Pentingkah Imej Luaran

“Don’t judge a book by its cover”…..antara alasan yang sering didengar untuk menyampaikan bahawa tidak pentingnya penampilan luaran, yang penting apa yang ada dalam dirinya.

“Yang penting aku baik hati, pandai, berbakat….siapa yang dah biasa dengan aku akan kenal siapa sebenarnya aku, apa yang aku pakai tak penting pun”.

“Mulut aku je laser, orang kata mulut jahat, tapi hati aku baik!”

“Aku ni memang kasar, garang, tak tahu malu, tapi hati aku bersih, itu kan lebih baik dari orang yang pakai elok, cakap lemah lembut dan sopan, tapi hati busuk….”

Dialog-dialog untuk menyedapkan hati dan mempertahankan diri, agar jangan ada yang menilai diri mereka dengan apa yang dilihat daripada penampilan luaran mereka.

Adakah anda termasuk dalam kategori yang bersetuju dengan dialog-diaog di atas, adakah anda percaya bahawa orang yang kata-katanya kesat dan suka me’laser’ orang itu baik hati, dan adakah anda setuju orang yang tidak beradab, kasar dan tidak beretika itu hatinya mulia.

Memang benar hanya Tuhan yang lebih mengetahui apa yang ada dalam hati kita. Namun untuk sampai kepada redha Tuhan, tidak perlukah redha manusia? Siapa lagi selain Tuhan yang ada dalam kehidupan kita?

 

Manusia lebih percaya kepada apa yang dilihatnya, dan sentiasa membuat penilaian. Bagaimana mungkin kita menyampaikan betapa baiknya hati kita, betapa berbakat dan pandainya kita, betapa besarnya dan mulianya nilai-nilai yang kita pegang dan perjuangkan, kalau ia tidak kelihatan pada penampilan, tingkah laku dan komunikasi kita?

Pentingkah Imej Luaran

Dalam sebuah seminar keusahawanan wanita, apakah penilaian anda kepada seorang wanita yang memakai lipstick merah menyala, diatas  tudungnya penuh manik-manik dan sulaman bunga, ditambah dengan keronsang labuh yang terhuyung-hayang bergerak di dagunya apabila dia mula bercakap atau bergerak, dan hampir penuh cincin dipakai di jari kedua-dua belah tangannya, kelihatan juga rantai mutiara yang labuh melepasi selendangnya, serta beliau memakai kasut tinggi slingback  4 inchi.

Adakah anda masih memikirkan beliau benar-benar seorang wanita profesional?

Atau anda melihat seorang lelaki yang mengakui dirinya berpengalaman memimpin sebuah konglomerat tersohor, namun ketika beliau berdiri memberi ucapan jelas kelihatan kesemua butang jacketnya terbuka dan kelihatan ikatan tali lehernya labuh melepasi tali pinggangnya yang berbeza ton warna dengan warna kasutnya, ketika beliau bergerak kelihatan pula warna stokinnya pula lebih cerah daripada warna kasut yang dipakainya.

Adakah anda masih yakin dengan kredibilitinya?

Imej kita bukan ditentukan oleh diri kita, tetapi imej kita ditentukan oleh orang yang memandang dan berurusan dengan kita. Namun berita baiknya kita boleh memilih untuk mempamerkan imej bagaimana orang lain memandang kita, dengan memilih apakah bentuk penampilan, tingkah laku dan komunikasi yang akan kita tampilkan kepada masyarakat di sekeliling kita.

Adalah satu kerugian bagi seorang individu yang berbakat, bijak, berjiwa besar dan mempunyai nilai-nilai yang hebat dalam dirinyanya, namun tidak dipakejkan dengan penampilan luaran yang benar-benar mencerminkan segala mutiara dalam dirinya.

Kenali fizikal diri. Transformasi penampilan diri semestinya bermula dengan memahami diri sendiri dari hujung kaki hingga ke hujung rambut. Ilmu dan kemahiran dalam penampilan dan cara berpakaian, bertingkah-laku dan berkomunikasi seseorang adalah lambang intelektual dan nilai dirinya.

Kriteria penampilan yang baik adalah penampilan yang mampu mendatangkan rasa hormat orang lain terhadap diri seorang individu, memperlihatkan keyakinan dirinya dan mampu meyakinkan dan mempengaruhi, malah mampu memberi inspirasi kepada orang lain.

 

Friday, February 14th, 2014February 14, 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *