Imej Kita Adalah Pengalaman Orang Lain Ketika Bertemu Kita

Siri 2 : Apakah Itu Imej ?

Imej kita adalah pengalaman orang lain ketika bertemu kita

Apakah pengalaman orang lain ketika bertemu dan berurusan dengan kita? Pengalaman itulah yang menghasilkan perasaan yang kekal dalam memori orang lain terhadap imej kita. Sekiranya secara konsisten ramai orang mempunyai pengalaman yang membuahkan perasaan yang sama ketika bertemu dan berurusan dengan kita maka itulah imej diri kita.

Ketika kita berurusan dengan orang lain, sebenarnya kita sedang menjual satu bentuk pengalaman kepada orang tersebut, samaada kita menjual pengalaman positif atau pengalaman negatif. Apa jua bentuk pengalaman pertemuan dan urusan itu, ia akan menjadi buah mulut tentang imej kita.

Imej

Bagaimanakah pengalaman orang yang berurusan dengan kita itu boleh menjadi pengalaman positif atau negatif yang seterusnya meninggalkan perasaan yang baik atau tidak di dalam hatinya tentang imej kita?

Ia disumbangkan oleh ABC kita, iaitu Appearance (Penampilan), Behaviour (Tingkah Laku) dan Communication (Komunikasi). ABC kita ketika pertemuan dan urusan tersebutlah yang akan menentukan apakah bentuk pengalaman yang akan kita berikan kepada orang lain. ABC ini juga yang menyumbang kepada jenis perasaan  yang kita tinggalkan di hati orang yang bertemu kita itu, dan ABC ini juga akan menjadi salah satu ciri penting dalam jenama diri kita, seterusnya menyumbang kepada jenama organisasi di mana kita bekerja atau jenama perniagaan kita sekiranya kita mengusahakan perniagaan..

Kita tidak akan mampu untuk memberhentikan orang lain dari menilai diri kita, kerana manusia sentiasa menilai dalam sedar atau tidak. Manusia mempunyai hati, akal dan fikiran yang akan merakam ABC yang kita tonjolkan semasa pertemuan dan tempoh berurusan. Segala rakaman itu juga akan tersimpul kemas dalam fikiran sedar dan separa sedar orang yang kita temui, dan setiap kali pertemuan akan semakin kukuh simpulan memori berkenaan imej diri kita itu.

Manusia mungkin boleh terlupa apa yang pernah kita ucapkan kepadanya, tetapi ramai manusia yang tidak boleh lupa apakah perasaan yang kita buat dia merasa! Kajian menunjukkan ramai orang akan ingat apakah perasaan yang kita berikan kepadanya pada pertemuan kali pertama terutamanya. 

‘First impression never come twice’!

Perasaan ini disumbangkan oleh ABC kita. ABC ini adalah satu pakej yang lengkap untuk membentuk sebuah perasaan tentang imej kita. Bagaimana kita berpakaian atau mempersembahkan diri kita ketika pertemuan dan berurusan, bagaimanakah adab dan tingkah-laku kita sepanjang pertemuan tersebut, dan apakah jenis komunikasi yang kita lontarkan. Inilah tiga perkara yang menjadi asas kepada kewujudan imej diri kita. 

Nantikan sambungan seterusnya dalam Siri 3 Apa Itu Imej? 

Wednesday, February 17th, 2016February 17, 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *