Hanya Kita yang Benar-Benar Mengenali dan Menentukan Potensi Diri Sendiri

  • Hanya Kita yang Benar-Benar Mengenali dan Menentukan Potensi Diri Sendiri

    Baru-baru ini saya dihubungi oleh seorang sahabat yang bertanya bagaimana untuk mengenal potensi diri dan meningkatkan keyakinan diri.

    Sebenarnya orang yang kita lihat berpotensi dan berjaya itu, adalah orang yang tahu dan jelas dengan apa yang dia sedang lakukan dan kenapa dia lakukan. Dia juga tahu apakah bidang dan kelebihan dirinya. Dia juga tahu sampai tahap mana dia boleh pergi dan mampu pergi dalam bidang itu, dan dia fokus.

    Seseorang itu akan termotivasi untuk pergi lebih jauh bila dia tahu perkara yang sedang dia lakukan itu ada nilai dan ada hasil, dan orang lain atau masyarakat  mengiktiraf ‘nilai’ itu. Contohnya pemain bola, mungkin ada orang pelik kenapa jadi pemain bola, kenapa tidak jadi cikgu ke, usahawan ke, doktor ke atau lain-lain profesion.

    Tetapi hanya pemain  bola itu tahu itu bidang dia, kemampuan dan kelebihan dia, dia tahu apa dan kenapa dia main bola, ke tahap mana dan sampai mana dia boleh melangkah, dia juga tahu ada nilai dan ada orang lain mengiktiraf. Itulah motivasi yang menyebabkan dia terus berusaha dan fokus, tanpa terpengaruh dengan orang lain atau perkara-perkara lain yang boleh menghalangnya untuk terus maju.

    Fokus sangat penting. Ia akan meningkatkan nilai kerjaya kita dan keyakinan diri kita. Jangan mudah terpengaruh dengan apa yang orang lain lakukan. Jangan juga terpengaruh dengan kejayaan dan kegagalan orang lain. Hanya kita tahu sejauh mana kita boleh pergi dalam bidang kita.

    Sekiranya dalam perjalanan untuk maju ke depan itu ada halangan seperti tiada environment yang menyokong, segera buat sesuatu, cari dan dapatkan suasana yang menyokong itu, atau tinggalkan suasana yang menghalang itu dan segera cari suasana lain, jangan hanyut dan menyerah kalah.

    Tiada orang lain yang benar-benar memahami keadaan diri kita melainkan diri kita sendiri, sebagaimana tiada orang yang benar-benar kenal potensi kita melainkan diri kita. Tiada orang lain juga yang boleh tarik kita untuk berjaya melainkan diri kita sendiri, sebagaimana tiada orang yang mampu menolak kita untuk jatuh melainkan dengan izin diri kita sendiri yang tidak berusaha mempertahankan diri sendiri.

    Kadang-kadang ramai orang di luar sana yang suka menasihati kita untuk lakukan perkara ini dan itu, atau jangan lakukan perkara ini dan itu. Orang yang menasihati itu kadang-kadang hanya membuat andaian berdasarkan persepsi dan pengalamannya dirinya sahaja, tanpa benar-benar tahu keadaan diri kita, walaupun katanya dia amat memahami keadaan kita.
    Hanya diri kita yang benar-benar faham diri sendiri. Kerana itu orang yang benar-benar jelas dengan potensi dirinya dan ke mana arah tujuannya tidak perlukan motivasi walaupun dari seorang pakar, kerana pakar itu pun tidak pasti langsung di mana mutiara dan emas yang mampu terpancar dari diri kita, malah pakar itu mungkin underestimate atau overestimate potensi kita berdasarkan persepsi yang dilihat dari luaran kita.
     Jangan sesekali terpengaruh dengan kata-kata orang lain, dan jangan biarkan kata-kata orang lain itu pula yang membentuk sangkaan atau persepsi kita terhadap diri kita sendiri. Orang lain pula yang menentukan apakah potensi kita. Itu yang menyebabkan ada orang yang hanya berpura-pura meminati sesuatu bidang atau profesion, atau meninggalkan bidang dan profesionnya. Akhirnya apabila sampai satu masa dia penat berlakon dan kecewa, kerana bidang itu tidak sesuai dengan potensi dirinya yang sebenar, dan akhirnya putus asa dan menganggap dirinya tidak mempunyai apa-apa nilai.

Saturday, February 22nd, 2014February 22, 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *