Konsep Tabarruj Dalam Penampilan Wanita Abad Ini

Sudah agak lama saya terpanggil untuk menulis berkaitan perkara ini. Walaupun cukup sedar diri ini masih belum cukup sempurna untuk menengahkan isu ini, namun kebimbangan yang teramat telah memaksa saya menulis berkaitan perkara ini, agar tidak menjadi liabiliti di hadapan Allah kelak, sementara masih diberikan kesempatan, hidayah dan fikiran untuk bertafakkur mengenai diri sendiri, berfikir mengenai peserta-peserta yang pernah hadir dalam sesi latihan dan rundingan saya serta masyarakat muslimah di luar sana.

TABARRUJ atau berhias bagi wanita, satu perkataan yang tidak mungkin boleh kita padamkan dalam ilmu penampilan dan imej wanita muslimah. Saya faham ia bukan isu yang berani disentuh oleh kebanyakan perunding imej, namun ia adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dipisahkan apabila membincangkan tentang isu penampilan wanita zaman ini. Tabarruj sudah wujud dari zaman dahulu, dan ia sentiasa relevan setiap zaman, kerana nafsu dan keinginan wanita tetap sama dari dahulu, sekarang dan akan datang.

Saya tidak akan membincangkan secara terperinci berkaitan dengan maksud dan hukum tabarruj. Terdapat banyak website dan buku yang membincangkan perkara ini dari nash-nash berkaitan aurat dan berhias, yang dibahaskan oleh alim ulamak dari pelbagai kitab dan tafsir.

Isu tabarruj dan perkembangan media sosial

Apa yang ingin saya sentuh dan bincang di sini adalah beberapa perkara dan pendekatan yang mudah serta praktikal untuk kita fahami dan amalkan.

Saya menyedari sejak beberapa tahun ini dengan kemunculan media sosial telah memberikan banyak ruang untuk isu tabarruj ini berleluasa, dan ia menimpa sesiapa sahaja serta tempiasnya mengenai terlalu ramai wanita, termasuk diri saya sendiri. Namun pintu bertaubat dan berubah masih dibuka kerana Allah itu maha penyayang. Allah lahirkan kegerunan ini dalam hati sesiapa yang inginkan kebenaran. Saya percaya anda yang berada di luar sana pasti merasainya.

Firman Allah Taala:
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, supaya mereka mengenakan jilbab ke seluruh badannya, yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal; kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Ahzab: 59)

Di dalam surah al-Nur, ayat 31:
“Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan padanya, dan hendaklah mereka melepaskan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka..”

Di atas adalah di antara nash syar’i yang menjadi dasar berpakaian dalam Islam dan berhias untuk wanita.

Kemudian pada ayat lain Allah berfirman:

“dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu”(Al-Ahzab:33)

Ayat ini pula menceritakan tentang larangan bertabarruj sebagaimana orang jahiliah dahulu. Sekiranya anda ada masa, saya sarankan banyakkan pembacaan dan kajian terhadap tafsiran ayat-ayat di atas agar anda tidak keliru dan tersalah membuat tafsiran dan mengeluarkan hukum, terlalu banyak sumber berkaitan perbahasan tafsiran dan hukum yang dikeluarkan oleh ahli-ahli tafsir yang pakar. Saya sudah membuka lembaran demi lembaran, dan setelah bertanya kepada beberapa ustaz dan ustazah yang ilmu dan kredibiliti mereka memang tidak perlu dipertikaikan, saya ingin berkongsi di sini apakah pendekatan yang saya ambil bersesuaian dan praktikal dengan keadaan wanita zaman sekarang yang keluar bekerja atas dasar tanggungjawab kepada keluarga, dan inilah pendekatan yang saya kongsikan dalam sesi kursus penampilan yang saya kendalikan.

Wanita, betulkan niat kita

Pertama sekali, bagi wanita, betulkan niat kita. Ia bermula dengan niat kita keluar rumah bekerja dan berurusan itu dahulu. Pastikan kita keluar bekerja, berniaga dan berurusan kerana ia suatu keperluan dan mendapat redha suami. Kita membantu suami dan ibubapa, atas niat dan tindakan itu sudah pasti Allah sahaja yang dapat memberikan ganjaran, dan kita perlu tahu Allah juga maha mengetahui sekiranya niat itu sebaliknya.

Allah maha mengetahui apa yang ada dalam hati setiap hambaNya, walau kita boleh menipu satu dunia tentang tujuan dan niat kita namun tidak mampu menipu Pencipta kita, Dia memberikan balasan dan ganjaran atas setiap yang terdetik dalam niat dan tindakan kita. Sekiranya tidak ada keperluan, maka tetaplah kita di rumah mengabdikan diri kepada Allah, suami, ibubapa dalam melakukan ibadah dengan tugas-tugas di rumah. Apabila kita keluar atas keperluan, pastikan kita mentaati perintah Allah agar menutup aurat dan tidak berhias berlebih-lebihan. Pastikan penampilan kita penuh kesederhanaan dan bersesuaian dengan urusan kita itu. Berikut 2 perkara yang saya akan sentuh berkaitan tabarruj dalam artikel kali ini, iaitu bersolek dan memakai minyak wangi.

1. Bersolek

Sekiranya perlu bersolek, pastikan apakah niat kita bersolek. Sekali lagi saya ingin sebutkan Allah sangat tahu apa yang ada dalam hati kita, janganlah sesekali terdetik di hati kita untuk menarik perhatian atau menggoda lelaki lain dan untuk menunjuk-nunjuk dan menayangkan rupa paras. Kita bukan bersolek untuk kepuasan hati dan mengikut nafsu, semuanya akan dinilai oleh Allah swt. Bukannya setiap kali keluar rumah perlu bersolek, ada keadaan dan keperluan tertentu sahaja kita boleh bersolek, contohnya sekiranya ada majlis dan perjumpaan dengan keluarga, di mana adat dan kebiasaan keluarga itu sentiasa berketrampilan serba molek termasuklah dengan wajah yang bermekap. Mungkin bila kita tidak bermekap dan muka kita kelihatan tidak terurus, pucat, tidak bermaya, tidak cergas atau kulit wajah bermasalah dengan parut, jerawat dan jeragat, timbul fitnah apabila orang lain di majlis itu mungkin mengumpat kita tidak pandai mengurus dan membawa diri, tidak presentable dan tidak menghormati majlis. Untuk mengelakkan fitnah tersebut, maka kita mengenakan mekap namun pastikan mekap kita tidak berlebihan, tidak menjolok mata, tidak menarik perhatian dan tidak menggoda.

Perkara yang sama juga berlaku apabila pekerjaan kita atau urusan kita memerlukan kita berketrampilan, maka kita bolehlah mengenakan mekap sekadar hanya untuk mengelakkan timbulnya fitnah. Bagi wanita yang bersuami, pastikan memohon izin suami dan suami memahami keperluan dan alasan kita bermekap. Pastikan juga bahawa mekap yang kita gunakan itu halal, bersih dan suci serta tidak terlalu mahal sehingga berlaku pembaziran. Janganlah kerana hendak bermekap kita membazir dari rezeki yang Allah kurniakan dengan membeli jenama mekap yang sangat mahal. Setiap rezeki yang Allah kurniakan kepada kita, ada hak orang lain yang lebih memerlukan. Bersoleklah secara sederhana, bersahaja dan kemas serta menampilkan ciri-ciri wanita yang baik, tidak kelihatan seperti wanita yang mahu memikat lelaki atau ciri-ciri wanita fasiq. Bersolek sekadar mahu mengelakkan diri dari kusut masai dan nampak tidak terurus.

Sekiranya bibir kita terlalu pucat dan perlu memakai lipstick janganlah memakai warna yang sangat terang, cukuplah sekadar ia membantu agar wajah kita tidak terlalu pucat seperti orang yang sakit. Wanita yang keluar berurusan perlu memahami bahawa mekap hanyalah sebagai satu mesej bahawa kita bersedia untuk berurusan, ia bukannya boleh dipakai sesuka hati untuk menonjolkan rupa paras yang menawan dan menarik perhatian orang lain. Sekiranya perlu pakai celak, niatkan mengikut sunnah serta untuk menampilkan wajah yang segar, dan bersedia untuk berurusan.

Sekali lagi saya tekankan di sini, wanita tidak perlu dan sebaiknya tidak bermekap sekiranya tiada keperluan. Sekiranya perlu hanya sebab di atas iaitu untuk mengelakkan fitnah dan bersesuaian dengan resam dan keperluan majlis dan urusan. Dan apabila bermekap TIDAK MENJOLOK MATA DENGAN WARNA YANG TERANG DAN BERLEBIHAN. Pakai minimum dan sederhana sahaja, tidak seperti ingin menggoda, menarik perhatian dan menunjuk-nunjuk. Allah lebih tahu apa yang terdetik dalam hati kita. Setiap perbuatan kita ada penilaian dan balasan Allah. 

2) Memakai minyak wangi

Sabda Rasulullah saw :
“Sesiapapun wanita yang memakai wangian kemudian melewati suatu kaum agar mereka mencium baunya, bererti ia telah berzina”. [HR. Imam An-Nasaaiy]

Terdapat beberapa hukum tentang wanita memakai minyak wangi iaitu harus, sunat, makruh dan haram.

Harus
Secara umumnya hukum memakai minyak wangi adalah harus bagi wanita. Seseorang wanita itu dikatakan harus memakai wangi-wangian ketika suami berada di rumah terutamanya ketika ingin melayan suami mereka. Selain daripada itu, wanita tidak di haruskan memakai wangi-wangian. Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud,

“Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu…”, (Riwayat an-Nasa’i dari Abu Hurairah).

Ini bererti seorang wanita itu haruslah sentiasa kelihatan menarik dari segi akhlak dan penampilannya agar dapat menyenangkan hati suaminya, termasuklah memakai minyak wangi untuk menyenangkan suami.

Sunat
Sunat bagi wanita berwangian ketika berada di rumahnya, ketika ingin menunaikan solat dan beribadah di dalam rumahnya, dan juga ketika menyambut tetamu wanita. Terdapat hadis yang menjelaskan wanita juga digalakkan berwangi-wangian tetapi bukan pada tempat yang telah dilarang. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud,

“Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya”, (Riwayat al-Tarmizi).

Wanita juga disunatkan memakai wangian sebelum melakukan ihram. Aisyah r.a berkata,

“Kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah s.a.w. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah s..aw melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi s.a.w tidak melarang)”, (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Makruh
Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh ulama dan terdapat penjelasan dalam bab puasa. Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan “makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa”. Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah pendapat ijmak.

Haram
Haram bagi wanita memakai minyak wangi atau alat-alat solek yang berbau wangi di luar rumah berdasarkan hadis berikut;

“Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum (orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina”, (Abu Dawud, Tirmidzi).

Nabi s.a.w bersabda “Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut).” (Sahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah).

Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur “Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa Allah s.w.t tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi……”. (Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi).

Abu Musa meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Setiap mata itu berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita yang asing). Dan seorang wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melalui sesuatu majlis, maka ia adalah demikian, demikian…(penzina)”, (Riwayat Tirmidzi).

Daripada hadis-hadis di atas, maka jelaslah bahawa kaum wanita diharamkan memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumah dan juga dilarang berhias berlebih-lebihan kecuali di rumah terutamanya di hadapan suaminya. Saya mohon maaf atas sebarang khilaf dalam perkongsian ini dan sekiranya ada yang masih tidak jelas dengan isu ini, anda boleh rujuk terus kepada sumber-sumber yang lebih jelas atau bertanya kepada ustaz-ustaz dan ustazah yang lebih tinggi ilmu dan pembacaan mereka. Wallahu a’lam.

 

Wednesday, January 28th, 2015January 28, 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *