4 Jenis Gaya Potongan Seluar Jeans Untuk Lelaki

Seluar Jeans Untuk Lelaki – Pada masa kini, pemakaian seluar jeans bukan hanya dipakai pada acara lasak dan aktiviti outdoor sahaja, malah ia digayakan dalam pelbagai jenis acara, majlis dan urusan. Terdapat sesetengah golongan lelaki mengenakan seluar jeans untuk dilihat dengan gaya yang lebih ringkas, namun ada juga lelaki yang mengenakan jeans supaya kelihatan lebih moden dan bergaya. Ada juga yang memilih untuk mengenakan jeans kerana ia dapat menjimatkan masa si pemakai kerana tidak perlu bersusah payah menggosoknya. Hal ini kerana, jeans diperbuat daripada denim, iaitu sejenis fabrik yang tidak mudah renyuk dan tidak memerlukan  penjagaan yang terlalu rapi serta tidak mudah luntur warnanya.

Denim merupakan bahan atau material kain biru tahan lasak, yang berasal daripada daerah pengeksport iaitu daerah Nimes di Perancis, yang digelar ‘serge de Nimes’ atau ‘kain dari Nimes.’ Untuk memudahkan sebutan, pembuat pakaian Amerika memendekkannya menjadi ‘denim.’ Teksturnya menyerupai seperti karpet namun lebih tipis dan halus. Di awal penciptaannya, denim hanya memiliki satu warna iaitu indigo.

Namun, kebiasaanya kain denim dihasilkan menggunakan warna biru gelap dengan tujuan untuk mengelakkan kesan kotoran kelihatan akibat kerja-kerja berat yang dilakukan. Tetapi, seiring dengan perkembangan zaman, kain denim telah diciptakan dengan kepelbagaian warna kain seperti pink, hijau dan biru terang.Maka jelas di sini perbezaan antara denim dan jeans ini ialah denim merupakan sejenis bahan atau fabrik kain manakala jeans merupakan produk atau nama pakaian yang diperbuat daripada denim. Kini, perkataan denim digunakan lebih meluas sebagai nama rangkaian busana yang diperbuat dari bahan tersebut seperti jaket denim, gaun denim atau beg tangan denim.

Perkataan ‘jeans’ berasal daripada tahun 1600 lagi, apabila digunakan untuk merujuk kepada sejenis pakaian yang kasar fabriknya dan digelarkan ‘genes fabric’ di Genoa, Itali dan dipakai oleh pekerja-pekerja buruh. Pemakaian jeans ini mula digunakan sebagai pakaian untuk golongan pekerja lombong emas sewaktu berlakunya pembukaan banyak lombong emas di California pada tahun 1849. Pada ketika itu, sesiapa yang memakai seluar jeans ini dianggap sebagai golongan kelas bawahan yang terpaksa melakukan kerja-kerja 3D iaitu dirty, dangerous dan demeaning.

Jeans pertama kali dibuat hasil buah fikiran dua orang lelaki, iaitu seorang tukang jahit bernama Jacob Davis dan seorang peniaga bernama Levi Strauss pada tahun 1873. Melihat peluang untuk menjana keuntungan akibat bercambahnya pembukaan lombong emas di California, Jacob bertemu dengan Levi dengan idea untuk mencipta pakaian yang tahan lasak. Levi pada waktu itu menjual fabrik untuk khemah dan pakaian bagi pekerja lombong. Dengan menggunakan idea dan kemahiran Jacob serta bahan-bahan yang dibekalkan oleh Levi, akhirnya mereka berjaya menghasilkan pakaian kerja yang lebih lasak, menggunakan beberapa rivet tembaga pada bahagian pakaian untuk menguatkannya.
 
Perkembangan pemakaian jeans ini berkembang pesat sehingga ke hari ini dan bukan hanya tertumpu kepada seluar sahaja. Pada 1908, paten untuk jeans yang dipegang oleh Levi Strauss akhirnya tamat dan jeans mula dikeluarkan oleh pengeluar-pengeluar lain. Budaya jeans dari Amerika ini yang semakin popular mula bercambah ke serata dunia selepas jeans mula dieksport ke Eropah.
 
Dengan arus fesyen yang semakin berkembang, seluar jeans amat mudah didapati dan kini ia hadir dengan pelbagai rekaan fesyen dengan pelbagai jenis potongan. Pada artikel kali ini kami daripada Tim Perunding Imej Malaysia ingin berkongsi 4 jenis gaya potongan seluar jeans lelaki yang menarik dan bergaya yang boleh anda cuba.

1. Straight Jeans

Perunding Imej Malaysia

Anda menginginkan penampilan yang sederhana dan bergaya walaupun memakai seluar jeans? Straight jeans adalah jawapannya! Dengan  potongan seluar yang ringkas namun bergaya, ianya menjadi pilihan bagi setiap lelaki. Straight Jeans mempunyai potongan yang menegak dan lurus dari aras pinggang sehingga aras bawah, iaitu di bahagian buku lali si pemakai. Potongan seluar jenis ini tidak terlalu ketat malah potongan ini sesuai untuk anda di luar sana yang menginginkan sesuatu yang ringkas dan classy. Tidak dapat disangkal lagi bahawa terdapat kaum lelaki yang gemar memakai potongan seperti ini kerana ia memudahkan lagi pergerakan mereka untuk melakukan aktiviti harian. Ia juga sesuai di padankan dengan memakai baju yang fit dan berlengan tiga suku mahupun berlengan panjang. Potongan straight jeans sesuai dipakai oleh hampir semua lelaki  tanpa mengira jenis saiz kaki si pemakai dan saiz tubuh mereka .

2. Skinny Jeans

Perunding Imej Malaysia

Bagi golongan lelaki yang menginginkan fesyen yang moden dan  up to date, potongan seluar jenis skinny paling bersesuaian untuk mereka.  Skinny Jeans merupakan potongan seluar yang paling digemari dan dijadikan pilihan di hati para lelaki pada masa kini yang agak berani untuk bergaya. Jenis potongan jeans ini akan memberikan ilusi lebih tirus kepada si pemakai yang menggayakannya. Saiznya yang lebih kecil bermula dari bahagian peha hingga kaki, menampakkan bentuk kaki si pemakai. Namun, untuk kelihatan tirus  ia bergantung juga kepada saiz kaki si pemakai. Kenapa ianya menjadi pilihan lelaki yang mempunyai personaliti yang agak dramatik dan berani? Kerana potongan jeans ini agak ketat sehingga menampakkan sepenuhnya bentuk kaki si pemakai. Potongan jeans ini selalunya dipilih untuk digayakan ketika bersiar-siar dan bersantai dan dipadankan bersama baju T-shirt.

3. Slim Jeans

Perunding Imej Malaysia

Beralih kepada jenis potongan seluar jeans yang digemari oleh kaum lelaki di luar sana, slim jeans merupakan salah satu pilihan potongan seluar yang digemari oleh mereka. Potongan slim jeans ini seakan-akan sama seperti potongan jenis skinny namun ia tidaklah menunjukkan bentuk kaki yang terlalu ketat. Bukaan hujung kaki dalam 9 hingga 20 inci bergantung pada saiz si pemakainya. Jika si pemakai mempunyai kaki yang sedikit besar ia pasti menampakkan bentuk kaki yang lebih cantik. Potongan slim jeans ini boleh digayakan dengan kemeja, pasti ia tampak lebih kemas walaupun dipakai bersama seluar jeans.

4. Boot Cut Jeans

4 Jenis Gaya Potongan Seluar Jeans Untuk Lelaki

Bagi kaum lelaki yang gemar memakai seluar jeans, potongan boot cut bukanlah suatu yang asing buat mereka. Potongan boot cut jeans ini memiliki potongan yang rata di bahagian paha manakala di bahagian hujung kaki yang melebar. Potongan yang sedikit lebar ini menampakkan si pemakai kelihatan kurus dan tinggi. Potongan boot cut ini sesuai dipakai oleh semua jenis saiz badan terutamanya yang mempunyai pinggang yang sedikit besar bagi menampakkan tubuh sedikit ramping. Bagi golongan lelaki yang memakai potongan seluar ini, ia dapat dipadankan bersama boots kerana ia akan kelihatan sangat bersesuaian sekali kepada si pemakai. Potongan seluar jenis ini paling digemari oleh hampir semua jenis gaya personaliti generasi muda pada masa kini .

Sehingga ke hari ini, jeans masih lagi menjadi pilihan ramai orang atas faktor keselesaan dan ketahanan kainnya yang lasak dan kukuh. Warna-warna fabrik denim pula semakin banyak dengan variasi pelbagai warna serta corak yang mampu dibeli. Jenama-jenama jeans juga semakin banyak seperti GA Blue, Texas, Lee dan pelbagai lagi jenama lain yang muncul untuk memenuhi permintaan masyarakat dunia.

Pemilihan potongan seluar yang tepat dan selesa buat si pemakai dapat mengelakkan daripada sebarang kemudaratan atau kemungkinan perkara yang tidak diingini. Namun demikian, dalam mengikuti era perfesyenan yang semakin berubah dari semasa ke semasa, kami daripada Tim Perunding Imej Malaysia menyarankan anda agar lebih teliti dalam memilih jenis pemakaian agar sentiasa bersesuaian dengan nilai personal diri serta nilai profesional dalam kerjaya anda agar sentiasa tampil sederhana, bersesuaian dan tidak berlebihan.

Anda masih mahukan tips penampilan diri? Klik di sini untuk lebih lagi!

 

Thursday, January 18th, 2018
Subscribe
Notify of
guest

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments