Tips Penting Pakaian Temuduga Bagi Wanita

Dalam temuduga, sebelum mulut kita berkata-kata, sedarkah bahawa pakaian kita sudah berkata-kata kepada panel penemuduga tentang siapa diri kita. Antara dua suara yang keluar dari diri kita, iaitu suara yang keluar daripada mulut kita dan suara yang keluar daripada pakaian kita, kajian menunjukkan suara yang keluar daripada pakaian kita adalah lebih ‘powerful’, iaitu lebih orang percayai tentang siapa diri kita.

Mungkin kita rasa tidak adil bila kita dinilai dengan cepat melalui luaran, tetapi kajian menunjukkan, daripada 100% tentang keseluruhan diri kita, untuk ‘first impression’ atau pandangan pertama, 15% yang tertonjol daripada luaran kita adalah penilaian tentang kredibiliti diri kita. 85% tentang diri kita hanya akan kelihatan dan dinilai selepas orang lain mengenali diri kita dalam tempoh yang lebih lama.

Setiap syarikat atau organisasi mempunyai kod pakaian yang berbeza. Bagaimana kita memakai pakaian di tempat kerja mempunyai sedikit perbezaan dengan bagaimana kita berpakaian untuk satu temuduga.

Tatacara Dan Etika Pemakaian Temuduga Bagi Wanita

 

Pada umumnya, untuk hadir temuduga, calon wanita mempunyai dua pilihan pakaian :

  1. Memakai satu sut baju kurung.
  2. Memakai satu sut dengan blazer, blouse/dress shirt, skirt atau seluar. (Three or two piece pants or skirt suit)

Sekiranya anda memilih untuk memakai baju kurung, di bawah adalah panduan ciri-ciri baju kurung yang sesuai untuk menghadiri temuduga :

1.Baju kurung  yang sesuai adalah sama ada polos (plain), berjalur atau bertekstur. Elakkan baju kurung bercorak bunga, cetakan binatang, atau cetakan corak yang terlalu besar.

2.Baju kurung yang diperbuat daripada  fabrik ‘suiting’ yang dapat menyebabkan baju kurung itu kelihatan terletak kemas, solid dan segak apabila memakainya. (Fabrik dari linen, sb line, thai silk dan cotton antara contoh fabrik yang sesuai).

3. Elakkan baju kurung yang diperbuat daripada fabrik nipis, ringan, lembut dan beralun-alun seperti sifon atau satin – Mesej daripada fabrik ini kelihatan pemakainya tidak tegas, sweet, manja dan lemah-gemalai. ( Karakter yang boleh mengurangkan kredibiliti diri, terutama sekiranya anda memohon jawatan di dalam pengurusan tertinggi).

4. Elakkan juga baju kurung yang diperbuat daripada fabrik likra, jersey dan denim walaupun dijahit dalam potongan longgar.

5. Elakkan baju kurung yang terlalu banyak warna. Jumlah warna baju kurung yang dipakai secara keseluruhan hendaklah tidak melebihi tiga warna. Ia akan menyebabkan penampilan anda kelihatan berserabut dan terlalu meriah dan boleh mengganggu fokus penemuduga.

6. Elakkan baju kurung yang terlalu terang, seolah-olah untuk hadir majlis kenduri. Warna baju kurung yang sesuai adalah daripada ton warna-warna gelap atau lembut.

7. Elakkan baju kurung yang terlalu banyak aksesori dan hiasan. Contohnya manik, batu-bata, lace atau renda, sulaman mewah, tampalan bunga dan sebagainya.

8. Elakkan baju kurung dengan potongan ketat dan sendat sehingga mendedahkan bahagian-bahagian yang tidak sepatutnya pada tubuh wanita. 

9. Elakkan baju kurung daripada fabrik yang terlalu bersinar, ia boleh mengganggu pandangan mata semasa sesi temuduga.

10. Elakkan baju kurung dengan potongan yang mencerut di bahagian pinggang atau mempunyai garis pinggang yang terlalu menonjol sehingga menarik perhatian mata kerana menzahirkan bentuk badan calon. Contohnya baju kurung modern yang dijahit mengikut bentuk pinggang dan pinggul si pemakai.

Tatacara Dan Etika Pemakaian Temuduga Bagi Wanita

 

 

Sekiranya anda memilih untuk memakai suit ( three or two piece skirt or pants suit), di bawah adalah panduan suit yang sesuai untuk menghadiri temuduga :

1. Sut temuduga mestilah ringkas dan terdiri daripada warna-warna neutral iaitu ton kelabu, biru navi, hitam, coklat atau krim.

2. Corak suit (blazer, skirt atau seluar) yang sesuai adalah sama ada polos (plain), berjalur atau bertekstur yang halus.

3. Elakkan memakai suit yang ketat, pendek dan sendat. (Terdapat kes panel penemuduga mengadu tentang suit yang terlalu ketat dan menonjolkan bentuk badan hingga mengganggu tumpuan panel temuduga. Pakaian yang terlalu ketat dan menonjolkan bentuk badan akan menjatuhkan kredibiliti dan maruah calon wanita yang ditemuduga.)

4. Elakkan memakai kemeja dan blouse yang singkat di atas paras punggung sehingga terdedah bahagian ‘redspot’ tubuh calon. Memakai kemeja dan blouse yang labuh melepasi paras pinggul tetapi memakai tali pinggang juga boleh menzahirkan dengan jelas saiz pinggang dan pinggul.

5. Pilih blouse atau dress shirt yang berpotongan konservatif. Elakkan potongan blazer dan blouse yang terlalu fancy dan berfesyen. Pastikan tiada fesyen berekor, bersayap dan lain-lain fesyen yang kelihatan pelik, ini bukan masanya anda ingin kelihatan seperti Diva. Memakai pakaian yang terlalu berfesyen ke temuduga akan mengurangkan kredibiliti dan kewibawaan seseorang calon wanita, kerana akan dikaitkan dengan personaliti calon wanita yang hanya disibukkan dengan arus dunia fesyen. Potongan pakaian yang fancy juga hanya akan meyebabkan pemakai kelihatan terlalu manja dan tidak tegas.

6. Skirt atau seluar hendaklah berwarna gelap dari kumpulan warna-warna korporat iaitu hitam, biru kelasi (navy blue), kelabu (dark grey atau charcoal) dan coklat. Elakkan memakai skirt potongan kembang di bahagian bawah.

7. Sekiranya memakai skirt, bagi non-muslim, labuh skirt hendaklah menutupi paras lutut.

8. Potongan skirt dan seluar adalah longgar jenis klasik (tidak ketat dan tidak menunjukkan bentuk peha dan betis calon). Elakkan skirt potongan kembang dan terlalu labuh meleret mencecah lantai.

9. Kain untuk skirt atau seluar adalah daripada fabrik ‘suiting’ yang dapat menyebabkan skirt atau seluar itu kelihatan terletak kemas dan segak apabila memakainya. (Fabrik dari likra, jersey dan denim adalah tidak sesuai walaupun dijahit dalam potongan longgar)

Tips pakaian temuduga dan interviu wanita

 

Selain daripada memilih baju kurung dan suit yang tepat dan sesuai untuk dipakai ke temuduga, berhati-hati juga dengan pemilihan aksesori, kasut, jenis solekan dan tudung sebagai pelengkap penampilan dan pemakaian anda ke temuduga.

Berikut adalah panduan mengenai pemilihan aksesori, kasut, jenis solekan dan tudung yang dapat membantu menonjolkan krediliti dan kewibawaan diri anda dalam temuduga.

1. Elakkan memakai aksesori yang besar, labuh, bergerak-gerak, berbunyi dan berkilauan, sehingga pandangan mata dan tumpuan yang sepatutnya kepada mesej krediliti diri akan terganggu dengan aksesori seperti ini. Pilihan aksesori yang tepat ke temuduga adalah aksesori yang terletak kemas (tidak bergerak) bersaiz kecil (tidak melebihi saiz 3 jari si pemakai), tidak berbunyi dan berkilau.

2. Elakkan memakai lebih daripada lima aksesori ke temuduga. Aksesori yang minimum yang boleh kelihatan pada seorang calon ialah sebentuk cincin, seurat gelang, seutas jam tangan (metal dan leather), seutas rantai dan sepasang anting-anting yang melekat kemas dan kecil. Bagi yang memakai tudung, yang boleh kelihatan hanya tiga bentuk keronsang saiz kecil, melekat kemas, tidak labuh dan bergerak-gerak.

3. Solekan yang minimum dan kemas, tidak keterlaluan dan menarik perhatian. Solekan anda hanya sekadar wajah tidak kelihatan pucat dan nampak wajah anda terurus, bersih, segar dan bertenaga. Solekan yang melampau akan menyampaikan mesej tidak profesional, ingin menggoda dan anda seorang wanita yang terlalu banyak menghabiskan masa untuk berhias. Pilihlah solekan daripada warna-warna yang neutral dan lembut.

4. Bagi non-muslim yang memakai pengilat kuku, sekiranya anda memakai pengilat kuku, pilih pengilat kuku yang neutral dan bersesuaian serta tidak keterlaluan. Elakkan warna-warna terang, berwarna-warni atau warna yang tidak bersesuaian dan pastikan tidak berkuku panjang.

5. Memakai pump shoes atau kasut kerja. Kasut seharusnya konservatif, bertutup di bahagian hadapan dan belakang, berwarna gelap (black for corporate) dan bertumit rendah (minimum heel ialah 1.5 inchi dan maksimum heel ialah 2.5 inchi). Kasut sepatutnya dalam keadaan baik, tidak calar atau terbiar. Jangan memakai kasut dengan menampakkan jari kaki terbuka atau bahagian belakang kaki.

6.Bagi calon wanita muslimah yang memakai tudung, elakkan gaya tudung berjuntai, beralun-alun dan flowy dan gaya tudung yang unik, pelik dan berbeza. Gaya seperti ini akan menampakkan calon yang hadir temuduga kelihatan ‘tidak serius ’. Gaya yang pelik serta gaya tudung terjuntai yang keterlaluan boleh mengganggu tumpuan dan fokus penemuduga kepada calon.

7. Bagi wanita yang tidak memakai tudung dan wanita non muslim, rambut anda harus bersih, kemas, dan konservatif. Klip rambut, gatah rambuat atau apa-apa aksesori pada rambut yang berwarna terang adalah perlu dielakkan. Kemaskan gaya rambut dengan mengikat kemas, memakai sepit atau bersanggul kemas. 

8. Pastikan penemuduga tidak dapat menghidu bau yang tidak enak daripada kehadiran anda. Pakailah deodorant yang sesuai dan sekiranya perlu pakailah minyak wangi yang hanya menutup bau badan anda. Sebagaimana bau tidak enak boleh mengganggu penemuduga dan menjatuhkan kredibiliti diri anda, bau yang terlalu wangi juga boleh mengganggu penemuduga. Elakkan memakai minyak wangi yang keterlaluan. Pastikan juga anda miliki nafas yang segar. Gosok gigi anda sebelum anda pergi ke temuduga dan elakkan makan makanan yang berbau atau merokok sebelum hadir temuduga.

Selain daripada pemilihan pakaian yang betul, pastikan anda tampil dengan senyuman dan wajah yang ceria serta bersemangat semasa hadir temuduga. Perkara-perkara ini adalah visual iaitu penampilan luaran yang akan mencerminkan semangat dan komitmen dalaman anda kepada syarikat tersebut. Walau bagaimana tepat dan bersesuaian pemilihan pakaian anda ke temuduga, perlu diingat juga bahawa penampilan hanyalah sebahagian daripada faktor yang akan memberi bonus kepada anda untuk berjaya dalam temuduga. Sudah tentu etika, etiket, kelayakan, ilmu, pengalaman serta atttitude yang betul adalah perkara-perkara yang akan menjadi perkiraan penting para penemuduga untuk memilih anda.

Kami Tim Perunding Imej Muslimah mengucapkan selamat berjaya dalam temuduga kerja yang akan anda tempuhi dan kami mendoakan agar anda semua di luar sana mampu mencapai impian dalam kerjaya dan kehidupan.

Anda masih mahukan tips bagaimana untuk berjaya dalam temuduga kerja? Klik di sini untuk lebih lagi!

 

REQUEST PROPOSAL FOR IN-HOUSE TRAINING  REGISTER FOR PERSONAL CONSULTATION  Feel Free To Contact Us

 

Thursday, December 29th, 2016
Subscribe
Notify of
guest

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Choco
Choco
4 years ago

Salam..

saya nak tanya kalau padanan blazer warna grey dan seluar slack warna hitam untuk wanita muslimah for interview boleh ke?