Imej Yang Diredhai

2015 membuka satu lagi lembaran dalam perjalanan kehidupan kita. Tahun demi tahun silih berganti dan identiti serta jati diri kita turut berkembang. 2015 hadir dengan semangat dan azam yang baru buat diri saya dalam kerjaya ini. Beberapa tahun yang berlalu mematangkan dan menambah semakin banyak pengalaman, kefahaman, ketelitian, kualiti, ilmu dan tidak kurang juga cabaran dan ujian, dalam kerjaya ini.

Saya percaya setiap dari kita mempunyai jalan cerita tersendiri dalam menjalani kehidupan di atas muka bumi Tuhan ini. In sha Allah tahun ini saya ingin semakin banyak berkongsi dan menyumbang, tanda syukur yang tidak terhingga atas peluang dan umur yang dianugerahkan Allah swt. Kalau sebelum ini saya banyak berkongsi ilmu, pengalaman dan cerita dalam sesi training dan konsultansi yang saya kendalikan, namun bilangan mereka yang menerima perkongsian itu agak terhad. Maka antara azam saya tahun ini adalah untuk lebih banyak berkongsi di dalam blog ini. Impian saya mahu lebih ramai yang membaca, merenung, berfikir dan bertindak dari perkongsian ilmu yang Allah pinjamkan sedikit kepada saya, pengalaman yang saya lalui, dan buah fikiran serta ilham yang juga dianugerahkan Allah swt. In sha Allah apabila berkelapangan saya akan menulis sedikit demi sedikit pengisian dari hati ini dan semoga tulisan ini dapat menjadi rujukan mereka di luar sana dan dinilai sebagai sedikit saham saya di akhirat kelak.

Bermula setiap detik 2015, mari kita sama-sama meneliti setiap penampilan, perlakuan dan komunikasi kita setiap hari, adakah semakin baik dan berkualiti. Umur yang semakin menginjak sepatutnya mematangkan kita, membuka hijab dan tirai sufi antara kita dan pencipta, membenihkan lebih banyak azam untuk menjadi hamba yang semakin menjiwai erti hamba yang sebenar, dan mendalami imej seorang hamba yang berjiwa hamba dan khalifah yang bersemangat menunaikan amanah daripada pencipta kita…

syukurAllah menjadikan kita sebaik-baik kejadian, kita adalah makhluk yang paling istimewa, dikurniakan akal fikiran dan anggota tubuh yang cukup indah dan sempurna. Kita dijadikan sedemikian mulia sebagai seorang khalifah di atas muka bumi ini untuk memikul amanah yang cukup besar, iaitu mentadbir alam ini dengan peraturan yang ditetapkan oleh pencipta kita. Setiap detik yang berputar kita membawa imej seorang hamba, dan seorang khalifah. Bila dihayati imej seorang hamba, apakah dan bagaimanakah imej seorang hamba yang diredhai pencipta kita.

Setiap kali ketika kita memilih dan mengenakan pakaian, berjalan, bergaul, bertingkah-laku, berkomunikasi….adakah kita sedang membawa imej seorang hamba yang merendahkan diri dan merendah hati di hadapan pencipta yang tidak pernah terlepas memerhatikan kita. Adakah pencipta kita atau pencipta alam ini redha atas imej yang kita pamerkan. Imej seorang hamba yang berjiwa hamba sentiasa sederhana, sedar akan batas-batas yang ditetapkan dan penampilannya mengundang ketenangan makhluk-makhluk Allah yang berada di sekeliling. Penampilan, pakaian, tingkah laku dan komunikasi yang kita tonjolkan bukan semata-mata untuk kepuasan hati dan nafsu kita, tetapi ia adalah kerana kita hanya mahukan REDHA Allah, dan redha makhluk-makhluknya. Betapa hebatpun pakaian, kasut, aksesori, suit, beg dan jam kita, kita tetap hanya seorang hamba yang tidak pernah terlepas dari pemerhatian pencipta kita.

Dalam masa yang sama kita juga membawa imej seorang khalifah yang terpilih. Allah mencipta dan membenarkan kewujudan kita di atas bumi milikNya ada sebabnya. Kita memikul amanah yang mulia dan tanggungjawab yang besar. Maka imej seorang khalifah pastilah berpengaruh, berkarisma, dihormati, bermaruah, meyakinkan dan sentiasa mempamerkan pemeliharaan kesempurnaan dan keelokkan kejadian semulajadi yang dicipta Allah swt. Imej kita mestilah mempamerkan penghargaan dan nilai syukur yang tinggi atas kemuliaan kejadian dan amanah yang diserahkan kepada seorang khalifah.

Setiap kali kita melihat diri kita di hadapan cermin sebelum keluar rumah untuk berurusan dengan orang-orang lain, menjalankan tugas dan amanah sebagai khalifah, adakah sedang berdiri di hadapan cermin itu imej terbaik seorang hamba yang berjiwa hamba dan sederhana, takut dan harap serta merendahkan diri dan hati kepada pencipta kita. Dan dalam masa yang sama adakah berdiri di hadapan cermin itu imej seorang khalifah yang sedang membawa risalah mulia, yang diperelokkan setiap inci kejadiannya dan diangkat darjat kemuliaannya melebihi setiap mahkluk Allah di atas muka bumi ini..

Merenung kejadian kita dan umur yang diberi, pastilah tiada alasan walau setitik pun untuk kita tidak menjadi hamba yang bersyukur. Maka zahirkan erti dan nilai kesyukuran itu dengan mempamerkan imej terbaik seorang hamba dan khalifah…

Sunday, January 18th, 2015
Subscribe
Notify of
guest

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments