yang terjadi, mereka dilupakan, atau tidak ingin diingati oleh sesiapa pun.

Proses mempunyai imej yang cantik tidak sesekali bertumpu kepada mencantikkan wajah, ia lebih kepada proses mencantikkan pakej imej diri, iaitu usaha dan kerja keras mencantikkan penampilan, tingkah-laku dan komunikasi. Proses mencantikkan wajah boleh berlaku dalam masa beberapa jam atau beberapa hari. Anda boleh menggunakan teknologi melalui pembedahan atau menghadiri proses make-over untuk merubah wajah anda daripada seorang yang biasa-biasa kepada wajah model yang jelita dan kacak. Tetapi proses untuk memiliki imej yang cantik tidak akan melalui tempoh yang sekejap, ia adalah proses yang mengambil masa dan berterusan.

Sekali lagi saya tekankan, seseorang yang memiliki imej yang cantik adalah seseorang yang memiliki penampilan diri, tingkah-laku dan komunikasi yang CANTIK. Pakej ini yang akan menyumbang kepada imej yang cantik. Inilah juga pakej yang menyebabkan seseorang diingati, dipercayai dan disebut-sebut.

Wajah Yang Cantik Dan Imej

Sekiranya sesuatu produk itu mempunyai nilai pembungkusan sama seperti diri kita, adakah ia akan dibeli orang?

Bentuklah imej diri yang kukuh, sama seperti kita melakukan penjenamaan untuk sesuatu produk. Orang yang memiliki imej yang cantik, dipandang sebagai orang yang ada pakej. Orang yang ada pakej ini akan laku di mana-mana. Dengan adanya imej yang cantik ini, seseorang itu akan merasakan kekuatan dalaman yang mampu menandingi kekuatan luaran. Sama ada untuk pembentukan diri secara peribadi atau kerjaya, imej yang cantik ini adalah kuasa yang akan menaikkan dan membawa seseorang itu ke kemuncak yang disasarkan.

Sunday, March 2nd, 2014March 2, 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *