Etiket Perbualan Sosial

“Daya penarik ialah suatu ciri dalam diri orang lain yang membuat kita lebih senang hati dengan diri kita sendiri”. -Henry Frederic Amiel.

Seboleh mungkin berusaha agar kehadiran kita dalam perbualan menyebabkan orang lain berasa selesa, tenang dan gembira berbual dengan kita, sehingga kita dapat meninggalkan kesan yang positif dan mengekalkan imej yang baik di mata masyarakat.

Antara perkara  yang perlu dielakkan dalam perbualan adalah memfokuskan kepada diri sendiri seperti menyebut kelebihan diri atau memuji diri. Walaupun yang dipuji itu betul, hal itu tidak seharusnya diisytiharkan stau disebut-sebut, kerana ianya akan menyebabkan rasa kurang senang dan kurang selesa bagi orang yang mendengarnya.

 Menurut Za’aba, orang Melayu lebih suka merahsiakan kelebihan diri dan membiarkan orang lain menilai kebolehan diri berasaskan prestasi sebenar. Pada fikiran orang Melayu, nilai sebenar ditentukan oleh orang lain, bukan diri sendiri. Bahkan, orang yang gemar memfokuskan kepada diri sendiri ketika berbual ini daya pengaruh dan nilai sosialnya akan jatuh di mata orang-orang lain yang mendengar. Ketika kita berasa diri kita hebat dalam perbualan, ketika itulah orang yang mendengar mula berasa kurang senang dan menyebabkan daya tarikan dan karisma kita berkurangan.

Tidak memberikan peluang orang lain bercakap, samaada sengaja atau tidak merupakan tingkah laku yang kurang sopan. Begitu juga bertengkar semasa bercakap dan merendah-rendahkan hujah orang lain.

Tempoh bercakap bagi seseorang janganlah terlalu lama. Percakapan hendaklah ringkas dan tidak terlalu panjang. Percakapan yang terlalu panjang hanya akan membosankan, yang akhirnya menghilangkan minat orang yang mendengarnya. Ringkas bukan beerti sekerat atau sebahagian tetapi lengkap dan tidak meleret-leret.

Sentiasa peka bahasa badan orang yang mendengar. Cara yang sebaik-baiknya adalah menyatakan pandangan diri sendiri dan tidak memperlihatkan percubaan memaksa orang lain menerima pendapat kita.

Antara etiket perbualan sosial di dalam majlis :

Sebaiknya berbuallah dengan seberapa ramai orang yang boleh. Dalam sesuatu kumpulan elakkan berbual berdua sahaja. Jika berada dalam kumpulan meja bulat, berusahalah untuk menegur dan berbual dengan semua anggota yang ada di meja bulat tersebut, bukan terhad kepada orang yang di sebelah sahaja walaupun hal ini boleh dilakukan sekali-sekala. Ini bertujuan untuk mengelakkan dari orang lain yang turut berada di situ tersinggung.

Antara etiket dalam menerima perkenalan :

Dalam amalan seharian, “apa khabar” merupakan ungkapan lazim yang digunakan. Sebenarnya “apa khabar” bukanlah semata-mata untuk bertanya tentang keadaan seseorang itu tetapi ianya merupakan penggerak komunikasi dan teguran mesra untuk mengharmonikan suasana dan mencetuskan persahabatan atau persaudaraan. Dalam Bahasa Inggeris juga ungkapan “how do you do” bukanlah semata-mata ingin bertanya khabar, tetapi ia adalah pernyataan untuk penggerak komunikasi.

Sunday, February 23rd, 2014February 23, 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *