Jadilah Diri Anda Sendiri!

Tetapi Diri Anda Sendiri Yang Terbaik – Hidup, Bertenaga & Bersemangat!

Pernah terjadi dalam salah satu bengkel Keterampilan Bertutur yang saya kendalikan, semasa salah seorang peserta berdiri menyampaikan ucapannya di hadapan peserta lain, beliau bercakap sangat perlahan, lemah nada suaranya dan tidak jelas, tiada eye contact dengan audien, hanya memandang ke arah saya, tiada ekspresi di wajahnya, sama sahaja dari mula hingga akhir ucapan, dia berdiri kaku di satu tempat sahaja.

Selepas habis berucap, saya minta peserta-peserta lain berkongsi apa yang boleh diperbaiki oleh peserta tadi. Kebanyakan dari mereka mencadangkan beliau memperbaiki mutu suaranya supaya lebih jelas, berintonasi dan bertenaga. Ada juga yang mencadangkan agar beliau menunjukkan ekspresi wajah yang lebih menarik, hidup serta body language yang lebih bersemangat……….Namun dia membalas kepada kami semua, “itu bukan diri saya, saya ingin jadi diri saya sendiri, tak perlulah nak buat-buat”

Semasa berhenti makan tengahari saya dan peserta itu duduk satu meja, bersama kami juga ada dua orang lagi peserta lain, salah seorang daripada kami bertanya ingin tahu lebih lanjut pengalamannya bercuti di Jakarta minggu lepas (dia memberitahu semasa sesi memperkenalkan diri pada slot pagi), pantas dia bercerita, begitu seronok , nada suaranya jelas, bersemangat, penuh intonasi, hidup dan bertenaga, matanya bersinar-sinar dan wajahnya berseri-seri penuh ekspresi, sangat menarik. Kedua-dua tangannya tidak berhenti-henti bergerak untuk memberi gambaran visual dengan gaya badannya yang sesekali digerakkan kehadapan, belakang, kiri dan kanan,bersekali menyokong ceritanya, penuh semangat…sungguh menarik perhatian kami bertiga.

“Wow!!!…inilah diri Puan yang sebenar, sangat bertenaga dan bersemangat bila bercakap!”, jerit saya semasa dia sedang asyik bercerita…wajahnya sungguh terkejut dengat celahan saya itu, baru menyedari dirinya yang sedang asyik bercerita itu diperhatikan penuh minat oleh saya, tersenyum dia tersipu-sipu….

Sebelum masuk slot petang, saya sempat berbisik padanya, “Tahniah Puan, diri Puan yang sebenar semasa bertutur sangat mengkagumkan saya,  jadilah diri Puan yang hebat tadi juga semasa bertutur dalam kumpulan besar, dalam kelas nanti anggaplah Puan sedang bercerita kepada lebih daripada 3 orang kawan (kerana semasa makan tengahari yang mendengar ceritanya adalah 3 orang).

Bengkel Bertutur Slot petang para peserta menyaksikan satu kejutan, peserta yang pagi tadi ditegur kerana banyak kelemahan dalam pertuturannya di hadapan mereka tadi berubah dan menjadi salah seorang peserta terbaik memberi ucapan.

Saya tidak terkejut, pada saya dia hanya kembali menjadi diri dia yang sebenar, iaitu dirinya yang sebenarnya memang bagus semasa bertutur….hidup, bertenaga dan bersemangat!

Pengalaman saya 9 tahun mengendalikan Bengkel Keterampilan Bertutur, saya telah menyaksikan ramai orang yang menggunakan alasan yang sama dengan kisah peserta di atas tadi, kebanyakannya keliru dengan penampilan ‘ikhlas’ dan ‘macho’ ketika bertutur dengan penampilan ‘membosankan’, ‘lemah’ dan ‘tidak berminat’. Imej negatif ini telah dipasakkan dalam minda mereka sehingga mereka berkelakuan begitu semasa bertutur di khalayak ramai.

Ramai peserta terutamanya pelajar yang saya sangka sangat pemalu kerana semasa memperkenalkan diri di hadapan kawan-kawannya (semasa dalam Bengkel Keterampilan Bertutur) tiada eye contact, wajah yang  bosan tiada ekspresi, suara yang tidak jelas dan lemah, serta cara berdiri yang kelihatan seperti tidak makan dua hari. Namun sangkaan saya bahawa mereka pemalu meleset kerana apabila berhenti minum pagi pukul 10 karakter mereka berubah 100%, suara mereka sangat kuat bertenaga, menjerit-jerit dan ada yang ketawa mengilai-ngilai.

Mereka boleh bersembang dengan kawan-kawan dengan intonasi suara yang berubah-ubah, mereka boleh bercerita sambil mata dibesarkan dan dikecilkan dengan ekspresi wajah yang sangat menarik, hidup dan tiadak membosankan, ada yang daripada kedudukan duduk tiba-tiba berdiri untuk menekankan fakta yang diceritakan kemudian duduk kembali sambil kedua-dua tangan mereka tidak berhenti bergerak untuk memberi gambaran visual apa yang diceritakan.

Selalunya saya akan mulakan teguran selepas itu secara umum;

“Malu biar bertempat, ada tempat kita kena jadi pemalu, ada tempat kita kena jadi diri kita yang sebenar, bertenaga, hidup dan bersemangat. Contoh terbaik ikutan kita ialah Rasulullah, Baginda diriwayatkan lebih pemalu daripada seorang anak dara, tetapi ketika berperang menegakkan jalan Allah S.W.T dan menyampaikan kebenaran, Baginda sangat berani, bersemangat dan bertenaga, itulah ciri-ciri orang yang hebat. Ramai orang-orang hebat yang saya jumpa dikatakan oleh ramai orang seorang yang pemalu dan pendiam. Saya ingin tanya kenapa ramai orang menggambarkan mereka yang hebat ni pemalu dan pendiam?

Kerana mereka ini bukan tin kosong, mereka sangat takut bercakap perkara yang tidak bermanfaat. Jadi mereka kurang berbual-bual kosong. Sehingga orang gambarkan mereka pendiam. Mereka tidak akan becakap perkara-perkara yang tidak bermanfaat, apatah lagi terjerit-jerit dan mengilai-ngilai.

Malah ramai juga orang melabelkan mereka ini ‘diam diam ubi berisi’, kerana tidak semua tempat dan keadaan mereka bercakap, tetapi bila diberi peluang pada tempat dan keadaan  yang sepatutnya, mereka akan gunakan peluang itu sebaik-baiknya untuk berucap perkara yang bermanfaat pada ramai orang. Ramai terkejut dan kagum dengan kemampuan mereka berucap dengan bagus, kerana mereka menjadi diri mereka yang sebenar semasa memberi ucapan, iaitu yang bersemangat, bertenaga dan penuh minat dengan kebenaran dan perkara bermanfaat yang mereka ingin sampaikan.”

Sering saya berpesan kepada diri saya dan peserta-peserta Bengkel Keterampilan Bertutur saya;

Jadilah seorang yang bijak dengan menjadi diri kita sendiri yang terbaik semasa bertutur di khalayak ramai…..kerana kita yakin apa yang kita sampaikan di hadapan khalayak itu adalah perkara yang bermanfaat, benar dan baik untuk mereka. Dengan menjadi diri sendiri yang hidup, bertenaga dan bersemangat inilah sebenarnya akan lebih menonjolkan kita ikhlas dan macho, daripada sangkaan berucap dengan lemah, perlahan dan biasa itu lebih ikhlas dan macho!

Monday, February 10th, 2014February 10, 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *