Deria Simpati Dan Nilai Kebaikan

Nilai kebaikan. Apa makna disebaliknya? Apa yang mendorong atau melonjak diri kita untuk menghasilkan suatu nilai kebaikan ? Adakah ianya suatu yang terpaksa untuk dihasilkan ? Adakah ianya memerlukan suatu dorongan yang khusus untuk ianya dihasilkan atau hakikatnya ia adalah bersifat sesuatu yang semulajadi ?

Sebagai individu, kita mempunyai kecenderungan semulajadi untuk menjaga dan mementingkan diri kita sendiri. Ini adalah suatu tindakan yang dianggap cermat dan mengambil kira kesan yang akan berlaku. Namun, sebagai makhluk sosial, kita turut dikurniakan dengan deria simpati yang semulajadi. Deria itulah yang perlu diaktifkan secara semaksimum mungkin bagi mencipta nilai-nilai kebaikan.

Apabila kita melihat kegembiraan ataupun kesengsaraan yang ada pada orang lain, sedikit sebanyak kita tetap juga akan merasainya bagi pihak mereka secara semulajadi, walaupun tidak sekuat merasai emosi sedemikian apabila berlaku pada diri kita sendiri.

Deria simpati dan nilai kebaikan

Ya, kita tidak mampu untuk merasai emosi orang lain sekuat orang itu sendiri rasai, tetapi dengan mengaktifkan deria simpati ini, sekurang-kurangnya kita akan berusaha untuk menahan emosi negatif kita dan membawa emosi kita seiring dengan emosi yang ada pada orang lain. Maka, terhasillah suatu NILAI KEBAIKAN.

Nilai kebaikan, hakikatnya terbentuk daripada tabiat sosial semulajadi. Nilai kebaikan ini tiada hadnya, ia bukanlah sesuatu yang kita boleh sukat. Ia adalah semulajadi, terbina dalam jiwa kita yang telah dicipta sebagai makhluk sosial.

Kita gembira apabila orang lain melakukan sesuatu keadaan yang kita boleh terima, dan begitu juga sebaliknya, kita tertekan apabila orang lain melakukan  sesuatu yang kita rasa memudaratkan.

Apabila kita mengaktifkan deria simpati kita secara maksimum, kita mampu bersabar dengan seseorang atau sesuatu keadaan. Kesabaran itu terhasil daripada letusan simpati kita atas orang itu atau sesuatu keadaan tersebut, dan emosi kita berjaya dibawa untuk merasai emosi yang berlaku pada diri orang tersebut seiringan.

Kita tidak tergamak untuk melakukan sesuatu kejahatan, apabila kita mengaktifkan deria simpati kita secara maksimum, kerana kita didorong oleh deria simpati terhadap emosi orang lain yang akan merasai kesengsaraan atas perbuatan jahat kita itu. 

Deria simpati dan nilai kebaikan

Mari kita melihat beberapa gambaran yang paling mudah untuk menerangkan keadaan ini;

Kita tiba di pejabat dengan sebuah senyuman dan sapaan yang menggembirakan hati rakan sekerja kita. Tindakan ini terhasil bukanlah semata-mata daripada kepercayaan kita bahawa perbuatan senyum itu suatu nilai yang baik, tetapi ia juga tercetus hasil dari keadaan emosi kita yang dapat merasai emosi orang lain, yang akan gembira apabila kita senyum. Kita secara semulajadi mempunyai deria simpati bahawa orang lain akan merasa tidak senang dan tidak selesa dengan  sikap sombong dan kurang mesra diri kita pada orang lain.

Kita tidak membuang sampah merata-rata ketika berada di tempat awam, kerana simpati kita kepada orang-orang lain yang berhak berada di tempat dan suasana yang bersih. Kita turut merasai emosi orang lain yang tidak suka dengan keadaan yang kotor.

Kita tidak membuat bising dan ketawa dengan kuat di pejabat, adalah kerana kita simpati kepada rakan-rakan di pejabat yang mungkin akan terganggu dengan bunyi bising dan kita turut merasai emosi mereka yang mendambakan suasana yang tenang dan damai dalam menyiapkan tugasan mereka di pejabat.

Kita memandu dengan baik dan mengikut peraturan jalan raya, kerana kita simpati kepada pengguna jalan raya lain yang akan menghadapi kesukaran dan kemudaratan dengan pemanduan kita yang tidak baik dan melanggar peraturan. Kita telah mengaktifkan deria simpati semulajadi yang wujud dalam diri kita dengan berusaha untuk merasai emosi marah, terancam, terganggu dan geram apabila ada pengguna jalan raya yang tidak memandu dengan baik dan tidak mengikut peraturan jalan raya.

Aktifkan deria simpati kita ke atas orang lain, deria simpati yang sememangnya telah wujud secara semulajadi dalam diri kita. Rasainya dari lubuk hati kita yang paling dalam. Perasaan orang lain yang kita usahakan untuk turut merasainya akan mencetuskan perasaan simpati dan terhasillah NILAI-NILAI KEBAIKAN.

Thursday, September 22nd, 2016September 22, 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *